Bab 13

87 21 5
                                    

GANGGANG telefon awam itu diletak semula. Terkekek-kekek Tuan Khidr ketawa. Pasti Nazir sedang amuk di rumah. Biar padan muka dia.

Memang dia sudah agak yang Nazir akan menghubungi Airis. Hasilnya, tadi Airis sendiri datang ke rumah Ansar memaklumkan padanya tentang panggilan Nazir. Kerana kasihan, Tuan Khidr telefon juga lelaki itu. Cukuplah dia buat Nazir botak kepala selama seminggu dia hilang dari radar. 

Tuan Khidr mencapai dompet yang diletakkan di tepi telefon awam. Belum dia masukkannya ke dalam kocek belakang seluar, beberapa lelaki muda yang melepak di seberang jalan tadi menghampiri. 

"Kau anak angkat Tok Imam tu kan?" soal salah seorang. 

Tuan Khidr teragak-agak mengangguk. Dompet disumbat ke kocek belakang. Mata melihat mereka semua dari atas ke bawah. 

"Kau ada duit tak?"

Tuan Khidr menggeleng. Kaki menapak satu langkah ke belakang. Hatinya berbolak-balik memikirkan kewajaran dia mempertahankan diri jika terjadi sesuatu. Tapi ... macam mana kalau berita ini tersebar dan Ayah juga abang tirinya dapat mencari dia di sini? 

"Kau jangan nak tipu. Aku nampak kau simpan dompet kau. Mentang-mentang kau budak KL, kau nak bodohkan aku ya?" ujar salah  seorang yang lain. Mereka nampaknya tidak sepenuhnya sedar. Mabuk. 

Mata Tuan Khidr mengerling ke tempat kumpulan tadi melepak. Berbotol-botol arah bersusun di tebi bangku batu itu.

Adeh... Kalau tak pandai minum, janganlah minum. Dia pernah teguk yang lebih keras lagi dari botol berwarna gelap itu. 

"Dompet ada, isi tak ada." Dompetnya dikeluarkan dan dibuka luas-luas depan mata mereka semua. 

Memang sudah dia asingkan segala isinya dompetnya. Dia tak mahu ada yang tahu dia siapa. Dia mahu bercuti dengan tenang di sini. 

Pap!

Satu libasan tepat ke kepala Tuan Khidr. Dia yang langsung tidak bersedia, terus jatuh terjelopok di atas tanah. Kepala terhentak ke batu. Pedih! 

Belum pernah ada yang berani naik tangan ke tubuhnya. Ayah pun tak berani mahu cubit dia. Tak sangka penangan pertama yang dia rasa adalah dari air tangan mat rempit kampung. 

Tubuh baru mahu didirikan, kali ini penangan kaki mereka pula yang terpaksa dihadap tanpa rela. Tuan Khidr jatuh semula ke tanah. Hati memaki. 

Kalau mereka tahu dia siapa, pasti semua ini akan dia sumbat masuk dalam lokap.

"Hoi!"

Tuan Khidr kembali membuka mata. Rasa sakit berkurang. Sepakan juga sudah berhenti. Kepala diangkat perlahan. 

'Airis?' desis hati Tuan Khidr. 

"Kau semua buli orang lagi ya?" Suara Aina menyinga. Gadis itu bercekak pinggang di hadapan sekumpulan lelaki.

Tuan Khidr segera bangun. Malu kalau Airis nampak dia menyembah bumi tadi. Jatuh lagi air mukanya. Tak cukup dengan baca Muqaddam, kena pukul pun Airis nampak juga. 

Aina membelasah seorang demi seorang dari mereka. Cekap dan laju sungguh penangan Aina. Tuan Khidr tercengang berdiri di tempat yang sama. Aina yang lagi pendek dari Airis ini sebagus itu dalam seni mempertahankan diri? 

Airis di belakang menghampiri Tuan Khidr. Telefon yang digunakan untuk menghubungi seseorang tadi, dimasukkan semula ke dalam kocek kurungnya. 

"Ki tak apa-apa?" soal Airis prihatin. 

Tuan Khidr tersengih. Dia tak apa-apa, tapi hatinya yang parah. 

"Ki tak perlu tolong Aina ke?" soal Tuan Khidr. Dia teragak-agak juga mahu pergi membantu. Takut dia pula yang terkena penangan gadis itu tanpa sengaja. 

KHIDR-RELLAWhere stories live. Discover now