[6]

414 70 0
                                    

TIGA bulan yang penuh dengan penderitaan berlalu begitu perlahan. Tahun baru 4440 telah menjelang beberapa minggu yang lalu.

Malam ini lebih sejuk daripada biasa. Sudah hampir seminggu mereka berkurung di rumah. Keadaan di luar terutamanya di kawasan bandar agak tegang. Askar-askar sudah mengepung kawasan itu setelah rusuhan berlaku dua minggu lepas. Sudah agak lama mereka tidak ke klinik.

Nell memulas tombol radio buruk yang berada di atas para dapur, cuba mencari saluran yang lebih jelas. Suara penyampai berita kedengaran putus-putus. Peperangan antara kerajaan dan pemberontak meletus lagi. Pemberontakan yang terbaru dilancarkan empat hari yang lepas. Pertelagahan yang semakin lama semakin kerap. Seperti selalu, korban nyawa seakan sudah menjadi intipati yang biasa di dalam setiap laporan, disampaikan santai seolah-olah seperti ramalan cuaca.

Irena mengikat rambutnya menjadi sanggul dan menyalakan kayu api. Dia memasukkan beberapa biji ubi kentang ke dalam periuk yang telah berisi air. Sudah hampir sebulan mereka keputusan bekalan gas. Tepung juga hampir habis. Wang simpanan mereka telah licin digunakan. Tanamannya tidak menjadi dan tidak memulangkan hasil.

Nell mengintai keluar melalui rekahan tingkap kayu di dapurnya. Segalanya begitu sunyi. Entah mengapa, dadanya berdetak lebih laju hari ini. Dia rasa gelisah. Mungkin kerana bimbang tentera-tentera akan menyerbu rumah mereka secara tiba-tiba, atau mungkin kerana Leon. Nell sentiasa terfikirkan rakannya yang ketika ini bersama-sama dengan pasukan pemberontak. Bila-bila masa sahaja mereka akan merobohkan pintu utama tembok yang telah mengurung negara ini sejak sekian lama.

Nell berpaling ke arah Irena yang sudahpun duduk di meja makan. Wajah panjangnya semakin cengkung apabila membelakangi cahaya lentera. Wabak itu juga sedang 'memakan' wanita itu. Keadaan Irena kian lemah. Rambutnya sedikit demi sedikit hilang. Tubuhnya telah susut dengan mendadak.

Irena merenung sekeping sampul surat di tangannya dengan raut penuh kerutan. Dia selalu mengirimkan surat kepada seorang kawannya yang berada di Wilayah Putih. Namun sejak perintah kurungan itu, agak susah untuk mengirim sesuatu tanpa diperiksa terlebih dahulu. Nell tidak pernah berjumpa dengan rakan mak ciknya itu, mahupun mengetahui isi kandungan surat-surat itu selama ini. Irena juga tidak banyak bercerita tentang rakan lamanya yang bernama 'Uza' itu.

"Mak cik nak cuba mintak tolong dari dia ke?" Soalan Nell mematikan lamunan Irena. Budak itu merapati wanita itu dan duduk di sebelahnya. Tangan Irena yang hanya tinggal belulang itu dipegang lembut.

"Kalaulah boleh," Irena menjawab perlahan. "Kalaulah boleh..." Irena terus menerus menatap surat itu. Saat ini, dia sudah tidak tahu kepada siapa hendak meminta bantuan.

Nell melihat Irena tanpa dapat berkata apa. Dia hanya mampu mengurut lengan mak ciknya, cuba memenangkan wanita itu sedangkan hatinya sendiri masih bergelodak.

Sejak penyebaran penyakit itu, kerajaan telah menubuhkan satu pasukan yang dipanggil 'Penghapus'. Mereka ditempatkan di seluruh Dataran Besar. Pakaian mereka serba putih, memakai topeng gas dan membawa senjata api. Tugas Penghapus ialah mengumpulkan mayat-mayat yang telah mati dan menguruskannya. Jasad-jasad itu akan dibawa ke sebuah kem tentera. Tiada siapa yang tahu bagaimana semua mayat itu dihapuskan.

Nell tidak mahu Mak ciknya menerima nasib yang sama. Dia tak akan membiarkan wanita itu diambil begitu saja. Itu bukan hak mereka.

Irena menatap budak di hadapannya. Garis rahang yang kukuh dan janggut nipis membuatkan budak itu terlihat matang dari usianya yang baru mencecah 19 tahun. Surat di tangannya dipegang lebih kemas. Keutamaannya sekarang bukanlah dirinya, tetapi Nell. Dia tidak boleh membiarkan mereka mengapa-apakan budak ini.

"Nell, boleh janji satu benda dengan mak cik?" Suaranya mengharap.

