"WAHAI Tuan Puteri Intan Seroja, disaksikan dengan lautan samudera yang luas lagikan tenang, sudikah tuan puteri menerima lamaran tuan hamba sebagai pasangan hidup tuan puteri?"
Si anak raja tersipu malu tatkala lamaran hulubalang istana sampai kepadanya. Namun, senyuman di bibirnya hanya seketika cuma apabila amaran ayahanda melintas di kotak fikiran. Retak seribu hati si puteri raja tika itu.
"Beta menerima lamaran tuan hamba. Kita saling mengasihi. Tidak mungkin beta menolak tuan hamba. Akan tetapi, tuan hamba sendiri tahu bahawa ayahanda tidak bersetuju dengan hubungan kita! Kita tidak setaraf, tuan hamba!"
Serentak dengan omongan Puteri Intan Seroja, pemuda berbaju lusuh itu terpempan. Kilat seakan-akan sabung-menyabung. Langit mula kelam. Sekelam hati si pemuda miskin yang tidak dapat mengahwini kekasihnya.
"Beta... akan dikahwinkan dengan Putera Raja Indera Mahkota tidak lama lagi. Lupakanlah beta. Mulakan hidup yang baharu tanpa beta di sisi tuan hamba lagi," tambah anak raja itu lagi. Setitis air mata mengalir ke pipinya. Hatinya direnggut kecewa akibat perpisahan bersama kekasihnya.
"Tidak! Patik..."
Tak semena-mena, si pemuda kematian diksi tatkala lautan tiba-tiba bergelora. Dua insan yang berada di atas perahu sudah tercengang-cengang dengan keadaan geseran laut yang seakan-akan membahayakan. Tidak lama kemudian, ombak tinggi menghempap dua insan sehingga mereka terjunam di dasar lautan.
"Aisar Mumtaz! Astaghfirullahalazim! Bertuah punya anak teruna. Bangun, Aisar! Dah lewat nak pergi sekolah dah ni," tegas Puan Suhaila sambil menyimbah wajah Aisar yang nyenyak tidur dengan segayung air sejuk.
Sontak, Aisar bangun dari lenanya akibat kelemasan. Dia tercungap-cungap mencari nafas. Pandangannya menerawang memandang sekeliling sebelum berakhir ke laman wajah ibunya yang sudah menyinga.
"Apa ni mak, siram Aisar macam tu. Bagilah peluang dekat Aisar mimpi kahwin dengan Tuan Puteri Intan Seroja. Dah babak klimaks kut. Tapi mak kacau daun betullah!" omel Aisar sambil memisat matanya. Ngeri benar mimpinya itu. Sudahlah cinta terlarang, malah dia mimpi lemas di lautan pula.
"Tuan puteri pun tak hinginlah nak dengan kamu ni. Dahlah pemalas! Suka buat masalah pula tu. Cepat pergi bersiap. Dah nak dekat pukul 7 dah ni," omel Puan Suhaila. Kepalanya digelengkan melihat tingkah Aisar yang sememeh itu.
Namun, Aisar tidak mengendahkan arahan emaknya. Dengan mata yang kuyu, Aisar kembali merebahkan tubuhnya di atas katil. Mahu menyambung babak peleraian dalam kisah cinta terlarangnya semula.
"Dua minit lagi mak kejutkan Aisar. Jangan kacau Aisar dulu. Memandangkan mak sendiri kata tuan puteri pun tak hinginkan Aisar, baik Aisar bina kisah Aisar dan anak raja dalam mimpi," ujar Aisar dengan mata yang terpejam rapat. Dia tersengih-sengih menampakkan gusinya yang tersusun cantik.
"Laillahailallah, Aisar..."
"Aisar Mumtaz! Kamu nak bapa heret kamu pergi reban ayam ke baru kamu nak bangun?"
Saat suara seoktaf itu memanah petir di gegendang telinga Aisar, serta-merta pemuda itu mencelikkan matanya dan bangun dari pembaringan. Aisar berdiri tegak. Terpampang riak wajah bengis Encik Yusof di kornea mata Aisar. Dia jadi kecut perut melihat aura bekas askar itu. Dengan parut di pipi kanan menambahkan lagi aura garangnya.
"Pergi bersiap!" jerkah Encik Yusof lagi seraya menolak kuat tubuh Aisar keluar dari kamar. Hampir saja Aisar tersembam akibat kekerasan bapanya.
Nampaknya, kisah seorang Aisar Mumtaz bersama Tuan Puteri Intan Seroja menemui titik noktah yang tergantung. Tidak mengapa, lain hari Aisar akan menyambung mimpi di siang harinya lagi.
YOU ARE READING
AISARA (COMPLETED) ✔
Action"Dalam bulan ini, aku dah tibai tiga budak yang cuba nak try Inara. Setakat muka penyek, badan macam lidi mak aku, aku boleh guna satu jari sajalah tibai kau! Nak?" Setelah kematian Encik Rosham dalam sebuah tragedi, Aisar nekad untuk menjadi pelind...