EPISOD 31

2.7K 235 123
                                    

"JAHANAM! Kenapa kau bijak sangat suruh dua malaun pergi culik budak tu? Aku tak sangka, sedungu-dungu dua orang tu pun... kau lagi dungu rupanya! Sepatutnya, kau suruh orang yang lebih bijak buat kerja tu! Sekarang apa? Hancur! Tak fasal-fasal, markas utama kita dah hancur dengan kebodohan kau!"

"Ma... maaf bos. Aku... cuma... nak ajar budak-budak tu... buat kerja. Tak sangka pula... dia orang ga... gagal dan bocor... kan rahsia... tentang keberadaan... markas kita!" tegas Ray. Pandangannya tunak merenung anak mata Kadir yang galak. Bagaikan ada api yang sedang berkobar-kobar di kornea mata ketuanya. Malahan, cekikan Kadir benar-benar membuatkan Ray hampir kehabisan oksigen.

Nafasnya terasa sesak di dada!

"Maaf? Itu saja yang kau mampu lakukan lepas markas utama aku hancur? Klien pun dah tak percayakan aku lagi lepas apa yang dah jadi! Kau memang nak mati agaknya!" bentak Kadir. Suaranya semakin bergema di gudang barunya itu. Buku lima terus dihayunkan ke wajah Ray. Melepaskan amarah yang membara di sudut hati.

Sontak, Ray tersungkur akibat tumbukan padu Kadir. Pemuda berhoodie hitam itu terus terbatuk-batuk dan mencari oksigennya semula. Wajah Ray juga serta-merta merah dengan cekikan ketuanya.

Namun, sesaat kemudian, rambut Ray dijambak ke belakang oleh salah seorang konco Kadir. Wajahnya beku tanpa sebarang emosi. Tangan kanannya yang bebas terus mencengkam rahang Ray agar mulutnya terbuka luas.

"Kau harus bayar kerugian aku! Kau betul-betul dah kecewakan kumpulan kita! Sekarang... aku dah tak perlukan kau lagi," tambah Kadir seraya duduk mencangkung di hadapan Ray. Pelayar yang berada di genggamannya ditayangkan di hadapan orang kanannya.

Melihatkan itu, jantung Ray terus berdebar kencang. Sebaik mungkin, Ray cuba meloloskan dirinya daripada cengkaman konco Kadir. Apabila berjaya melepaskan diri, dua orang lagi mara dan menahan Ray dari bergerak. Masing-masing mengugut dengan menghalakan muncung senjata ke arah Ray.

"Bos! Aku akan tebus kesalahan aku. Tapi tolong... jangan seksa aku! Aku janji... aku akan heret perempuan tu berhadapan dengan bos! Dengan tangan aku sendiri!" tegas Ray. Sesekali, matanya tertancap ke arah pelayar. Bila-bila masa saja Kadir akan bertindak gila dengan menyeksanya menggunakan pelayar.

Kadir tertawa sinis dengan ketakutan yang terpancar di wajah Ray. Selangkah demi selangkah, lelaki itu mara menghampiri orang kanannya. Pelayar dipusing-pusing ke udara sebelum ditujahkan ke dada Ray. Melihatkan Ray tersentak ke belakang, membuatkan tawa Kadir semakin bergema.

"Kalau gagal, kau sedia untuk korbankan nyawa kau?" soal Kadir. Sekotak rokok di saku seluar dikeluarkan. Mahu merelakskan dirinya dengan menghisap tembakau.

"Aku tak akan gagal kali ini! Aku akan hapuskan siapa saja yang menghalang aku untuk dapatkan perempuan tu," tekad Ray. Meskipun ada ketakutan mendominasinya, namun Ray tetap akan berusaha untuk melakukan perintah ketuanya.

"Kalau begitu, kau kena pastikan budak hingusan tu mampus dulu! Dia penghalang terbesar kita untuk dapatkan Doktor Inara. Selagi budak tu hidup, selagi tu kau akan terus menemui kegagalan!"

Mendengarkan itu, air muka Ray drastik berubah bengis. Wajah Aisar Mumtaz mula berlegar di kotak fikirannya. Ya, itulah pemuda yang membuatkan nyawa Ray hampir melayang di tangan Kadir saat ini. Masih terimbas di kotak fikiran, tatkala Aisar berjaya menumpaskan konco Black Eagle sehingga membuatkan markas utama mereka diberkas.

"Baik bos. Demi Black Eagle dan dendam kesumat bos kepada mereka... aku akan tunaikan permintaan bos! Itu janji setia aku lepas bos selamatkan aku daripada kematian dulu!" tegas Ray. Sumpah setianya kembali ditanam di sudut hati.

Meskipun Kadir kejam, namun Kadir jugalah yang telah menyelamatkan Ray daripada dibunuh oleh taikun dadah. Hanya mata kirinya yang ditutup dengan eye patch saja yang meninggalkan kesan hingga ke hari ini.

AISARA (COMPLETED) ✔Where stories live. Discover now