[4]

434 78 5
                                    

8 TAHUN kemudian. Tahun 4439.

Daerah Padang Langit merupakan tempat ketujuh mereka menetap. Sebelum timbul sebarang keraguan daripada penduduk setempat, mereka akan keluar dari daerah tersebut. Setakat ini, langkah itu berjaya membuatkan mereka halimunan daripada pihak kerajaan.

Nell yang kini berusia 18 tahun mencapai beg galasnya. Budak yang sudah setinggi 178cm itu pantas mengekori Irena yang sudahpun berada di muka pintu keluar.

Enjin trak dihidupkan. Irena memandunya keluar dari halaman rumah menuju ke jalan utama. Sepanjang perjalanan, mereka hanya diam. Kenderaan agak banyak pada hari ini. semua orang bergerak menuju ke pekan. Keadaan menjadi semakin sesak apabila mereka menghampiri kawasan itu.

Irena memberhentikan trak buruknya di tepi jalan. Mereka segera keluar dari situ dan berlari-lari anak menuju ke klinik milik ayah Leon, iaitu Doktor Martin yang terletak di deretan bangunan rumah kedai. Papan tanda 'TUTUP' tergantung pada pintu kaca klinik. Walaupun ianya berkunci, masih ramai yang menunggu di hadapan premis itu dan berharap untuk menerima rawatan. Kebanyakan mereka cengkung dan tidak bermaya.

Irena dan Nell lantas masuk ke dalam melalui satu lagi pintu besi yang agak tersorok di bahagian belakang klinik itu.

"Martin?" Irena tercari-cari lelaki itu. "Martin... Leon..." Dengan cemas dia mengulang seru nama anak beranak itu beberapa kali.

Pintu bilik rawatan nombor 2 dibuka.

Kelihatan Martin terbaring kaku di atas tilam. Irena beransur-ansur merapati katil itu. Dia memegang tangan lelaki yang terbujur itu, merenung tepat ke arah mukanya yang sudah hilang warna. Matanya sudah tertutup rapat.

Irena menekup mulutnya menahan sebak. Air matanya menderu. Wanita itu mencium dahi rakan baiknya itu. Dengan kematian Martin, hanya Irena sahajalah satu-satunya doktor yang tinggal di kampung ini.

Demam Hitam, itu nama yang diberikan oleh penduduk Dataran Besar kepada wabak misteri yang mula menular sejak enam bulan yang lalu. Mereka, semua mereka di situ tidak tahu bagaimana cara penyakit itu tersebar. Sudah bermacam-macam usaha dilakukan oleh penduduk di situ demi mendapatkan penawar, namun semuanya berakhir seperti abu. Akhirnya, mereka akan hilang semua keupayaan fizikal sebelum degupan jantung terhenti tanpa apa-apa petanda. Terlalu ramai yang telah menemui ajal. Haiwan dan tumbuhan juga turut terkesan.

Bekalan makanan mahupun perubatan semakin berkurangan akibat perintah sekatan yang dikenakan oleh kerajaan. Menurut mereka, itu adalah langkah yang terbaik bagi mengelakkan penyakit itu tersebar ke negara-negara lain. Sudah tentu sebarang perdagangan dari luar juga amat terhad. Hidup rakyat negara itu semakin tertekan. Tembok tinggi dan tebal dibina di sekeliling sempadan. Sesiapa yang cuba merusuh telah ditembak mati oleh askar kerajaan. Nasib yang sama menimpa orang-orang yang cuba melepasi tembok itu.

Janet merupakan salah seorang mangsa terawal demam hitam itu. Sejurus selepas wabak itu muncul, seluruh perkampungan itu membanjiri klinik kecil mereka. Janet merawat setiap pesakit dengan segala usaha tanpa sedar akan akibatnya. Namun dia tidak pernah menyesal melakukannya. Beberapa hari selepas kematian Janet, Lily menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit yang sama. Martin juga akhirnya telah mengikut jejak mereka.

Nell menghampiri Leon yang tersandar di sudut bilik itu, kaku seakan patung. Dia begitu tidak terurus dengan jambang nipis yang mula memenuhi wajah. Matanya bengkak. Lelaki itu masih memakai baju yang sama ketika Nell bertemu dengannya semalam. Leon terus menerus menunduk ke lantai sejak mereka tiba tadi. Pandangannya tidak lagi bernyawa.

Nell duduk di situ dan terus memeluk rakannya itu. Air matanya tumpah. Leon membalas pelukan Nell. Namun, dia langsung tidak menangis. Keadaan mereka begitu selama beberapa minit.

Leon merenung ke arah jasad ayahnya yang tidak bergerak. Kemudian kepada Irena yang sedang teresak-esak.

"Aku akan hentikan semua ni," bisik lelaki itu.

Nell melepaskan rangkulannya. Dia menatap rakannya dengan wajah yang tegang. "Kau nak buat apa?"

Leon tidak menjawab pertanyaan tersebut. Dia hanya membalas pandangan keliru budak itu. Kemudian, lelaki itu bingkas menuju ke arah pintu lalu meninggalkan ruang tersebut. 

PARAGONWhere stories live. Discover now