NELL, Kaio, Sonny, Azaka dan Auvo telahpun berada di tapak pelupusan kenderaan yang berada di luar pekan. Lokasi itu terletak lebih kurang 2 kilometer jauhnya dari Tasik Garuda.
Tanah milik persendirian itu amat luas, seakan sebuah bandar kecil.Mereka berjalan di celah-celah gunungan kereta yang maha banyak. Terdapat juga sejumlah besar kenderaan yang telah dikemekkan menjadi kiub dan ditindan setinggi-tingginya untuk meminimakan ruang. Besi-besi lama berselerak di setiap sudut. Sekali sekala beberapa buah lengan kren yang menjulang tinggi terlihat menghiasi latar belakang.
Setelah berjalan hampir 10 minit, langkah mereka perlahan-lahan terhenti apabila ternampak jip askar yang mereka naiki semalam berada di depan mata.
"Buruk gila kerja kau..." Kaio hampir ketawa memandang kenderaan yang telah dicat semula dengan warna hitam itu.
"Seni kot." Auvo merasa tidak bersalah dengan hasil kerjanya yang cincai. Asalkan dia boleh mengabui mata pemilik tempat pelupusan untuk membawa kenderaan tentera itu ke kawasan ini, itu sudah cukup baik.
"Tak kisahlah. Jom, kita mula cari barang-barang untuk tambah baik jip ni. Nah, senarai barang!" Arah Kaio sambil membahagikan beberapa keping kertas kepada setiap orang.
"Menakjubkan..." kening Nell terangkat sebaik melihat senarai yang lengkap dengan lukisan.
"Aku lukis sebab aku tau korang tak biasa dengan barang-barang automotif ni. Kerja kita pun lebih cepat, kan?" Jelas Kaio.
Azaka mengangguk setuju. "Kaio si genius, eh?" Perempuan itu tersengih.
Kaio tersenyum bangga dengan hidungnya yang kembang kempis.
"Pfft... berlagak..." Sonny menepuk kepala rakannya itu. Kaio tergelak.
Masing-masing tidak membuang masa yang begitu berharga. Mereka berpecah dan bertebaran di kawasan tersebut. Durasi yang ditetapkan hanyalah satu jam. Selepas itu, Mereka perlu berkumpul semula di situ .
Seperti yang dijangkakan, Kaio terlebih dahulu menjumpai kesemua barangan di dalam senarainya. Tidak lama kemudian, Auvo pula menyusul. Lelaki itu melambakkan barangannya di atas tanah. Dia agak hairan melihat Kaio yang sejak tadi berdiri memandang timbunan kereta di hadapannya.
"Kau tengok apa tu?" Tegur Auvo.
Kaio yang baru sahaja menyedari kehadiran lelaki itu menoleh. "Oh... tu ha..." dia menunjuk ke arah sebuah trak yang tertindih di antara ribuan kenderaan lain. "Kalaulah aku dapat chasis dan bahagian belakang trak tu, memang cun lah."
"Untuk apa?" Soal Auvo lagi.
"Memandangkan kita akan bergerak jauh dan perlukan ruang untuk simpan stok bekalan, aku tak rasa jip tu cukup besar. Kan elok kalau dapat sambung bahagian belakang trak tu dengan jip ni." Kaio menepuk hud kenderaan di sebelahnya. "Tapi... ah, lupakan jelah. Proses nak menyambung bahagian-bahagian tu pun akan ambil masa yang lama. Peralatan pun tak cukup..."
Auvo mengeluh dan merapati budak itu. "Dah, tepi..."
Kaio terpinga-pinga, namun menurut sahaja arahan Auvo.
Auvo mengangkat tangannya. Perlahan-lahan, satu persatu kenderaan yang berada di bahagian atas timbunan itu terapung ke atas. Semakin lama semakin tinggi, sehinggalah kesemuanya memenuhi ruang udara, seakan bergantungan tanpa tali. Tengahari panas berubah redup kerana dipayungi kenderaan-kenderaan yang tidak terkira banyaknya.
Kaio melopong. Nell dan Sonny yang baru sahaja tiba juga terbeliak menyaksikan peristiwa itu.
Akhirnya, trak pilihan Kaio didaratkan di hadapannya.

ANDA SEDANG MEMBACA
PARAGON
Action[Pemenang Emerald Award 2020 • Kategori ADVENTURE] [Pemenang Amazing Books Award 2020 • Kategori ACTION] Lama dahulu, satu eksperimen telah dijalankan oleh sebuah organisasi. Projek itu berakhir dengan bencana. Kini, konflik daripada peristiwa itu m...