AINA memusing-musing tubuh di atas katil. Bantal peluk panjang itu dibawa ke dakapan. Menyeringai bibirnya teringat pada mimpi malam tadi.
Boleh pula dia mimpikan Khidr.
Aina bangun dan menapak ke bilik air. Mahu membersihkan diri, selepas itu dia akan ke rumah Tok Imam. Setiap hari dia akan ajar Abang Ki mengaji Muqaddam. Abang Ansar beri upah padanya untuk ajar abang Ki. Dan dia pula tidak kisah. Malah lebih baik lagi. Tak perlulah dia bersusah-payah buat kerja kampung untuk dapat upah. Upah yang abang Ansar beri terlebih dari cukup untuk dia menyimpan.
Tabung berbentuk arnab digoncang-goncang. Nanti dah cukup, dia mahu merantau melihat negeri dan negara orang.
"Aina!"
Laungan Ibu dari dapur menyentak lamunan. Aina segera menyarung baju kemeja kosong dengan seluar trek.
Pap!
Senduk kayu mencium kepala. Kuat.
"Adoi! Sakitlah Ibu." Aina gosok bahagian kepala yang diketuk kasar tadi.
"Aku panggil kenapa tak jawab?" Riak Puan Zuriah menyinga.
"Aina baru sudah mandi. Baru je nak keluar."
"Banyak alasan kau! Kejap lagi datang kedai. Tolong aku meniaga. Hari ini ramai yang minta hantar lauk ke rumah."
"Alah... Tapi Aina kena ajar mengaji."
"Menjawab! Mengaji tu bagi kau rumah? Makan? Beranakkan kau ke?"
Kaki Aina menguis lantai. Tak berani mahu menjawab. Dia tahu apa saja jawapan mahupun bangkangan yang keluar dari mulut, nanti dia akan dituduh kurang ajar.
Setelah Puan Zuriah keluar dari bilik, Aina mengeluh kuat.
Dia lepaskan segala cita-cita dan impian kerana faham akan kesusahan keluarga. Sebagai anak sulung, dia sanggup berkorban lebih banyak.
Tapi hatinya kosong. Tidak pernah terisi dengan rasa dihargai. Apa keputusan dia tidak mementingkan diri sendiri itu salah?
Mungkin, ada baiknya jika dia berkeras mahu kejar cita-cita. Mungkin lebih baik dia susahkan saja ibu dan ayahnya terpaksa menanggung dia belajar.
Aina memandang ke luar tingkap.
Kawan-kawan yang lain sedang bergembira di bandar. Belajar dan bertemu orang baru. Cuma dia saja yang tertinggal di sini.
Malas mahu fikir. Apa yang sudah berlalu tak akan mampu diulangi. Baik dia tumpu kepada apa yang di depan mata.
Tanpa berlengah, Aina mengemas katil yang bersepah. Kalau dia lambat-lambat ke kedai nanti, mesti ibunya menjerit lagi.
"Aina! Kejut Ayah sebelum ke kedai!"
Aina mengeluh buat kesekian kalinya.
Kejutkan Ayah lah paling dia tidak suka buat. Lelaki yang sudah hampir mencecah 50-an itu masih galak berjudi dan mabuk.
Mula lah dia membandingkan dirinya dengan Kak Airis yang serba serbi sempurna. Punya keluarga yang serba cukup, tidak susah ... setiap apa yang mahu dicapai oleh Kak Airis, ibu bapanya setia menyokong.
Aina senyum hambar.
Untuk apa lah dia membandingkan dirinya dengan wanita itu. Jelas sekali hidup mereka bagai langit dan bumi bezanya.
Sekalipun dia tunggang terbalik solat dan berdoa, hidupnya masih begini. Tidak mudah untuk mengubah keadaan keluarganya yang agak jauh dari agama.
YOU ARE READING
KHIDR-RELLA
RomanceHidup seorang Tuan Khidr umpama cerita cinderella. Dia punya keluarga tiri. Ibu kandungnya sudah meninggal dunia dan dia berada sepenuhnya dibawah jagaan ayah tiri dan juga adik beradik tiri. Tuan Khidr. Hanya dia sahaja yang tinggal untuk mewarisi...