"MANUSIA bangsat macam kau patut mati! Aku tak nak, anak dara dekat kampung ini jadi mangsa kepuasan nafsu kau sekali lagi!
"Perogol patut dikenakan hukuman mati!"
"Kau tak patut wujud dekat kampung ini! Memalukan mak bapa kau saja besarkan perogol macam kau!"
Bertubi-tubi cemuhan menusuk gegendang telinga seorang Aisar Mumtaz. Jiwa Aisar jadi sesak. Hatinya benar-benar diruntun pilu dengan fitnah yang ditujahkan ke atas dirinya. Bermacam anasir negatif membadai diri Aisar. Pemuda itu semakin lelah.
Serentak dengan makian yang sayup-sayup itu, Aisar turut merasakan nyawanya akan melayang pada malam itu juga. Sepak terajang dan tumbukan yang diterima bertalu-talu bagaikan tiada hentinya. Mereka seakan-akan sang algojo yang ingin menamatkan riwayat seorang Aisar Mumtaz saja.
Tika itu juga, momen bersama keluarga melintasi kotak memori Aisar. Air mata sudah mengalir ke pipinya. Tatkala memorinya bersama Inara pula muncul, dada Aisar semakin terasa sesak. Sungguh, Aisar masih mahu menjadi pelindung buat Inara!
"Aisar..."
Kini, suara gemersik menyapa pendengaran Aisar. Makian sudah hilang serta-merta. Hanya kesakitan yang menjalar sehingga ke tulang hitam saja masih tersisa.
"Aisar Mumtaz."
Sekali lagi, suara itu bergema di gegendang telinga Aisar. Ada himpunan rindu yang mula menyapa Aisar. Ingin sekali dia menatap wajah si pemilik suara. Malangnya, kesakitan di segenap sendi dan tulang-temulang lebih mendominasi.
"Aisar, kau tunggu sekejap. Aku panggilkan doktor," kata suara itu lagi. Sempat Aisar menangkap nada hiba di sebalik suara seorang gadis.
Adakah itu Inara?
Oh sungguh, Aisar tidak mahu melihat kesedihan menghiasi roman wajah sahabatnya. Tak kesahlah kalau Inara mahu marah. Tapi, Aisar masih tidak mampu melihat kesedihan seorang Nur Inara.
Sebaik saja seorang doktor dan jururawat menghampiri katil Aisar, Inara diarahkan untuk menunggu di luar. Tirai ditutup bagi melakukan pemeriksaan ke atas Aisar.
Tika itu juga, hati Inara semakin meronta pilu. Air mata sudah bergenang di tubir mata. Menahan sesak di dada sebaik melihat sahabatnya yang sentiasa gagah sudah terbaring lemah di atas katil.
Semuanya berlaku secara mengejut. Masih segar di memori Inara, tika pertama kali dia mendapat berita buruk mengenai Aisar. Baru saja dia kebah dari demam, perbualan kakak dan ibunya menyapa pendengaran.
"Heboh sangat dah dekat balai raya tu pasal Aisar cuba nak rogol Marissa. Mulut pasukan mak cik bawang pun sama. Kalau Mak Cik Su dengan Pak Cik Yusuf lalu depan dia orang, habislah kena canang yang anak dia orang tu perogol!"
"Lailahailallah. Tak cukup lagi ke dia orang belasah Aisar sampai nyawa-nyawa ikan? Orang kampung ini memang susah nak diajak berbincang. Menghukum tanpa soal selidik!"
"Inara! Macam mana dengan anak mak? Kenapa doktor tutup tirai itu? Dia baik-baik saja kan?"
Ketika soalan bertalu-talu Puan Suhaila kedengaran, Inara serta-merta tersedar dari lamunannya. Setitis air mata yang mengalir ke pipi dikesat lembut. Nafas panjang ditarik lalu dihembuskan perlahan. Tidak! Inara tidak mahu menangis. Sudah masanya untuk dia menjadi kuat demi melindungi nama Aisar.
"Tadi, Aisar dah tunjukkan respons bila Inara panggil dia. Sekarang, doktor tengah buat pemeriksaan ke atas Aisar," jelas Inara.
Mendengar penjelasan Inara membuatkan Puan Suhaila mampu mengukir sebuah senyuman. Hatinya sedikit lega. Manakan tidak, hampir seminggu Aisar tidak sedarkan diri. Kecederaan yang dialami oleh anak sulungnya juga begitu parah. Sudah tentunya akan mengambil masa yang lama untuk kembali pulih.
YOU ARE READING
AISARA (COMPLETED) ✔
Action"Dalam bulan ini, aku dah tibai tiga budak yang cuba nak try Inara. Setakat muka penyek, badan macam lidi mak aku, aku boleh guna satu jari sajalah tibai kau! Nak?" Setelah kematian Encik Rosham dalam sebuah tragedi, Aisar nekad untuk menjadi pelind...