Nell mengalihkan anak matanya menjauhi Irena. Dia sudah tahu soalan yang bakal diajukan oleh wanita itu.

Irena tunduk. Dengan sedikit kekuatan, dia menyusun kata. "Janji pada mak cik. Bila dah sampai masanya, kau kena cari ibu kau di Benteng Agung."

Nell diam. Dia cukup benci dengan permintaan itu. Dia tak faham mengapa dia perlu mencari Ellis, perempuan yang telah membuangnya.

"Boleh tak kita cakap pasal benda lain?"

"Nell, dengar sini. Tak ada sorang pun yang pernah selamat dari benda ni. Mak cik pun sama, takkan selamanya di sebelah kau," tegas Irena.

"Tak, Mak cik takkan mati. Tak kira apa yang akan jadi, saya akan cari ubat untuk mak cik. Saya akan bawak mak cik keluar dari tempat teruk ni," ujarnya sedikit keras. "Saya akan jaga mak cik macam mana mak cik saya jaga selama ni."

Tangan kiri Nell digenggam erat. "Belajarlah terima kenyataan, Nell. Satu hari nanti masa tu pasti akan sampai jugak. Mak cik nak kau sedia untuk hadapi waktu tu!"

"Mak cik yang cepat sangat mengalah..." Ada sedikit marah dalam suaranya.

Irena menggelengkan kepalanya. "Ini bukan soal putus asa, Nell. Ni kenyataannya. Mak cik bukan nak kau mengalah, tapi bersedia. Cepat atau lambat, benda ni akan berlaku jugak nanti. Kau sepatutnya tau lebih dari tu. Kau sendiri dah tengok apa yang jadi pada semua yang ada di sekeliling kau."

Nell terdiam. Wajah keluarga Leon muncul.

Budak itu mendengus. "Dia tak pernah langsung datang jenguk saya. Dari dulu, dia tak pernah datang sini walaupun masa tu tak ada perintah sekatan. Telefon? Tulis surat? Tak pernah sekali pun." Nell menoleh ke arah perempuan itu. "Kenapa mak cik yakin sangat yang kakak kembar mak cik tu masih ingat kat saya? Mak cik fikir dia masih nakkan saya yang pelik ni? Saya tak rasa macam tu..."

Irena menggeleng perlahan, tidak bersetuju dengan kata-kata itu. "Nell, kau tak kenal ibu kau..." dia tunduk.

"Ye, memang saya tak kenal dia. Dan saya tak nak pun nak kenal dia... "

"Tak, Nell. Dia sanggup mati untuk melindungi kau. Dia sanggup korbankan apa saja... demi kau."

Nell ketawa kecil. Sudah sering kali dia mendengar ucapan itu. "Dia tinggalkan saya atas riba mak cik, lepas tu lari. Macam tu ke namanya berkorban?"

Irena tidak bersuara. Dia cuma memandang kosong surat yang dipegangnya. Dia mati bicara. Walau berapa kali sekalipun dia cuba meyakinkan budak itu, namun dia tahu tiada apa yang dapat mengubah fikirannya terhadap ibunya.

Nell memejamkan mata. Dia agak menyesal dengan kata-katanya tadi. Dia sedar bahawa dia telah menyakiti perempuan itu.

"Saya cuma tak nak mak cik fikir benda yang bukan-bukan," suaranya kembali perlahan. "Percayalah kat saya, saya akan pastikan kita berdua keluar dari sini. Cuma bagi saya sikit lagi masa."

Irena bangun. Dia berjalan ke arah periuk kentangnya yang sudah menggelegak. "Kau memang takkan dengar cakap aku..." ujarnya dengan nada kecewa.

Nell menyapu mukanya dengan kedua belah tapak tangan. Dia masih tak faham apa perlunya mencari perempuan itu. Selama ini pun dia tak memerlukan perempuan itu di dalam hidupnya. Masih ada perkara lain yang lebih mustahak ketika ini yang perlu difikirkan.

Nell bangun dan mengekori Irena. "Mak cik..." Dia memegang tangan wanita itu. "Saya minta maaf..." pinta budak itu dengan nada serba salah.

Irena menoleh ke arah Nell. Budak itu memeluknya. Irena memejam matanya dan membalas pelukan itu. Mereka diam untuk beberapa lama.

"Tolong dengar permintaan aku ni, Nell. Carilah ibu kau..." ujar Irena dengan kerisauan yang menebal. Dia tahu dia tidak akan lama lagi di dunia ini. Dia terdesak mahukan Nell selamat. "Janjilah pada aku, Nell. Janjilah pada aku..."

Dengan berat hati, Nell mengangguk .

PARAGONWhere stories live. Discover now