SUASANA sepi buat seketika. Burung-burung yang berterbangan di dada langit petang kelihatan bertebaran. Seolah-olah menerima signal bahawa bahaya sedang menghampiri. Angin bertiup kencang petang itu. Dinginnya yang bercampur dengan dingin selepas hujan mencengkam hingga ke tulang hitam.
Anak mata Kadir sudah membuntang tatkala melihat pergelangan tangannya berlumuran dengan darah. Lelaki bermisai nipis itu menggeletar sebaik saja kejutan menyerangnya. Sontak, glock yang berada di tangan terjatuh di atas tanah. Nafasnya semakin turun naik dengan keberanian si pelaku.
Perlahan-lahan, anak matanya yang semakin galak dipusatkan ke arah si figura. Namun, belum sempat dia melihat wajah si pelaku dengan jelas, bagaikan ada angin kencang meluru ke arah Kadir tatkala si figura terus menarik Inara dan disembunyikan di belakang figura tersebut.
Seketika, jelas di hadapan mata Kadir seorang figura bertopi hitam yang mengenakan topeng pelitup muka. Sorotan mata si figura kelihatan dingin tanpa emosi.
"Sial! Kerjakan mereka habis-habisan!" jerkah Kadir sekuat hati. Tiada langsung kompromi apabila dia diserang hendap. Kemarahannya membuatkan urat-urat hijau mula timbul di dahinya. Anak matanya sudah melotot melihat penyelamat Inara itu.
Serentak dengan arahan mandatori Kadir, konco-konco Black Eagle terus mengelilingi Aisar dan Inara. Ada yang sudah mengeluarkan pisau dan sebilah parang bagi membunuh dua figura tersebut.
Melihatkan itu, tubir mata Inara kembali hangat. Tidak perlu Inara bertanya gerangan siapa yang sedang menjadi heronya tika ini. Inara dapat merasakan aura Aisar berada di sisinya meskipun lelaki itu mengenakan topeng.
Hujung baju Aisar digenggam erat. Empangan air mata Inara kembali menuruni pipi. Dia takut. Dia tidak mahu Aisar dicederakan hanya demi menyelamatkan nyawanya saja.
Aisar mula memusatkan pandangannya ke arah musuh. Ada enam orang yang sedia untuk membunuhnya dan Inara. Empat daripada enam orang penjahat sedang memegang senjata. Jadi, Aisar akan fokus kepada yang bertangan kosong saja terlebih dahulu.
Serentak, mereka meluru ke arah Aisar. Pisau dan parang dilibas ke arah pemuda itu bertubi-tubi. Aisar terus melepaskan tembakan ke arah musuh yang menyerang. Ada yang sempat mengelak, ada juga yang sudah menerima tembakan tepat di bahu dan kaki. Aisar tidak akan sesekali mensasarkan ke tempat yang mematikan.
Sesekali, Aisar menghayunkan bertubi-tubi tendangan ke arah figura yang mara ke hadapan. Aisar tidak bisa menghabiskan pelurunya saat itu juga. Dia harus menyimpannya dengan baik. Dalam masa yang sama, Aisar tetap fokus melindungi Inara yang berada di belakangnya. Pantang ada musuh ingin merampas Inara daripadanya, Aisar akan menyerang dengan tendangan padunya.
Melihatkan pertempuran bersama konco Black Eagle semakin menegangkan, Inara semakin gerun. Setiap pergerakan Aisar membuatkan Inara turut kelelahan. Pergerakan tangkas Aisar benar-benar membuatkan nafas Inara terasa sesak.
Tiba-tiba, Ray menumpukan serangannya ke arah Inara. Wajah Aisar yang semakin kelelahan memberikannya peluang untuk menyerang gadis itu. Sementara konco-konco yang lain masih bergasak dengan Aisar, Ray pula akan menyerang Inara. Lantas, Ray meluru ke arah Inara dengan sebilah parang. Tubuh Inara yang masih berada di belakang Aisar menjadi tumpuannya.
Dalam beberapa saat kemudian...
Inara terjelopok di atas tanah sebaik saja tubuhnya ditolak kasar oleh Aisar. Dahi Inara sudah berkerut menahan perih di sikunya yang tergesel pada batu kerikil. Perlahan-lahan, Inara memanggung kepalanya. Saat itu juga, jantung Inara berdebar kencang melihat titisan darah yang mengalir di hadapannya. Wajah Aisar yang sedang menjadi benteng pertahanannya daripada ditetak oleh Ray dipandang.
YOU ARE READING
AISARA (COMPLETED) ✔
Action"Dalam bulan ini, aku dah tibai tiga budak yang cuba nak try Inara. Setakat muka penyek, badan macam lidi mak aku, aku boleh guna satu jari sajalah tibai kau! Nak?" Setelah kematian Encik Rosham dalam sebuah tragedi, Aisar nekad untuk menjadi pelind...