EPISOD 14

2.9K 289 144
                                    

Sebulan kemudian...

SEBAIK sahaja Inara mengenggam brek basikalnya, wajah manis gadis berselendang biru itu terus dipenuhi dengan tanda tanya. Anak matanya tunak memandang sebuah Honda Civic yang diparkir di halaman rumah keluarganya.

Tanpa berlengah, Inara terus turun dan menuntun basikalnya ke belakang rumah. Basikal dikunci dengan mangga. Plastik berisikan barangan yang dipesan oleh kakaknya dijinjing. Entah mengapa, intuisi Inara berasa tidak enak tatkala itu. Sunyi sepi saja keadaan rumah. Seolah-olah tak berpenghuni.

Lantas, Inara melangkah masuk  melalui pintu belakang rumah. Barangan dapur di letak di atas meja. Inara semakin terasa sepi. Tak seperti kebiasaannya, bila mana suara lantang kakaknya yang berbual dengan ibu sentiasa menghiasi rumah. Oh sungguh, kesepian petang itu membuatkan Inara tak senang duduk.

"Assalamualaikum! Ibu, Kak Syi! Nara dah balik ni," kata Inara.

Namun, tiada sebarang sahutan yang kedengaran. Aneh! Di luar, kereta kakaknya masih kelihatan. Tak mungkin kakak dan ibunya keluar tanpa pengetahuannya.

"Ibu..."

Hampir luruh jantung Inara tatkala blowout whistles ditiup serentak dengan nyanyian ulang tahun. Anak mata gadis itu sudah meliar memandang ruang tamu yang dihiasi dengan belon dan makanan.

Wajah-wajah yang sedang menyanyikan ulang tahun kepadanya dipandang satu per satu. Tatkala anak mata Inara memandang si figura yang sedang memegang kek, air matanya terus mengalir ke pipi. Rasa sebak terus bertandang di lubuk hati. Sungguh, Inara rindu.

"Selamat ulang tahun yang ke 18 adik bongsu abang," ucap Mustaqim bersama senyuman yang mekar di bibir.

Segaris senyuman turut terukir di bibir Inara. Dengan lafaz bismilahirahmanirahim, Inara meniup lilin. Tubuh abangnya lantas didakap erat bersama deraian air mata yang semakin deras.

"Abang... Inara rindukan abang sangat-sangat!" rintih Inara.

Senyuman Mustaqim semakin melebar. Belakang tubuh adiknya diusap lembut. Dia juga amat merindui Inara. Kek sudah bertukar tangan dengan Insyirah. Tak semena-mena, situasi yang seharusnya ceria bertukar hiba dengan tangisan Inara.

"Abang pun rindukan adik abang juga. Janganlah menangis. Kan abang dah ada depan mata Nara. Abang janji, lepas ni abang ambil cuti lama sampai Nara dapat result SPM," pujuk Mustaqim. Perlahan-lahan, tubuh Inara ditolak lembut. Air mata adiknya dikesat lembut.

Mendengar pujukan Mustaqim membuatkan Inara senang hati. Keluarga mereka kembali lengkap dengan kepulangan abangnya. Wajah Mustaqim ditatap bagi melepaskan kerinduan. Saat itu juga, baru Inara sedar ada parut panjang di pipi kanan abangnya.

"Abang... parut...."

Tak semena-mena, Inara kematian kata tatkala blowout whistle ditiup di cuping telinganya. Terhinggut bahu Inara dengan kejutan itu. Wajahnya mula tegang. Lantas, anak matanya menatap wajah si figura yang tak bertamadun itu.

"Aisar! Ish tak padan dengan sakit, suka sangat cari pasal dengan aku," omel Inara. Kecil besar saja dipandangnya figura Aisar yang sudah terkekek itu. Kalau diikutkan hatinya yang geram, mahu saja Inara mencampak topang Aisar jauh-jauh. Biar Aisar tidak boleh berjalan dengan kaki kirinya yang masih disimen.

"Hodohlah muka kau menangis. Macam baby minta susu. Nguek nguek!" usik Aisar sambil membuat gaya bayi menangis. Bibir sengaja dijuihkan.

Tak semena-mena, Inara menaikkan tangannya. Acah-acah mahu menumbuk Aisar yang sudah terkekek mengejeknya. Selepas insiden dibantai penduduk kampung, sikap mengusik Aisar semakin menjadi. Inaralah yang selalu menjadi mangsa. Sungguh, Inara geram.

AISARA (COMPLETED) ✔Where stories live. Discover now