BILIK serba putih mirip sebuah wad itu lengang. Ruangnya luas dan dilengkapi dengan pelbagai peralatan moden. Tiada tingkap. Hanya beberapa corong penyaman udara yang berada di siling.
Kedengaran bunyi mesin-mesin yang mengelilingi satu-satunya katil yang ada di situ.
Nell melihat tangannya yang kecil. Ada tiub-tiub plastik yang tercucuk di kulitnya. Pada dadanya juga terdapat tiub-tiub yang sama.
Dia menoleh ke kiri. Irena kelihatan agak muda, sedang duduk sambil memandangnya yang sedang berbaring di atas katil. Wanita itu mengusap perlahan kepala budak botak yang berpakaian putih itu.
"Kenapa diorang asyik buat saya sakit?" Soal Nell lemah.
Irena terkesima. Dia merenung budak kecil itu, cuba mencari jawapan yang sesuai. "Supaya awak cepat sihat..."
Anak mata Nell juga tidak berganjak dari wanita di sisinya. "Tapi saya rasa lagi sihat waktu kita kat luar. Saya nak keluar dari sini... saya tak suka tempat ni..."
Irena tersenyum kelat. "Tak lama lagi kita akan balik ke rumah. Sabar sekejap je... bila kamu dah sihat nanti, kita boleh keluar bermain macam dulu."
"Saya tak suka diorang. Diorang suka buat saya sakit. Semua orang jahat. Saya tak nak sakit lagi. Saya dah tak tahan... tolonglah... saya tak nak lagi... sakit...." Rintih budak kecil itu. "Tolonglah bawak saya pergi..."
Irena sudah tidak tahu apa lagi yang harus diperkatakannya. Dia terus mengelus perlahan pipi budak yang baru berusia 4 tahun itu. Rasa bersalah menjerut dada. Perlahan-lahan air jernih berkumpul di tubir matanya.
Pintu bilik terbuka dan melungsur masuk ke dalam dinding. Muncul dua orang lelaki dan seorang perempuan yang memakai kot makmal. Wajah mereka sudah siap ditutup dengan topeng mulut.
Nell menjadi panik apabila ternampak orang-orang tersebut.
"Pergi! pergi!" Budak kecil itu cuba turun dari katil. "Tak nak! Pergi! korang semua jahat!"
"Nell, jangan macam ni!" Irena memegang erat lengan Nell, cuba menghalangnya daripada lari.
"Tak mengapa, Doktor. Kami akan jaga dia mulai sekarang." Salah seorang lelaki menghampiri Irena.
Dua orang lagi rakannya segera menekan Nell ke atas tilam. Irena bangun dari kerusinya dengan perasaan berbelah bahagi.
Perlahan-lahan, air matanya mengalir.
"Jangan tinggalkan saya! Tolong saya! Diorang akan cederakan saya! Tolong!" Nell menangis dan terus mengamuk. "Jangan sakitkan saya lagi! saya tak nak!"
Irena berundur perlahan-lahan ke arah pintu. Dia mula teresak-esak memandang budak yang langsung tiada kudrat untuk melawan. Tetapi dia tidak punya banyak pilihan.
Irena keluar dari bilik tersebut. Pintu bilik beransur-ansur tertutup. Lelaki berkot makmal tadi mengunci pintu itu dari dalam. Irena masih berat hati dan tidak berganjak. Dia terus melihat Nell melalui cermin di pintu.
Lelaki tersebut mula menyedut ubat penenang ke dalam picagari yang dipegangnya.
Irena dapat mendengar sayup-sayup suara sayu si kecil meminta tolong. Saat itu, hatinya sudah remuk. Dia sudah tidak sanggup membiarkan budak itu terus diseksa.
"Cukuplah! Jangan apa-apakan dia lagi!" Rayu Irena bersama tangisan yang semakin galak. Pintu wad itu diketuk dan digoncang berkali-kali. "Nathaniel! Nathaniel!"
.
.
.
"...NATHANIEL...!!"
Nell memandang perempuan yang tergantung di hadapannya. Cengkaman tangan di leher Azaka segera dilepaskan.
ANDA SEDANG MEMBACA
PARAGON
Action[Pemenang Emerald Award 2020 • Kategori ADVENTURE] [Pemenang Amazing Books Award 2020 • Kategori ACTION] Lama dahulu, satu eksperimen telah dijalankan oleh sebuah organisasi. Projek itu berakhir dengan bencana. Kini, konflik daripada peristiwa itu m...
