EPISOD 11

3.2K 296 177
                                    

SLAID yang memaparkan aktiviti jenayah yang dilakukan oleh Black Eagle, menjadi tumpuan sepasukan polis yang ditugaskan untuk membanteras kongsi gelap tersebut. Masing-masing, fokus mendengar laporan yang sedang dibentangkan oleh Sarjan Delisha.

"Saya mendapati bahawa, Black Eagle yang diketuai oleh Zamrud bukan saja melakukan pemerdagangan wanita. Malahan, mereka turut menjadikan kanak-kanak yang diculik sebagai sindiket pengemis kanak-kanak. Slaid yang saya paparkan inilah bukti sepanjang risikan yang telah dilakukan," jelas Delisha. Jarinya ligat menekan butang untuk ke slaid seterusnya.

Terpampang aktiviti sindiket peminta sedekah kanak-kanak yang dilakukan oleh Black Eagle. Kanak-kanak tersebut dilihat menjadi peminta sedekah di beberapa buah restoran dan lorong pejalan kaki. Pakaian mereka pula compang-camping dengan wajah yang comot.

"Sejak dua menjak ini pun, kes penculikan kanak-kanak semakin meningkat. Boleh jadi, ini semua ada kaitan dengan sindiket peminta sedekah. Lagi pun, ini kira kes baharu lagi," lapor Lim pula.

ASP Alaudin mengangguk dengan laporan daripada setiap orang bawahannya. Dia berpuas hati dengan kemajuan mereka. Tambahan pula, kes sindiket dadah yang diketuai oleh Mustaqim.

"Inspektor Mustaqim, macam mana dengan risikan kamu ke atas kumpulan Black Eagle? Ada apa-apa berita terkini?" soal ASP Alaudin.

Mustaqim mula menegakkan posisi duduknya. Sesekali, pandangannya bersatu dengan wajah pucat Delisha. Entah mengapa, intuisi Mustaqim terasa tidak enak sekali lagi. Seperti ada sesuatu yang disimpan oleh Delisha. Manakan tidak, semalam,  sejurus saja pasukan mereka makan malam bersama, Delisha tiba-tiba pengsan.

Malahan, sejak kebelakangan ini juga Delisha seakan-akan sering menahan sakit. Sudah tentunya Mustaqim risau. Dia mempunyai niat dsm tekad. Selepas pasukannya dapat menumpaskan Black Eagle, Mustaqim mahu melamar Delisha menjadi pasangan hidupnya.

"Inspektor! Macam mana dengan hasil risikan kamu? Ada apa-apa perkembangan?" soal ASP Alaudin lagi. Nada suaranya kedengaran semakin tegas. Aneh melihat Mustaqim yang hanyut dengan khayalannya.

"Maaf tuan. Pasal... Black Eagle, setakat ini saya belum boleh dapatkan kepastian lagi. Cuma, mereka semakin tergugat dengan serbuan pasukan kita ke atas makmal pemprosesan dadah mereka," ujar Mustaqim. Ada riak kekecewaan di sebalik wajahnya.

ASP Alaudin mengangguk lagi dengan laporan ringkas daripada Mustaqim. Dia bangun dari duduk seraya memandang wajah orang bawahannya satu per satu. Wajah pucat Delisha menjadi fokus utama lelaki berusia 40 an itu.

"Bagus semua! Saya sangat berbangga dengan pencapaian dan prestasi kalian dalam membanteras Black Eagle. Tapi, selagi Zamrud tidak ditangkap, selagi itu kita tak menang. Sekarang, semua boleh bersurai. Sarjan Delisha, kamu tunggu sekejap. Inspektor Mustaqim sekali," arah ASP Alaudin.

Serentak, pasukan polis bangun dari duduk dan memberikan tabik hormat kepada ketua mereka. "Arahan diterima tuan!" ujar mereka seraya melangkah keluar dari bilik gerakan.

Suasana terasa dingin buat seketika. Seakan-akan berada di kutub ais saja situasi tika itu. Lebih-lebih lagi, pandangan tajam ASP Alaudin terhadap Delisha dan Mustaqim. Ada sesuatu yang ingin dibincangkan bersama dua orang anak buahnya itu.

"Seperti yang kamu berdua sedia tahu, saya akan panggil anak buah saya jika mereka buat sesuatu yang buat saya tak puas hati."

Kata alu-aluan dibuka. ASP Alaudin berdiri tegak sambil berpeluk tubuh. Wajahnya tegang tanpa senyuman. Keluhan berat terlepas dari bibir lelaki itu. Seakan-akan melepaskan beban di bahunya.

"Maaf tuan..."

Mustaqim dan Delisha terjeda tatkala mereka memohon maaf secara serentak. Pandangan dua rakan sejawat itu saling bersatu. Namun, hanya seketika cuma apabila Delisha mengalihkan pandangannya. Ada getaran yang mula menerajui sukma tatkala anak mata Mustaqim menusuk kornea matanya.

AISARA (COMPLETED) ✔Where stories live. Discover now