[31]

306 60 10
                                    

MEREKA bertiga telah jauh dari kawasan itu. Tiada lagi dahan yang bersambungan. Mereka perlu turun ke tanah.

Sonny melungsur turun dari dahan pokok diikuti oleh Nell dan Kaio. Mereka tidak melengahkan masa dan segera berlari deras.

Namun langkah mereka tidak jauh.

"Hello, budak-budak." Talon berdiri gagah dan tersengih ke telinga. "Kelam-kabut nak pergi mana ni?"

Mereka bertiga terdiam. Peluh jantan sudah membasahi wajah masing-masing.

Talon menghalakan mesingan miliknya kepada Kaio, tetapi anak matanya tepat ke arah Nell. "Aku tau kau budak baik. Jadi kau takkan sanggup tengok kawan kau ni diapa-apakan, betul?"

Sonny mara ke depan. "Kalau kau cederakan dia, kau takkan selamat!"

Talon tergelak besar. "Oh, takutnya aku! Apa kau nak buat kat aku? Tenggelamkan aku dalam peluh kau?" Tawanya kian menggila.

"Mungkin aku boleh hilangkan senyuman kat muka hodoh kau tu." Ayat itu keluar spontan dari mulut Nell yang sejak tadi merasa 'terganggu' dengan gigi emas lelaki itu.

Sememangnya senyuman itu lenyap dan digantikan dengan renungan yang mengerikan. "Jadi, ucapkan selamat tinggal kat kawan kau ni."

Saat itu, amunisi memecut keluar dari senjata api lelaki itu.

Sonny segera menolak Kaio jatuh bersamanya.

Nell berlari ke arah Talon. Beberapa peluru telah membenam ke dalam isinya tetapi dia terus maju. Dia sudah tahu bahawa peluru sebegitu hanya dapat mencederakannya sementara sahaja.

Nell cuba merebut mesingan Talon. Pergelutan berlaku.

Bedilan-bedilan senjata api itu meliar ke serata tempat. Burung-burung berterbangan di ruang udara menyelamatkan diri mereka.

Talon menghadiahkan satu tumbukan tepat di pipi Nell. Budak itu terpelanting ke udara.

Buku lima lelaki itu rasanya seolah-olah batu konkrit. Pandangan Nell terasa berbintang.

Sonny muncul entah dari mana dan memberikan beberapa tumbukan balas dengan tangan elektriknya. Talon berjaya menangkap tangannya, namun Sonny pantas mengeluarkan cas-cas yang mencapah, lalu berjaya membakar kulit muka dan sedikit rambut lelaki sasa itu.

Talon cepat-cepat melepaskan tangan Sonny dan menepuk asap nipis yang terawang-awang dari kepalanya.

"Sial!" Talon mengetap giginya.

Sonny tidak membuang masa. Kedua-dua tangannya mengeluarkan bebola elektrik berwarna biru. Segera dia menekapkannya ke wajah Talon.

Badan lelaki itu kejang seketika akibat arus yang menerjah badannya, namun dia tidak langsung menunjukkan tanda kesakitan. Dia jatuh melutut.

Tanpa disangka, Talon menarik picu mesingannya. Sonny cuba mengelak tetapi beberapa butir peluru mengenai bahu, lengan dan peha kirinya.

Budak itu terduduk. Darah laju merembes membasahi pakaiannya.

Talon berdiri semula dan cuba memberikan tembakan lagi. Pada masa itu, Nell memanjat di belakang Talon dan mencekik lelaki itu dengan lengannya.

Lelaki itu menyiku kepala Nell yang berada di belakangnya bertubi-tubi. Nell cuba bertahan.

Talon dapat merasakan kekuatan badannya sedikit berkurangan. Mungkin disebabkan oleh renjatan elektrik tadi. Lelaki itu berpusing-pusing beberapa kali dan akhirnya berjaya mencampakkan Nell ke tanah juga.

Hujung senjata milik Talon kini berada betul-betul di hadapan muka Nell.

Budak itu menelan air liur. Rasa terbakar luka tembakan di badannya mula menggila. Dia perlu mencari helah.

PARAGONTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang