SONNY dan Azaka tiba di kawasan rumah pangsa yang sempit dan padat. Bangunan-bangunan tinggi itu dibina begitu rapat antara satu sama lain, seolah-olah telah bercantum.
Tempat itu terletak di berhampiran laut. Kawasan kediaman itu begitu luas dan memenuhi hampir seluruh pinggir pantai. Asap-asap keluar menderu-deru dari cerobong bangunan-bangunan yang sudah usang dan tua. Dinding -dinding merah yang kotor dan berlumut dihiasi dengan paip-paip yang berselirat. Wayar-wayar elektrik seperti helaian rambut yang kusut merentangi segenap pelosok.
Trak-trak, lori-lori dan kereta-kereta berasak-asak melalui jalan raya yang sempit. Motor-motor pula bersimpang siur melalui celahan kenderaan-kenderaan yang bersesakan itu.
Di kaki lima, beberapa penjaja melaung-laung menarik pembeli. Ada yang menolak gerai mereka di sepanjang jalan. Beca-beca tersadai menunggu pelanggan. Beberapa orang sedang menikmati santapan di kedai makan yang agak buruk sambil berbual kecil dan menghisap rokok.
Ada kanak-kanak yang berlari-lari di celah-celah lorong sempit antara bangunan. Plastik-plastik dan kertas-kertas berterbangan ditiup angin. Keadaan sekeliling agak bising dengan suara manusia dan hon dari kenderaan.
Sonny dan Azaka berdiri di bawah sebuah bangunan. Di hadapan mereka adalah sebuah bengkel membaiki kenderaan, 'AUTO-KAI' yang ditutup rapi dengan gril aluminium. Sonny mengetuk pintu besi kecil yang bersebelahan dengannya. Beberapa ketukan yang lebih kuat diberikan setelah tiada respon diberikan.
Pintu itu dibuka menghala ke dalam. Kaio terjengul dengan wajah yang masam.
"Kan aku dah pesan, bawak kunci!" dia mendengus dan membiarkan dua orang rakannya itu masuk.
Mereka menaiki tangga simen ke atas. Satu lagi pintu besi dibuka.
"Sila duduk..." Pelawa Kaio dengan sengihan sambil menunjuk ke arah meja makan; salah satu perabot yang ada di ruang kecil itu selain daripada televisyen dan peti ais.
Kaio mengambil tempatnya di meja makan itu. Azaka menarik sebuah kerusi dan duduk berhadapan dengan lelaki itu. Hanya Sonny yang masih berdiri di hujung sudut, menyandarkan bahunya ke dinding sambil menyilangkan tangannya di dada.
Kaio meluncurkan pakaian seragam askar yang terlipat di atas meja. Azaka menyambut baju seragam itu dan membeleknya. Anak matanya beralih kepada Kaio semula.
"Kau nak aku buat apa ni?" Soal gadis yang masih keliru itu.
Kaio menyangkut sikunya di meja dan membongkok sedikit ke hadapan. "Kau pernah cakap kat aku, yang kau pernah masuk rekrut askar dulu, tapi kau kena buang sebab buat hal. Jadi aku nak tau, seragam ni palsu atau tak?"
"Berdasarkan teg dan lencana, baju ni memang seragam asli. "Azaka menjawab pantas. "Mana korang dapat ni?" Gadis itu terperasan akan kesan kotoran seperti darah pada pakaian itu. Ternyata Kaio tidak berjaya mencucinya.
Kaio berdehem sedikit membersihkan tekaknya. Dia melirik ke arah Sonny, seolah-olah meminta kepastian sebelum mengalihkan perhatiannya semula kepada Azaka.
"Semalam, aku jumpa sorang budak. Dia pakai baju seragam ni." Terang Kaio dengan berhati-hati.
"Mana budak tu sekarang?" Azaka bertanya lagi.
"Dia dah lari." Sonny tiba-tiba membalas.
"Lari?" Kening gadis itu berkerut.
Saat itu juga, satu dentuman kuat kedengaran dari bilik yang berhampiran, seolah-olah ada sesuatu benda yang besar telah terjatuh. Mereka bertiga serentak memusingkan kepala ke arah bunyi itu.
Azaka bangun dari kerusinya. Kaio mulai resah. Dia memandang Sonny dan Azaka bersilih ganti. Sonny memberikan isyarat muka kepada rakannya itu supaya bertindak cepat.

ANDA SEDANG MEMBACA
PARAGON
Action[Pemenang Emerald Award 2020 • Kategori ADVENTURE] [Pemenang Amazing Books Award 2020 • Kategori ACTION] Lama dahulu, satu eksperimen telah dijalankan oleh sebuah organisasi. Projek itu berakhir dengan bencana. Kini, konflik daripada peristiwa itu m...