PAGI keesokannya, hujan renyai-renyai. Suasana menjadi agak gelap. Jalan-jalan di antara deretan-deretan kedai diselubungi dengan kabus putih yang tebal.
Hari ini lebih sunyi daripada biasa. Sekumpulan Penghapus berkeliaran di lorong-lorong yang kotor, memeriksa dan mengutip mayat-mayat yang terdampar akibat pergolakan hebat semalam.
Nell duduk dan bersembunyi di belakang tiang sebuah kedai setelah memastikan tiada tentera yang berada berhampiran. Jantungnya berdegup kuat sehingga dia sendiri dapat mendengarnya. Dia menyelak bajunya ke paras dada. Tanda lahirnya telahpun ditutup dengan sempurna oleh krim berwarna kulit.
Nell memejamkan matanya rapat-rapat. Nafasnya ditahan, dan dengan pantas dia membenamkan mata jarum picagari ke dadanya.
Kesakitan terasa mencengkam dan sekelip mata menjalar di seluruh kawasan rusuknya. Dia cuba sedaya upaya untuk tidak mengeluarkan sebarang suara.
Cepat-cepat dia menekan omboh ke bawah, memaksa cecair jernih itu masuk ke jantungnya. Dia membongkok, menyandarkan belakangnya ke tiang konkrit itu. Picagari itu dicampak ke tepi dan terus disepak ke dalam longkang. Dia menunggu kesan ubat itu dengan sabar.
Tidak sampai beberapa minit, ruang dadanya terasa amat berat dan kejang. Dia mula tercungap-cungap dan mencengkam bahagian depan kemejanya.
Rasa lumpuh menyerang bahagian atas tubuhnya. Kemudian, ia merebak pula ke kaki. Budak itu menggigil. Kepalanya terasa ringan dan pandangannya berpusing-pusing. Kelesuan yang amat sangat menguasai dirinya.
Penglihatannya semakin kabur dan akhirnya dia rebah di atas koridor basah itu.
_________________________________________
Penghapus akhirnya menemui budak itu. Sekumpulan tiga orang mendekati tubuh Nell yang tidak bergerak. Seorang daripada mereka tunduk dan menekapkan dua jarinya pada leher budak itu.
"Mati." Dia memberitahu yang lain dengan suaranya yang terpekup di dalam topeng gas.
Dua orang lagi memegang kaki Nell dan menariknya dari koridor. Mereka mengheretnya dengan kasar sepanjang lorong yang kotor dan penuh dengan lopak berair. Nell basah lencun dan diselaputi lumpur.
Dari kejauhan, muncul sebuah Kapsul Medik berwarna merah, iaitu kenderaan sepanjang 12 meter yang berupa seakan-akan trak. Kapsul Medik itu tidak mempunyai sebarang tayar. Kepala kapsul dilindungi dengan kaca gelap, manakala badan besinya yang berbentuk trapezium dicat dengan garisan kuning yang lebar di setiap sisi dengan tulisan "KAPSUL 042".
Bahagian belakang Kapsul terbuka seperti sebuah gua. Cahaya yang terang dari dalamnya serta wap-wap sejuk melimpah ke jalan.
Penghapus-Penghapus memasukkan Nell ke dalam beg mayat berwarna putih lalu mengangkat dan melemparkannya masuk ke ruang belakang kapsul yang sudahpun dipenuhi dengan mayat-mayat yang lain.
Trak itu sedikit demi sedikit terapung dari tanah. Kipas dari bahagian bawah kapsul itu menerbangkan sebarang benda di sekelilingnya dan memercikkan air yang bertakung di atas jalan. Perlahan-lahan ia bergerak ke hadapan sebelum meluncur dengan lancar. Trak tersebut bergerak laju melalui kawasan mundur itu, dan akhirnya meninggalkan Padang Langit.
_________________________________________
Matanya terbuka. Nell cuba mengingat kembali di mana keberadaannya. Penglihatannya beransur kembali. Dia hanya nampak sedikit cahaya suram dari balik plastik yang berada di hadapan wajahnya sekarang. Kekeliruan masih berlingkar benaknya.
Suara-suara manusia kedengaran di sekelilingnya, bercerita tentang jasad-jasad yang sudah mereka asingkan untuk diambil sel-sel, tisu-tisu dan kornea. Ingatannya datang semula. Dia yakin bahawa kini dia berada di bilik mayat. Dia cuba meneliti lagi perbicaraan mereka. Berdasarkan suara, hanya ada dua orang di dalam bilik itu.
ANDA SEDANG MEMBACA
PARAGON
Ação[Pemenang Emerald Award 2020 • Kategori ADVENTURE] [Pemenang Amazing Books Award 2020 • Kategori ACTION] Lama dahulu, satu eksperimen telah dijalankan oleh sebuah organisasi. Projek itu berakhir dengan bencana. Kini, konflik daripada peristiwa itu m...
