SUBUH ini sedikit dingin. Udara basah. Titisan-titisan air masih bersisa di dedaun pokok dan rumput-rumput. Serangga-serangga sudah keluar merayap mencari makanan di atas tanah yang lembab.
Nell tersedar dari mimpi. Bola matanya dipusingkan ke merata tempat, cuba untuk mengingati keberadaannya. Dia bangkit dari pembaringan dan terus duduk. Peluh di wajahnya disapu. Jantungnya masih berdetak laju.
Segera dia teringat akan mimpi-mimpinya sebelum ini. Mimpi yang sering berulang-ulang seperti pemain cakera yang tersekat. Semuanya tentang Irena dan dirinya ketika masih kecil.
Tak semena-mena, satu kesakitan menyerang kepalanya. Dia mengerang perlahan. Nell mencengkam rambutnya. Rasanya seperti hampir meletup. Dia menahan dirinya dari menjerit. Budak itu terbaring semula, menggulungkan dirinya dalam kesakitan yang amat sangat. Biji matanya seolah mahu tersembul. Sensasi loya berkumpul di tekak. Badannya mula menggigil dengan teruk.
Tiba-tiba, muncul rasa takut sekiranya saat ini dia bertukar gila. Dia berusaha bangun dengan sedaya upaya.
Aku kena pergi dari sini!
Nell menggagahkan diri berjalan menuju ke ruang hadapan bunker. Semakin lama, hayunan kakinya kian laju. Pintu bunker cuba dibuka namun agak ketat. Dengan menggunakan sedikit kuasanya, pintu itu terpelahang ke luar. Nell terus meloloskan diri dari tempat itu.
Rintana yang baru bangun terpisat-pisat melihat ke arah pintu bunker yang terbuka. Segera gadis itu melompat turun dari katil. Dia berlari anak ke arah Sudha yang sedang diulit mimpi di tepi dinding. Tubuh ayahnya digoncang kuat.
"Ayah! Nell dah lari!" Rintana sedikit cemas.
"Hah?!" Sudha yang masih sedikit mamai terus bangun dan duduk. "Kita tak boleh biarkan dia sorang-sorang kat dalam hutan ni. Kejutkan semua orang...!"
Nell terus berlari sejauh mungkin. Kakinya dipaksa bergerak dengan segala kudrat. Entah berapa lama dia telah berlari. Dia tidak tahu ke mana arah yang dituju. Badannya sudah calar-balar dihiris duri-duri pohon yang meliar.
Kemudian, dia tersungkur. Rasa perih dan ngilu semakin bermaharaja lela. Seluruh tubuhnya kejang. Dagingnya seperti sedang ditikam berkali-kali.
Saat itu, kepalanya diterjah dengan bayangan-bayangan yang tidak dapat dibendung. Ia terus menerobos otaknya seperti tayangan filem yang berceramuk. Urat-urat kasar timbul jelas di dahinya. Suara-suara yang tidak dikenali berdering di otak.
"Kami yang jadikan kau, 407. Kau patut patuh!"
"Ibu sayang kamu, Nathaniel. Kamulah dunia ibu."
"Lari, Nataniel!!"
"Dia kena lupakan semuanya. Ini untuk kebaikan dia..."
Nell akhirnya menjerit kerana sudah tidak tahan lagi. Gemanya memecah kesunyian.
Dalam keadaan yang genting itu, terasa bahunya dipegang. Satu bisikan hadir di telinganya.
"Nell... bertenang. Tarik nafas... kau akan okay..."
Dia kenal suara itu. Perlahan-lahan dia cuba mententeramkan dirinya.
Nell berhenti bergelut. Sedikit demi sedikit, dia cuba menghirup oksigen meskipun agak tersekat-sekat.
Lama kelamaan, kepalanya kian ringan. Kesakitan itu beransur-ansur surut. Penglihatannya sudah tidak berbalam. Namun jasadnya masih menggeletar dan terasa amat lesu.
Nell memerhatikan kelibat legap Azaka di dalam kesuraman hutan. Perempuan yang sedang mencangkung di hadapannya menyelimuti badan Nell dengan sehelai jaket khaki. Kemudian, Azaka menunggu budak itu kembali pulih.
YOU ARE READING
PARAGON
Action[Pemenang Emerald Award 2020 • Kategori ADVENTURE] [Pemenang Amazing Books Award 2020 • Kategori ACTION] Lama dahulu, satu eksperimen telah dijalankan oleh sebuah organisasi. Projek itu berakhir dengan bencana. Kini, konflik daripada peristiwa itu m...