FAJAR perlahan hadir. Langit kian terang. Sudha kini mengambil alih tempat pemandu. Rintana berada di sebelah ayahnya, terlentok tidur kepenatan.
Auvo membuka pintu di bahagian siling Panthera. Dia memanjat keluar dan duduk di atas bumbung dengan kakinya yang masih terjuntai ke dalam kenderaan. Luka di badannya masih terasa sakit, namun semakin sembuh. Lelaki itu meneliti sekeliling, memastikan mereka tidak diekori. Keadaan di kawasan yang pernah dikenalinya itu sudah terlalu banyak berubah.
Mereka melalui sebuah lebuhraya yang sunyi. Jalannya sudahpun merekah dan berlubang-lubang. Terdapat jejambat di bahagian atas, kiri dan kanan sepanjang perjalanan mereka. Ada juga jejambat yang telahpun runtuh.
Kadangkala mereka melintasi kenderaan-kenderaan yang ditinggalkan di atas jalan-jalan tersebut. Pokok-pokok renek dan belukar memenuhi sepanjang tepi laluan. Banyak yang menjalar menutupi sisi jalan raya. Ada juga yang subur memanjat tiang-tiang jejambat dan berjuntaian di penghadang jalan.
Di kejauhan, bangunan-bangunan dan pencakar-pencakar langit memenuhi horizon. Kawasan tersebut merupakan Bandaraya Anima, sebuah bandar maju yang telah sepenuhnya ditinggalkan hampir 15 tahun lalu akibat peperangan dan radiasi nuklear. Tempat yang pernah menjadi salah satu pusat ekonomi yang gah, kini telah menjadi bandar berhantu.
Sonny mengoyakkan sebahagian roti yang sudah agak keras di tangannya dan memberikannya kepada Kaio yang sedang duduk bersebelahan. Kaio mengambil roti itu sambil matanya terus melekat pada buku nota di ribaannya.
"Kau percaya semua yang ayah kau tulis?" Sonny melirik sekilas pada buku itu.
"Hmmmph... tu jelah ayat kau. Cubalah sekali sekala dalam hidup kau tu, percaya pada sesuatu." Kaio bernada malas.
"Aku percaya kau." Balas Sonny ringkas.
Kaio merengus. "Tu aku tau. Cuma, kau ni pesimis sangat. Cubalah tengok benda-benda kat sekeliling kau dari sudut positif."
"Aku lagi suka tengok benda-benda dari sudut logik. Dan logiknya, kalau betul-betul ada artifak berharga kat situ macam yang ayah kau cakap, semua tu akan jadi hak kerajaan."
"Dan logik bagi aku pulak, kalau takde orang tau, artifak-artifak tu akan jadi hak kita. Jadi..." Kaio tersengih luas seraya memandang rakannya itu. Ibu jari dan telunjuknya digesel-gesel di depan wajah Sonny, menunjukkan simbol wang.
"Kau nak buat apa duit banyak-banyak tu?" Soal Sonny mendatar.
"Majukan bengkel aku la. Hmmm... mungkin aku akan buka sebijik kedai alat memancing. Beli rumah banglo. Lepas tu simpan buat kahwin. Hehehe." Sengihan Kaio semakin besar.
"Ceh. Kau tu awek pun takde." Kata-kata Sonny itu mematikan kegirangan lelaki di sebelahnya.
"Eh, patutnya kau gembira la kalau kita jumpa artifak-artifak tu. Tak payah lagi kau nak mencuri atau buat kerja-kerja yang tak bermoral."
"Kau tau kan aku buat semua benda tu bukan sebab nak kaya. Sekadar untuk kelangsungan hidup." Sonny memandang Kaio yang sedang mencebik. "Duit... sampai bila dikejar pun takkan cukup. Banyak benda yang duit tak dapat bagi atau kembalikan."
Kaio merenung peta lukisan tangan ayahnya itu buat sekian kalinya. "Memang harta tak dapat ubah apa-apa yang dah berlaku. Tapi, sekurang-kurangnya ia dapat bagi kau sedikit kesenangan dan kegembiraan."
Sonny meraup rambut yang telah menutupi separuh wajahnya ke belakang. "Kalau kau hanya gembira bila kau kaya... itu menyedihkan bagi aku."
Kaio menghembus nafas panjang. Dia menutup bukunya, lalu meletakkannya di sebelah peha. "Kita hilang banyak benda. Tapi tu bukan jadi penyebab kita tak boleh cari kegembiraan. Dunia taklah sekejam yang kita selalu nampak. Aku tetap pilih untuk percaya yang di celah-celah keadaan yang hancur ni, masih ada sikit kebaikan yang terselit kat mana-mana. Cuma... mungkin kita tak nampak, atau belum jumpa."
