DENGAN nafas yang termengah-mengah, si lelaki berkumis lebat meneruskan lariannya di hutan belantara itu. Sesekali, langkahnya sumbang tatkala ranting pokok yang menjalar menghalang laluannya.
Namun, nasib tetap tidak menyebelahinya tatkala dia menemui jalan mati. Anak matanya sudah melotot melihat jurang yang begitu tinggi. Kalau dia terjun, sudah pasti kematian menjemputnya. Air sungai mengalir deras di bawah jurang. Di belakang pula, ahli Black Eagle sudah mengejarnya. Bersedia untuk menjadi sang algojo bagi mencabut nyawanya.
Oh sungguh, lelaki itu jadi buntu. Dia tidak mempunyai pilihan lain untuk melarikan diri lagi.
Bang!
Bunyi tembakan kedengaran. Degupan jantung si mata-mata polis semakin berentak kencang. Nafasnya seakan-akan tersekat dari rengkungannya. Terasa kelat liur yang ditelan saat itu. Rintik-rintik peluh sudah mengalir ke pipinya.
"Kau nak lari ke mana lagi, Saad? Terima sajalah yang kau tak ada peluang nak tengok hari esok dan seterusnya!" bentak Firman tatkala langkahnya sudah terpacak di hadapan Saad.
Serta-merta, tubuh Saad jadi longlai dengan perangkap Black Eagle. Anak matanya tunak memandang Firman dan Salim silih berganti. Melihat glock sudah diacukan ke tubuhnya membuatkan Saad menggeletar ketakutan.
"Tapi, kalau kau nak hidup... kau masih ada kesempatan terakhir. Hidup dan mati kau, hanya ada di tangan kau sendiri!" kata Salim yang bertindak lebih berkompromi. Kakinya sudah melangkah menghampiri Saad. Bahu Saad yang menggeletar dicengkam erat.
Sebaik saja omongan Salim menyusup ke dalam gegendang telinga Saad, anak mata lelaki yang dijadikan mata-mata itu terus memancarkan sinar. Seakan-akan, ada harapan untuk dia menyelamatkan diri daripada cengkaman musuh.
"Apa... yang... aku perlu... buat?" soal Saad dengan nada suara terketar-ketar.
Firman dan Salim berpandangan buat seketika. Masing-masing mempunyai muslihat untuk menjejak keberadaan pengkhianat Black Eagle. Manakan tidak, sejak kebelakangan ini, perniagaan kumpulan mereka semakin tergugat. Pasti ada lebih dari seorang mata-mata sedang merisik aktiviti mereka.
"Katakan pada kami, siapa lagi pembelot selain daripada kau!" tegas Firman. Glock sudah diacukan tepat di tepi dahi Saad. Menambahkan gerun di sudut hati pelayan bar itu.
Alangkah kagetnya Saad sebaik saja mendengar aksara meniti di bibir Firman. Anak mata Firman yang galak ditatap sedalamnya. Mana mungkin Saad membongkarkan hal itu! Dia mahu membalas dendam kepada Black Eagle yang membuatkan adiknya menjadi seorang pelacur! Maka, caranya dengan menjadi mata-mata buat pasukan polis.
"Jawablah! Kenapa kau diam?" bentak Firman lagi. Dia tidak mempunyai masa untuk terus berkompromi.
"A... aku saja yang menjadi mata..."
Tak semena-mena, Saad kematian kata apabila tengkuknya dihenyak kuat oleh Salim. Sontak, Saad tersungkur di atas reranting. Malahan, kepalanya turut ditujahkan dengan tendangan kuat sehingga membuatkan dia hampir rebah. Sungguh, kesakitan akibat diterajang membuatkan nafas Saad semakin terasa sesak.
"Hoi! Kau jangan nak tipu kita orang lagilah! Kalau kau seorang saja yang jadi mata-mata, kenapa business rumah pelacuran dengan sindiket kanak-kanak itu pun anjing-anjing tu boleh kacau!" bentak Salim. Lelaki bertubuh sasa itu mencengkam kuat baju Saad sehingga membuatkan nafas Saad terasa sesak.
Melihat air muka Salim dan Firman yang semakin tegang membuatkan Saad menggelupur. Sungguh, mereka berdua benar-benar persis seperti sang algojo yang ingin mencabut nyawa Saad saja. Ingin saja bibirnya berterus-terang. Namun, dendam yang tertanam di sudut atma lebih mendominasinya.
YOU ARE READING
AISARA (COMPLETED) ✔
Action"Dalam bulan ini, aku dah tibai tiga budak yang cuba nak try Inara. Setakat muka penyek, badan macam lidi mak aku, aku boleh guna satu jari sajalah tibai kau! Nak?" Setelah kematian Encik Rosham dalam sebuah tragedi, Aisar nekad untuk menjadi pelind...