SUASANA hening melatari kawasan parkir yang terletak di belakang kelab hiburan. Pandangan Aisar semakin fokus tertumpu ke arah lima figura serba hitam yang sudah mengacukan senjata ke arahnya. Akal mula ligat memikirkan cara untuk melindungi Cassandra dari marabahaya.
Dalam keadaan mereka dikepung dan diugut dengan senjata, sudah tentunya memberikan kesukaran kepada Aisar untuk bertindak. Aisar tidak mahu kehilangan nyawa berlaku malam ini. Tetapi, Aisar juga tidak bisa mengelak jika hal itu terjadi. Sama ada dia yang terkorban ataupun musuh yang terkorban.
Derapan tapak kaki yang menghampiri menyapa pendengaran Aisar. Dari ekor mata, kelihatan Adeline sudah menghampiri Aisar yang sedang menahan sakit pada bahunya yang ditembak. Aisar terus mengangkat tangan kanannya. Menghalang Adeline dari mendekatinya.
"Kapten..."
"Plan B."
Dua patah perkataan yang meluncur keluar dari mulut Aisar benar-benar menggerunkan Adeline. Wajahnya mula membahang. Jantungnya seakan-akan berdebar kencang. Terasa mahu putus nafas saja bila Aisar memutuskan untuk menggunakan rancangan yang lagi menggerunkan.
Plan B. Itu idea yang akan digunakan bila mana mereka menghadapi serangan hendap atau rambang. Pengawal peribadi yang baharu berkhidmat hanya diarahkan untuk berada di sebelah klien. Senior saja yang akan turun ke padang bagi menyelamatkan keadaan. Itulah syarat yang dikenakan oleh orang atasan Aisar dan Adeline.
Tanpa berlengah, Adeline terus menghubungi Lukman dan Ramesh bagi membantu Aisar. Langkah terus diatur memasuki kereta. Sesaat kemudian, panggilannya dijawab. Tangan sudah mula mengawal stereng untuk keluar dari kawasam parkir.
Melihat Adeline yang sedang membawa Cassandra lari, kelima-lima musuh mula menghalakan senjata ke arah kenderaan. Berdas-das tembakan dilepaskan ke arah sasaran. Ada juga yang sudah meluru ke kenderaan masing-masing untuk mengejar.
Namun, Aisar terlebih dahulu memulakan aksinya dengan melepaskan tembakan rambang ke arah musuh yang sudah berura-ura untuk mengejar mangsa. Menghalang mereka dari mencederakan Adeline dan Cassandra. Tembakan turut dilepaskan ke arah kenderaan musuh.
"Adeline! Ini masanya untuk kau kuatkan stamina. Kalau ada musuh yang terlepas, jangan teragak-agak untuk membalas! Yakin, Adeline!" tegas Aisar melalui earbud kepada Adeline yang baru setahun jagung itu.
Buru-buru, Aisar bersembunyi di belakang dinding apabila aksi tembak menembak semakin hangat. Rintik-rintik peluh sudah mengalir ke pipinya. Sesekali, Aisar menekup bahunya yang sudah tercedera. Darah semakin deras mengalir. Sakitnya bukan kepalang!
"Kapten, dalam dua minit lagi Ramesh dan Lukman sampai. Buat masa sekarang, tiada lagi musuh yang mengejar kami. Aku akan bawa Cik Sandra balik dengan selamat," kata Adeline. Resah semakin menggoncang sanubarinya. Takut kalau-kalau seniornya cedera parah.
Cermin pandang belakang dipandang sekilas. Kelihatan Cassandra sedang menggigil ketakutan sambil menangis teresak-esak. Jelas, ketakutan terserlah di laman wajah gadis berambut perang itu.
Aisar berpuas hati bila keadaan Adeline dan Cassandra selamat. Di sebalik dinding, Aisar memusatkan anak matanya ke arah musuh yang sudah mencari keberadaannya. Glock di tangan digenggam kemas. Bersedia untuk melumpuhkan musuh sekali lagi.
Kedengaran makian dan amarah daripada musuh. Dalam keadaan kenderaan mereka yang sudah pancit akibat tayar yang ditembak oleh Aisar, sudah tentunya menghalang mereka dari mengejar Adeline dan Cassandra. Seorang daripada lima orang musuh juga hanya mampu mengerekot apabila kakinya sudah tertanam dengan peluru yang dilepaskan oleh Aisar.
"Bangsat! Kalau kau nak sangat menentang kita orang, keluarlah!" gertak musuh yang berparut di pipi kanan. Langkah diatur mencari keberadaan Aisar. Amarah benar-benar membakar sukmanya. Mahu saja dia merodok jantung Aisar. Melepaskan amarahnya setelah pekerjaannya dihalang.
YOU ARE READING
AISARA (COMPLETED) ✔
Action"Dalam bulan ini, aku dah tibai tiga budak yang cuba nak try Inara. Setakat muka penyek, badan macam lidi mak aku, aku boleh guna satu jari sajalah tibai kau! Nak?" Setelah kematian Encik Rosham dalam sebuah tragedi, Aisar nekad untuk menjadi pelind...