JAM 8 pagi. Kaio berada di belakang Azaka sambil kakinya pantas mengekori perempuan itu. Tempat ini telah sesak dengan manusia walaupun masih awal pagi. Mereka berjalan menyusuri jalan-jalan kecil di antara bangunan-bangunan kedai di luar binaan 7 tingkat tersebut.
Akhirnya, mereka berhenti di hadapan sebuah rumah kedai yang merupakan bengkel membaiki motosikal. Kedai itu agak bersepah. Tayar-tayar dan besi-besi buruk bergelimpangan di bahagian hadapan. Lantainya berlumuran minyak hitam dan ditaburi dengan komponen-komponen besi kecil serta beberapa alatan seperti pemutar skru dan sepanar. Dua orang pekerja sedang sibuk membaikpulih sebuah motosikal.
"Selamat datang!" Sapa seorang lelaki berkulit cerah di hadapan kedai dengan ceria. Usianya dalam pertengahan 40-an. Ada sejemput janggut di dagunya. Tingginya lebih kurang 165cm. Rambut yang melepasi bahunya dijalin membentuk tocang-tocang kecil. Rambut perang itu bercampur-campur dengan rona biru.
"Boleh aku tolong?" Lelaki yang memakai baju singlet putih itu menghembuskan asap rokok yang terkepit di bibirnya dan membuatkan Kaio terbatuk.
"Ya... tolong hembus kat tempat lain, boleh?" Balas Kaio sambil mengibas-ngibas kepulan asap itu dengan tangannya.
Lelaki itu ketawa besar, menyerlahkan gigi hadapannya yang jarang di tengah. Dia membuang rokoknya ke lantai dan mematikan apinya dengan hujung kasut. "Gembira?"
Kaio mengangguk. "Encik yang kacak, kitorang ada nak cari beberapa barang. Tapi saya tak pasti kedai ni ada ke tak. Sebab barang yang saya nak tu agak susah nak jumpa." Terang Kaio.
"Maaf, Sudha. Dia baru kat sini." Azaka menepuk belakang Kaio.
"Ikut aku, budak." Lelaki bernama Sudha itu tersengih penuh makna dan masuk ke kedai.
Di dalam, terdapat sebuah meja seakan kaunter yang juga agak semak. Di sebelahnya, seorang budak perempuan berusia 13 tahun sedang bermain dengan dua ekor anak kucing. Kulitnya cerah. Rambut perangnya ditocang ke belakang. Dia memakai baju T putih dan seluar denim. Kemeja merah bercorak petak terikat di pinggangnya.
"Rintana, tolong ayah." Kata Sudha sambil terus melangkah ke belakang bengkel. Budak perempuan itu bingkas mengikut tanpa banyak bicara.
Mereka berhenti di bahagian yang dipenuhi rak. Kawasan itu sedikit sempit kerana dipenuhi kotak-kotak yang dilambakkan di merata-rata tempat. Sudha dan anak perempuannya pantas mengalihkan kotak-kotak itu ke tepi, mendedahkan lantai kayu di bawahnya. Anak beranak itu membuka lantai kayu yang seakan pintu.
"Ini stok baru. 'Segar' lagi ni..." Beritahu Sudha.
Azaka tersenyum luas. "Cantik..."
Kaio ternganga. Matanya seolah-olah bercahaya melihat pelbagai senjata api yang tersorok di bawah lantai kayu itu. "Wow..."
Sudha mencangkung di tepi ruang lantai itu. "Jadi, 'mainan' mana yang korang nak?"
_________________________________________
"Ada kenduri ke?" Soal Nell sebaik ternampak hidangan yang melimpah ruah di atas meja.
"Oh, Selamat pagi, Nell! Mari duduk..." Pelawa Wulan yang sedang menuangkan teh panas ke dalam cawan. Sonny sudahpun berada di meja makan itu.
"Kau yang masak semua ni?" Nell mengambil tempatnya di meja itu.
"Dah tentulah, sayang. Sarapan macam ni bagus untuk mulakan hari korang semua." Terangnya penuh semangat.
"Terima kasih. Susah-susah je." Nell menyapu mentega kacang pada roti bakar dan menggigitnya. Kemudian dia mencuba sup cendawan. Boleh tahan sedap. Patutlah Sonny melantak sampai tak cakap sepatah pun.
YOU ARE READING
PARAGON
Action[Pemenang Emerald Award 2020 • Kategori ADVENTURE] [Pemenang Amazing Books Award 2020 • Kategori ACTION] Lama dahulu, satu eksperimen telah dijalankan oleh sebuah organisasi. Projek itu berakhir dengan bencana. Kini, konflik daripada peristiwa itu m...