[42]

226 55 4
                                    

TERDAPAT tiga ruang di dalam bunker milik Sudha. Bilik yang paling kecil terletak di hujung sekali. Bilik itu padat dengan rak-rak tinggi yang dipenuhi kotak-kotak rokok seludup dan tumbuh-tumbuhan aneh. Lantai juga bersepah dengan pelbagai barangan dan kertas-kertas. Bau tempat itu agak hapak kerana kekurangan pengaliran udara. Pencahayaan lampu juga agak malap.

Di satu sudut yang agak terperosok, Azaka sedang berbaring di atas sebuah katil besi. Wajahnya sedikit berkerut setiap kali jarum menembusi kulit di abdomennya. Auvo yang sedang menjahit luka tersebut tersenyum sedikit melihat reaksi perempuan itu.

"Jarang dapat tengok kau senyum. Seronok sangat ke tengok aku macam ni?" Soal Azaka dengan sengihan kecil.

"Jarang dapat tengok kau macam ni. Selalunya kau berlagak macam kuat sangat." Balas Auvo.

Azaka masih lagi tersengih. "Heh... bagus juga aku cedera. Sekurang-kurangnya dapat tengok senyuman mahal kau tu..."

"Aku selalu je senyum kat dalam hati." Auvo buat lawak hambar.

Azaka tergelak kecil, namun wajahnya kembali berkerut dek kerana tekanan di lukanya akibat tawa itu.

"Okay, dah siap." Auvo menggunting benang nilon itu dan seterusnya mengemaskan semula kotak pertolongan cemas yang terletak di atas sebuah meja kecil. Tisu-tisu dan kain berdarah dibuang ke dalam bakul sampah.

Azaka bangun dan duduk berjuntai di birai katil.

"Wow... mahakarya..." Perli Azaka sebaik melihat jahitan Auvo yang begitu hodoh.

"Terima kasih." Ujar Auvo seraya melabuhkan punggungnya di kerusi plastik bersebelahan katil.

Azaka menghembus nafas di peparunya perlahan-lahan. Renungannya melekat di wajah Auvo buat beberapa ketika.

"Cakap jelah." Kata Auvo yang sudah masak dengan perlakuan itu.

"Kau cuba penggal kepala Nell." Air muka perempuan itu sedikit serius.

"Aku tau dia takkan mati." Balas Auvo.

Azaka tersenyum senget. "Auvo, aku dah lama kenal kau. Dari cara kau, aku tau kau memang nak bunuh dia..."

Auvo terdiam sebentar. Kemudian, pandangan dilemparkan ke dalam mata biru perempuan itu.

"Kau hampir mati. Dalam apa keadaan sekalipun, aku akan sentiasa pilih kau berbanding dengan orang lain. Kau faham kan?" Jawab Auvo.

"Tapi budak tu, dia -"

"Dia bukan Naraki." Pintas Auvo mendatar. "Aku tak peduli apa misi yang Pako bagi kat kau. Aku takkan biarkan kau mati walaupun aku kena bunuh semua orang, walaupun aku kena tentang satu dunia. Sama macam apa yang kau sanggup buat untuk Naraki."

Azaka menghela nafas. "Naraki tu lain, Auvo. Bukan aku saja, ramai orang sanggup ikut dia sampai ke akhirnya. Aku ni pulak, bukan siapa-siapa pun..."

"Kau lebih dari tu buat aku. Kau tau perasaan aku untuk kau. Aku tak kisah walaupun tak pernah dapat jawapan. Kau tu bebas macam burung. Aku tak nak ikat kau. Kau boleh buat apa saja yang kau nak. Tapi, aku tak boleh biarkan kau terkorban." Luah Auvo mendalam namun tanpa sebarang ekspresi di wajahnya.

Azaka membalas renungan Auvo. Anak mata mereka bertaut agak lama.

"Terima kasih... aku hargai." Sedikit senyuman mucul di bibir perempuan itu. "Tadi aku cuai. Lain kali ia takkan berlaku lagi. Aku takkan apa-apa. Aku mohon, lain kali kau jangan apa-apakan dia lagi."

Auvo cukup sedar, di balik wajah ceria itu terselindung sebuah pergelutan di dalam kepalanya. Perempuan itu masih lagi khuatir dengan keselamatan Nell, terutamanya selepas dia hampir menyembelih budak itu.

PARAGONWhere stories live. Discover now