"Contoh?" Tanya Sonny pantas.
Ibu jari Kaio menunjuk ke arah dirinya sendiri. "Aku yang dilahirkan kacak, bergaya dan genius! Kan benda baik tu!" Lelaki itu ketawa terkekeh-kekeh.
Sonny terus memukul belakang kepala sahabatnya itu dan turut tergelak kecil.
Kaio menggigit roti dengan tawa yang masih tak habis. Kemudian, bahu Sonny dicuit sedikit. "Aku ada satu soalan untuk kau..."
Sonny hanya menaikkan sedikit keningnya.
"Kenapa laju je kau setuju ikut cadangan Azaka ke sini? Setau aku, kau sentiasa was-was dengan dia..."
"Itu je cadangan yang terbaik masa tu." Balas Sonny pendek.
Kaio menyeringai. "Kau jangan tipu la. Aku tau kau memang nak sangat datang ke sini. Macam orang mengantuk disorongkan bantal."
Sonny diam sahaja. Kaio memang dapat membaca fikirannya.
"Kau nak nak cari abang kau, kan?" Tebak Kaio.
Sonny menghembus nafas seraya menyandarkan belakang kepalanya ke dinding. "Aku tau dia masih hidup."
Kaio juga berbuat perkara yang sama. Kemudian, dia memalingkan kepalanya ke arah rakannya itu. "Dah 15 tahun, Sonny. Kali terakhir kau nampak dia masa tentera tengah seksa dia..." Kaio menelan air liur sebelum meneruskan bicara dengan nada yang lebih perlahan. "Dah tak ada sesiapa yang tinggal di Tanah Lama. Jarang ada orang yang dapat bertahan dengan keadaan di sini. Aku tak nak kau menaruh harapan yang sia-sia..."
Sonny seolah-olah tidak terkesan dengan kata-kata tersebut. "Kau jugak suruh aku berfikiran positif..."
Kaio terasa seperti dipanah ke dada apabila dipulangkan paku buah keras. Dia kelu sedetik sebelum akhirnya membalas. "Ye, tapi bukan tentang hal ni. Yang ini, kau kena fikir logik."
"Aku takkan berhenti berharap. Aku tau kau pun rasa benda yang sama tentang ayah kau."
"Ayah aku kes lain... dia hilang, dan masih ada kemungkinan dia selamat." Omel Kaio perlahan. "Tapi abang kau..."
Sonny melekapkan fon kepala di telinganya. Pandangannya dihala ke depan dan matanya ditutup.
Kaio terjegil. "Oi... aku tengah bercakap ni!"
Kaio menarik fon kepala itu dari rakannya. Sonny pula segera merebutnya kembali. Lalu berlakulah acara tarik-menarik.
Auvo turun dari bumbung. Dia menutup pintu di siling. Punggungnya dilabuhkan di atas lantai besi yang keras itu.
"Hari dah cerah. Agak berisiko kalau kita teruskan perjalanan. Kita kena berhenti berehat." Ujarnya kepada Sudha."
Sudha mengeluh. "Aku tak dapat fikirkan tempat yang selamat untuk kita berhenti."
"Kita boleh cuba singgah di Taman Tema Sagaria. Tempat tu di luar lingkungan radiasi." Cadang Auvo.
Sudha mengerling Auvo dari cermin pandang belakang. "Berapa anggaran masa untuk sampai kat sana?"
"Dalam 3 jam." Jawab Auvo.
Sudha mengangguk. Dia menambah kelajuan. Dia berharap agar mereka dapat sampai lebih pantas dari itu.
Perhatian Auvo teralih kepada Kaio dan Sonny yang sedang berbual dan kadang-kadang berbalah kecil. Dia malas untuk mengendahkan mereka. Tangannya diseluk ke dalam poket lalu mengeluarkan sebuah telefon bimbit. Auvo melihat signal talian yang langsung hilang.
Lelaki itu tersandar ke dinding. Ketika ini, dia cuma dapat berdoa agar si gagak itu dapat mencari mereka dan menyampaikan berita tentang keadaan Azaka dan Nell.

ANDA SEDANG MEMBACA
PARAGON
حركة (أكشن)[Pemenang Emerald Award 2020 • Kategori ADVENTURE] [Pemenang Amazing Books Award 2020 • Kategori ACTION] Lama dahulu, satu eksperimen telah dijalankan oleh sebuah organisasi. Projek itu berakhir dengan bencana. Kini, konflik daripada peristiwa itu m...