[51]

321 42 31
                                    

DALAM kepekatan malam, Taman Tema Sagaria kelihatan seolah-olah sebuah bandar kecil di tengah-tengah tandus padang pasir. Landasan roller coaster usang yang sebahagian kecilnya telah rosak  melingkari hampir separuh taman hiburan bertemakan angkasa lepas itu. Pokok-pokok yang menghiasi sekeliling hanya tinggal batang dan dahan. Walaupun sudah lama ditinggalkan, tempat yang pernah menjadi antara taman tema terbaik di dunia itu masih kelihatan gah dengan binaan-binaan permainannya dan tunggangan ria yang unik.

Auvo berdiri di atas rim besi di puncak sebuah roda ferris yang telah diselaputi karat. Sesekali terdengar bunyi keriat-keriut dari kabin-kabin penumpang yang terolang-oleng akibat angin deras. Kedinginan yang bertiup tidak sedikitpun memberi kesan kepada lelaki itu. Mindanya telah dipukau oleh ribuan kilauan bintang yang bertaburan di segenap pelusuk langit. Tanpa segaris pun awan, sinaran-sinaran indah itu lebih terang dan mempersonakan daripada biasa.

Tumpuan Auvo pada keajaiban alam tersebut mati apabila seekor gagak hitam hinggap di atas bahunya. Gagak bermata ungu itu membalas renungan Auvo dengan gaukan yang perlahan.

"Kita berbual dalam kabin." Usul Auvo.

Pantas lelaki itu melompat ke atas salah sebuah bumbung kabin penumpang di bawahnya. Dia meloloskan diri ke dalam melalui bukaan tingkap yang sudah hilang penghadang kacanya. Si gagak juga segera terbang masuk dan mendarat di atas kerusi.

Sedikit demi sedikit, gagak itu bertukar ke dalam rupa manusianya, iaitu Reva.

"Kau dah jumpa diorang?" Auvo terus melontarkan kegusarannya sebaik sahaja duduk.

Reva menggeleng. "Dah hampir seharian aku cari diorang di utara. Aku dah tak ada idea kat mana nak cari lagi..."

Auvo menghembus sedikit nafas. Dia cuba berfikir tentang kawasan-kawasan lain yang mungkin dituju oleh Azaka.

"Tapi, aku ada berita baik!" Gadis itu pantas bersuara.

Nada ceria Reva membuatkan Auvo mengangkat sedikit keningnya, meminta gadis itu meneruskan perkhabaran tersebut.

"Luna dan Fabbio dah berjaya baiki sistem komunikasi di markas. Jadi, kau boleh cuba mesej Azaka." Reva tersenyum luas.

Auvo mengeluarkan sebuah telefon bimbit daripada poket jaket labuhnya. "Telefon dia kat aku."

Reva tepuk dahi.

Auvo menyondongkan sedikit badannya ke depan seraya menyangkut kedua-dua sikunya di peha. "Mungkin diorang tak berada di utara. Aku nak kau perisa di bahagian selatan sikit. Kau cuba juga cari diorang kat Rumah Anak Yatim Sigma, satu-satunya rumah anak yatim di Pekan Lumos."

Kening Reva berkerut sedikit. "Kenapa kat situ?"

"Cuma intuisi." Balas Auvo seraya menghulurkan telefon bimbit Azaka kepada gadis remaja itu.

Reva menyambut peranti tersebut. "Ada apa-apa pesanan lain kat Azaka?"

"Kau suruh je dia mesej aku. Kalau kau tak jumpa juga diorang, aku sendiri yang akan pergi cari lepas aku pastikan Kaio dan Sonny selamat." Jawab Auvo mendatar.

"Okay." Reva tersenyum senget.

Kemudian, remaja itu berubah semula menjadi burung dan membawa telefon bimbit itu pergi. Tinggallah Auvo keseorangan, kembali menikmati pemandangan angkasa.

Namun, keadaan itu tidak berlanjutan lama. Auvo terperasan akan Kaio yang sedang berdiri di bawah roda ferris tersebut. Budak itu sedang merenung ke arah Auvo, seolah-olah ingin berkata sesuatu kepadanya.

Auvo menendang perlahan pintu kabin itu dan menguaknya. Dia melompat keluar dan mendarat beberapa kali di atas bahagian-bahagian besi
binaan tersebut sebelum akhirnya menjejakkan kakinya ke tanah.

PARAGONTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang