Nur Aisya Irdina Ilham. Itulah namaku. Nama yang menjadi pilihan ayah dan ibu buat puteri tunggal kesayangan mereka yang teramat comel orangnya ini.
Hish! Tak malu betul. Puji-puji diri sendiri lagi. Tapi aku cukup senang dengan nama itu. Paling aku senang sekali bilamana arwah nenek yang menyebut namaku itu. Amat berbekas dihati ini, kadangkala terngiang-ngiang akan suara merdu itu melaungkan nama indahku. Nur Aisya adalah nama pilihan pemberian arwah nenek manakala Irdina adalah nama pilihan kedua orang tuaku. Aku amat sayang pada arwah nenek. Begitu jua dengan kedua-dua orang tuaku. Aku hormat pada nenek. Tak lupa juga kepada ibu bapaku. Untuk nenek, apa sahaja aku rela lakukan. Aku tak mampu untuk membantah setiap permintaanya. Oh.. Nenek! Aku teramat rindu padamu..Asyik sekali aku termenung mengadap sebuah kolam ikan disebelah sudut kiri di taman mini, rumah mewah milik keluarga mertuaku. Kenanganku kembali pada memori yang tak mungkin sekali luput dari kotak mindaku ini.
“Aku terima nikahnya Nur Aisya Irdina binti Ilham dengan mas kahwinnya sebanyak RM1000 tunai!”
Sejak detik itu, aku sah menjadi isteri orang. Isteri kepada cucu teman rapat arwah nenekku, Tengku Faiq Iskandar. Tiada siapa pun yang tahu apa yang bermain dimindaku ketika itu. Juga tiada siapa pun akan pernah bertanya kepadaku, bahagiakah aku dengan pilihan itu. Fikiranku ketika itu terus melayang-layang dibuai pilu. Perlukah aku menangis hiba? Ataupun tertawa gembira? Lamunanku terhenti tatkala terdengarkan suara seseorang berdehem di hadapanku. Kepala kuangkat mendongak. Segak bergaya seorang lelaki yang memakai sepersalinan baju melayu putih gading dengan siap bersampin songket sedang terpaku memandangku. Aku terpaku seketika. Segak sungguh, hati nakalku mula berkata-kata. Memang tak nafikan, itulah kenyataannya. Sebentuk cincin permata dicapai dari tangan seorang wanita anggun yang berkebaya coklat muda. Dialah bonda mertuaku, Datin Farida. Kelihatan beliau mengukir senyum yang sepertinya tiada bergula. Sedikit kelat aku rasa. Hatiku tiba-tiba bergetar. Perutku tiba-tiba bergelora bagaikan ada sekawan rama-rama terbang melata dalam kantung perutku. Nafas kutarik dalam-dalam. Lalu perlahan-lahan kuhembuskan semula. Ya Allah, berikanlah aku kekuatan untuk mengharungi bahtera perkahwinan ini. Kupanjatkan doa buat yang Maha Esa.
Aku memberanikan diri, memaut pandangan pada sepasang anak mata galak milik lelaki di hadapanku. Pandanganku disambut tenang. Tajam renungannya. Aku kaget. Jari jemariku tiba-tiba jadi sejuk. Celaru. Perlukah aku bersandiwara kini? Tapi aku bukanlah pelakon terhebat seperti dalam drama dan filem-filem melayu. Mampukah aku? Tapi demi permintaan arwah nenek, demi ayah dan juga ibu, senyuman yang paling manis kulemparkan buat seisi keluarga, saudara mara serta tetamu jemputan yang ada. Terasa bagaikan sifat hipokrit sedang mula menjalar dalam urat nadiku. Kenapa aku kata begitu? Sebab hatiku sayu. Demi kasih sayang buat keluarga, aku layarkan rasa penipu dalam diriku ini. Aku terima lamaran yang diutuskan, sedangkan hatiku meraung sakit. Sebetulnya aku cukup terluka ketika itu. Maafkan Nur Aisya, Nek. Ayah, ibu… maafkan aku. Tiba-tiba tanganku disentuh perlahan. Tersematlah sebentuk cincin permata platinum di jari manisku kini. Cantik tapi bukan total menjadi milikku. Aku turut dihadiahkan dengan seutas rantai dari jenis yang sama. Seperti lazim pasangan lainnya, spontan kukucup tangan lelaki yang sudah bergelar suamiku itu. Lantas dia membalas dengan sebuah kucupan di dahiku. Hatiku tiba-tiba sayu. Sepasang mata ini kupejam rapat-rapat. Sebak. Airmataku mula bertakung di tubir mata. Tidak Nur Aisya.. jangan sekali-kali kau titiskan airmata hiba itu pada hari pernikahanmu ini, pujuk hatiku. Perlahan-lahan kelopak mata yang manis bercelak kubuka semula. Jurufoto dan saudara mara mula berebut-rebut merakamkan detik manis itu. Sejenak ku pautkan pandangan ke wajah tenang suamiku di sisi. Redha atau pasrahkah aku? Aku sendiri tak pasti.
Bermula sejak dari itu, ikrarku untuk menjadi Nur Aisya yang baru. Akan kusimpulkan segala kenangan terindahku bersama si dia yang pernah bertakhta di hatiku selama ini, serapi-rapinya dalam uncang hidupku. Akan kutempatkan uncang usang itu, di suatu sudut terpencil dalam lubuk hati ini.
Majlis resepsi kami diadakan di perkarangan Villa Najehah, banglo mewah kepunyaan keluarga mertuaku. Malam. Ianya diadakan pada sebelah malam dalam sebuah majlis ringkas atas permintaan suamiku sendiri. Itulah cerita yang disampaikankan oleh ibu kepadaku, seminggu yang lalu. Segala perancangan dan persiapan bulat-bulat diatur oleh Engku Nenda seperti yang telah dirancangnya dengan arwah nenek. Itulah hajat pasangan sahabat lama itu. Yang lain hanya menurut sahaja. Ibu bapaku, juga kedua mertuaku tidak banyak soal. Banglo mewah tersebut dihias indah. Kedengaran dari cerita Kak Long Nina kakak iparku, “Garden Wedding Ala Melayu” temanya. Cukup buat aku tersenyum sendiri. Macam mimpi pun ada, sama seperti apa yang kuimpikan selama ini. Adakah tema itu juga merupakan pilihan Engku Nenda dan arwah nenek? Kelakar pun ada. Tak sangka yer..
Putih gading menjadi pilihan untuk set persalinan pada malam persandingan kami. Siapa yang pilih? Usah ditanya siapa. Pasti jawapannya bukan aku dan si dia. Aku hanya diminta datang ke Butik Pelamin Cinta setelah mendapat panggilan dari Cik Faradina. Siapa Cik Faradina itu pun aku tak pasti. Bagaimana pula dengan Tengku Faiq, calon suamiku ketika itu? Aku juga tak pasti. Kami tak pernah bersua, melainkan pada hari pertunangan kami dulu. Sejak kami terikat sebagai tunangan, hubungan kami masih tetap seperti sebelumnya. Dia dengan hal dia. Manakala aku sibuk dengan rutin harianku. Semasa fitting baju, memang dia ada sama. Tapi kami tak pernah bertegur sapa. Datang pun sendiri-sendiri. Seperti yang pernah kukatakan bahawa kami memang tak pernah bersua muka, jauh sekali untuk berbicara soal cinta. Kata pemutus pula terletak pada pilihan Cik Faradina, wedding planner yang di lantik oleh Engku Nenda. Engku Nenda lagi...
Kanopi dihias cantik dengan skalop putih gading yang diselang seli dengan skalop berwarna fresh lime green. Bunga-bungaan segar berwarna putih dan hijau disusun sepanjang kanopi. Kelihatannya mewah sekali. Setiap meja tetamu dihias dengan table cloth putih gading, begitu jua dengan banquet chair yang turut disarung dengan sarung bewarna putih gading berikatkan riben bewarna fresh lime green. Ditengah-tengah meja pula megah berdiri sekuntum bunga Casablanca Lily berwarna putih ditemani oleh sebatang lilin dengan warna fresh lime green juga. Ringkas namun ianya cukup indah dan berjaya mencuit hatiku. Kenapa? Sebab fresh lime green adalah warna kegemaranku. Hahahah…
Tak ketinggalan dengan pelamin dan meja makan beradap. Kedua-duanya juga turut terhias indah oleh susunan bunga-bungaan segar yang cantik mewangi. Ada ros putih dan orkid hijau samar. Aku suka sekali akan susuanannya. Hebat. Tepat sekali pilihan Engku Nenda yang memilih Cik Faradina sebagai pengatur majlis ini. Beliau memang hebat. Patutlah beliau boleh terkenal sebagai seorang wedding planner terhebat di Kuala Lumpur.
Dari atas pelamin, sempat mataku melirik kelibat ayah dan ibu. Cikgu Ilham dan Cikgu Maisara yang turut kelihatan segak dan anggun pada malam itu. Aku senang melihat mereka berdua gembira. Kalau ada arwah nenek, tentulah dia orang yang paling gembira pada malan itu. Inilah hadiah yang sebaik-baiknya buat mereka yang amat aku sayangi. Bak kata Kak Hanim kakak angkatku sejak di universiti, hadiahilah mereka akan sebuah kebahagian yang sepatutnya mereka miliki. Tak salah kiranya seorang anak berkorban demi kebahagian kedua ibu bapa dan keluarganya. Jutaan terima kasih yang tak terhingga kupanjatkan buat Kak Hanim yang selalu menasihatiku ketika buntu. Walaupun kami hanya berhubung melalui email saja memandangkan dia berada jauh nun diperantauan atas tuntutan kerjayanya. Sempat juga aku melirik pandang pada ahli keluarga baruku. Mertuaku membalas senyum. Pandanganku kini beralih pula pada iparku Kak Anis dan suaminya. Sibuk melayan tetamu yang ada. Anggun sungguh wanita muda itu. Sejak mengenali Kak Anis, aku selalu kagum dengan penampilannya. Fuh! Penat sungguh beraksi di atas pelaminan, kami diminta mengayakan beberapa aksi untuk digambarkan dalam buku foto perkahwinan kami. Sama sepertiku, Tengku Faiq tetap akur dengan permintaan jurufoto yang tekun dan kreatif menjalankan tugasnya.
Kawasan sekitar Villa Najehah itu terang benderang dihiasi cahaya neon dan lampu candelliar. Ramai juga tetamu yang hadir. Menurut apa yang kudengar, yang handir hanyahlah dikalangan keluarga dan sahabat terdekat sahaja. Ini belum lagi dijemput semua sahabat korporat keluarga mertuaku. Pasti taman perumahan itu bisa sesak dengan kenderaan-kenderaan dari pelbagai pengeluar. Dari pemerhatianku, mereka memang punyai kerabat keluarga yang amat besar berbanding dengan keluarga kami. Kalau nak dibandingkan kedua-dua keluarga, kami ini ibarat enggang dan pipit. Ayahanda Dato’ dan Bonda Datin adalah dari golongan ternama. Manakala ayahku Cikgu Ilham hanyalah seorang guru besar pencen yang diangkat sebagai imam kampung. Manakala ibuku hanyalah seorang pesara guru. Bagaimana aku boleh terpilih menjadi calon menantu mereka, aku sendiri kurang pasti. Nenek. Itu sahaja yang ada sebagai jawapanku…
Wajah lelaki itu kembali kurenung..
KAMU SEDANG MEMBACA
Pedihnya Cinta
RomanceNur Aisya Irdina Ilham. Itulah namaku. Nama yang menjadi pilihan ayah dan ibu buat puteri tunggal kesayangan mereka yang teramat comel orangnya ini. Sejak detik itu, aku sah menjadi isteri orang. Isteri kepada cucu teman rapat arwah nenekku, Tengku...