DINDING konkrit kelabu yang berdebu adalah benda pertama yang dilihat Azaka sebaik matanya terbuka. Bahang panas terasa menyelaputi kulit. Dia menolak dirinya bangun dari pembaringan. Kesakitan serta merta menyerang abdomen, menghadirkan sekilas kerutan di wajah. Perutnya terus dipegang. Ketika ini, dia terperasan akan balutan lukanya yang telahpun ditukar baru.
Perempuan itu tidak mengambil masa yang panjang untuk menyedari keberadaannya. Tempat ini kelihatan seperti di dalam sebuah runtuhan bangunan. Hari sudah siang berdasarkan cahaya mentari yang mencelah masuk dari rekahan batu-bata.
Azaka beransur berdiri dan terpaksa memegang dinding buat seketika untuk menstabilkan jejaknya. Hajatnya mahu mencari Nell. Tidak sampai beberapa meter langkah dihayun, matanya menangkap susuk tubuh remaja itu yang sedang duduk memeluk lutut seraya memandang ke luar bangunan melalui sebuah lubang besar di dinding.
Bunyi tapak kaki membuatkan Nell serta-merta berpaling. Sebaik terlihat Azaka yang sedang berjalan menghampiri, raut gundahnya mengendur. Sedikit kelegaan menyelubungi ruang dadanya.
Azaka melabuhkan punggung di sebelah budak itu. Dia turut mengintai keluar, cuba untuk memastikan lokasi mereka sekarang. Kemudian, dia menoleh ke arah Nell yang tidak lepas merenungnya sejak tadi.
"Kau seret aku sampai ke sini dari gurun semalam?" Soal Azaka serius.
"Mana ada seret. Aku kendong kau kat belakang." Nell pantas membuat pembetulan.
Wajah Azaka dipenuhi dengan kekaguman. "Jaraknya lebih daripada 25 Kilometer. Kau angkut aku dan beg sampai ke sini sorang-sorang? Kau okey tak ni?"
"Aku yang patutnya tanya kau soalan tu. Semalaman aku cuba sedarkan kau. Aku ingat kau akan mati..." Balas Nell bernada rendah.
Tahulah Azaka bahawa budak itu tidak langsung melelapkan matanya sehingga sekarang. Perempuan itu tersenyum. Jemarinya mengusap-usap kepala Nell, mengusutkan rambut hitam itu. "Aku dah okey. Terima kasih sebab jaga aku."
Nell menghembus nafas perlahan dan mengangguk kecil. Kerisauannya berkurangan sedikit. Tapi rasa bersalah tetap menghantui. Kecederaan itu kekal menjadi kesilapannya.
"Aku cuba tanggalkan benda tu. Tapi lekatannya agak kuat." Beritahu Nell tatkala terpandang ceper merah di lengan perempuan tersebut.
Azaka juga segera membelek alat itu. "Aku dah cuba korek masa di dalam helikopter semalam. Benda ni renjat badan aku. Ia macam dah bersambung dengan seluruh sistem saraf."
"Apa benda sebenarnya tu...?" Soal Nell perlahan, seakan bercakap dengan dirinya sendiri.
Azaka menjungkit bahu. "Aku pun kali pertama tengok. Nampaknya alat ni menyekat kuasa aku. Ciptaan yang bijak. Ia memang dibuat khas supaya lebih senang nak bunuh Parabrid. Kita kena lebih berhati-hati lepas ni."
Nell sekadar menyimpan nasihat tersebut di dalam hati. Tidak syak lagi bahawa ceper itulah yang melambatkan penyembuhan Azaka.
Anak mata Azaka disorot semula ke kawasan luar yang hanya mempamerkan sebuah bandar gersang dipenuhi kehancuran. "Kau tau, sebenarnya kau bawa kita balik ke Selatan. Lebih menjauh dari Lindungan Damai."
"Ini je tempat berlindung yang aku dapat cari. Lagipun aku tak tau apa-apa pasal negara ni." Terang Nell.
Azaka tersengih kecil. "Sebenarnya bagus juga. Askar-askar tu mesti ke Utara untuk cari kita. Mungkin tu sebabnya belum ada pasukan pencari yang sampai ke sini."
Nell lega. Rupanya dia membuat keputusan yang betul.
"Tak selamat untuk kita bergerak waktu ni. Kita sambung perjalanan lewat petang nanti." Ujar Azaka lagi.
![](https://img.wattpad.com/cover/213655772-288-k877393.jpg)
YOU ARE READING
PARAGON
Action[Pemenang Emerald Award 2020 • Kategori ADVENTURE] [Pemenang Amazing Books Award 2020 • Kategori ACTION] Lama dahulu, satu eksperimen telah dijalankan oleh sebuah organisasi. Projek itu berakhir dengan bencana. Kini, konflik daripada peristiwa itu m...