[Analepsis 1]

225 32 21
                                    

PEKAN Nimbus, Tanah Lama.
Tahun 4403, 37 tahun dahulu.

Cahaya mentari pagi menembus rintik-rintik hujan yang bergayutan di cucur atap, meminjamkan manik-manik air itu kilauan bak permata, sebelum semuanya bergilir-gilir jatuh ke tanah.

Di sebuah dapur yang kecil, dua orang budak perempuan berusia 11 dan 14 tahun sedang duduk di meja makan sambil menikmati sarapan. Kanak-kanak yang kedua-duanya berambut kelabu itu sedang asyik memandang ke luar, mengira jumlah burung-burung yang bertenggek di sepohon pokok yang rendang. Mereka begitu teruja kerana sarang buatan mereka yang tergantung di pokok tersebut berhasil menjemput banyak spesies unggas ke situ.

Seorang lagi budak perempuan berusia 16 tahun turut berada di dapur. Dia sedang memanaskan sup sayur lebihan juadah mereka semalam. Sambil itu, dia bernyanyi-nyanyi kecil. Rambut keemasannya lurus dan panjang melepasi pinggang. Ia diikat kemas di belakang leher.

Pintu di bahagian dapur terbuka dari luar. Seorang wanita pertengahan 40-an yang berkulit cerah muncul. Rambut ikal separas bahunya juga berwarna keemasan. Wanita itu menggendong sebuah bakul rotan yang mengandungi beberapa jenis sayuran hasil kebun mini di belakang rumah kecil mereka. Dia mengibas-ngibas sedikit baju dan rambutnya yang dibasahi hujan sebelum melangkah masuk. Anak mata biru mudanya merayau ke serata ceruk dapur.

"Agnetha, mana abang kamu?" Soal wanita itu kepada anak perempuannya yang masih tekun mengacau sup. Bakul tadi terus diletakkan di atas para.

Gadis itu menjungkit bahu. "Tidur lagi lah kot. Dia tu tidur seharian pun belum tentu cukup..."

Wanita tersebut menghela nafas kecil mengenangkan pe'el remaja yang seorang itu.

"Arnora, pergi panggil abang kamu. Dah dekat pukul 8 dah. Nanti korang lambat lagi." Arah ibunya kepada budak perempuan yang kelihatan seperti sudah selesai menghabiskan sarapannya.

Anak ketiganya yang berkaca mata itu mengangguk sahaja. Namun belum sempat dia bangun, satu sosok terpacul di ruang masuk ke dapur.

"Pagiii..." ucap lelaki 18 tahun itu seraya mengambil tempat di sebelah adiknya yang paling bongsu. Remaja berkulit cerah dan tinggi lampai itu masih kelihatan mengantuk. Rambut pendek kelabunya agak basah dan kusut. Sedikit aroma syampu menerawang di udara.

"Nah, sarapan abang." Agnetha meletakkan semangkuk sup dan sepinggan roti di hadapan remaja lelaki itu. Senyuman manis menghiasi bibir kecilnya.

"Terima kasih." Senyuman itu dibalas.

"Hah, eloklah kamu dah bangun. Kejap lagi hantar adik-adik kamu ke sekolah. Tapi sebelum tu, pergi bagi dulu bekal ni kat ayah. Lepas tu baru kamu sarapan. Cepat sikit!" Bebel ibu mereka sambil tangannya pantas memasukkan beberapa jenis makanan ke dalam sebuah bekas plastik.

Lelaki yang baru sahaja hendak menghirup sup panas itu terpaksa meletakkan semula sudunya ke dalam mangkuk. Adik-adiknya tersengih melihat abang mereka yang 'dibuli' oleh emak.

Remaja itu bingkas bangun mencapai bekas makanan yang dihulurkan oleh wanita yang masih dengan leterannya tentang beberapa perkara lain yang sudahpun tidak bersangkut-paut dengan masalah tidurnya.

"Baik makk..." dia mengiakan saja walaupun sudah tidak lagi menumpukan perhatian terhadap syarahan yang entah bila akan habis. Dia cepat-cepat keluar ke halaman belakang.

Tidak jauh dari situ, kelihatan sebuah pondok kecil. Ada asap tebal yang keluar dari lohong di bumbungnya. Bunyi ketukan besi bergema sekali sekala. Remaja itu berlari-lari anak ke arah binaan itu untuk cuba mengelakkan daripada terlalu banyak ditimpa hujan.

BANG!

Pintu pondok ditolak kasar. Seorang lelaki berjambang nipis dan berambut kelabu di dalam pondok itu tersentak dengan kehadiran tetamu yang entah dari mana itu. Mujurlah tukul di tangannya tidak terlepas menghentam kaki.

PARAGONWhere stories live. Discover now