SELESAI solat maghrib, sempat pulak Nur Aisya bermenung di atas sejadah. Seharian dia berfikir. Seharian juga kelibat Tengku Faiq tak muncul-muncul di depan matanya. Dia berteleku, cuba mencapai sebuah Surah Yassin yang ada di atas meja sisi katil. Dia mengalunkan bacaan Yassin seperti kebiasaannya. Disedekahkan buat mereka-mereka yang telah pergi.
Pintu bilik terkuak perlahan. Tengku Faiq muncul bersahaja tanpa menghiraukan kewujudan isterinya di situ. Selesai menyudahkan pembacaannya, Nur Aisya bangun seraya melipat sejadah yang telah digunakan tadi. Tanpa di sangka-sangka, sejadah ditangannya direntap kasar dari arah belakang. Nur Aisya menoleh memandang. Tengku Faiq beriak bersahaja. Nak solat pun, masih nak cari pasal dengan orang. Meroyan agaknya Mamat ni, dengus Nur Aisya perlahan. Telekung yang masih tersarung dikepala dibuka. Dia duduk sebentar di birai katil, memerhati sang suami yang sedang menunaikan tuntutan kepada Yang Maha Esa. Solatnya dijaga juga Mamat ni. Orang tuanya pulak dihormati. Apakah Tengku Faiq yang ada dihadapanku ini, bukan Tengku Faiq yang sebenar-benarnya? Adakah Tengku Faiq yang ada di depanku kini sedang memberontak gara-gara tuntutan keluarganya? Anak muda itu direnung dalam-dalam dari arah belakang. Nur Aisya mula ragu-ragu. Dia teringatkan perbalahan yang berlaku siang tadi. Berbalahkan mereka? Atau hanyalah sekadar luahan jiwa dari hati kecil mereka yang masing-masing rungsing. Ditahan hiba itu dari hadir menjenguk ke jiwanya. Perlukah dia merintih. Perlukah dia merayu. Oh Tuhan, aku berserah kepadaMu.
Usai Tengku Faiq bersolat, Nur Aisya bersuara.
“Awak..”
Tanpa suara, muka si isteri direnung tepat. Masih lagi dalanm keadaan bersila.
“Esok, Aisya nak balik..” ucap Nur Aisya perlahan-lahan.
Tengku Faiq diam. Renungannya tajam. Dalam. Aysha cepat-cepat melarikan bola matanya ke arah yang lain. Tak tahan dia untuk bertentangan mata sebegitu. Jantungnya mula berkerja laju. Berdegup sepantasnya. Bagaikan ketulan jantung itu ingin melompat keluar dari ruang dadanya.
“Aisya kena balik KL. Kerja Aisya dah beberapa minggu tertangguh. Aisya harap awak izinkan..” aku Nur Aisya panjang lebar.
“Ada aku kisah?” balas Tengku Faiq bangkit seraya berjalan menuju ke sofa tanpa sebarang perasaan. Riak wajahnya bersahaja.
“Maksud awak?” tanya Nur Aisya tak mengerti sambil mengekori Tengku Faiq ke sofa.
“Pasal apa lembab sangat perempuan ni hah? Belajar tinggi katanya. Apa orang cakap pun tak faham,” kata Tengku Faiq menyindir.
“Ada aku kisah kalau kau nak pergi mana ker. Nak buat apa ker, dengan siapa ker,” jawab Tengku Faiq marah.
Nur Aisya terdiam mendengarkan jawapan daripada mulut suaminya. Hati kecilnya bagaikan diguris sembilu. Namun situasi itu cukup membuatkan hatinya bulat untuk pulang ke kampus esok. Tiket penerbangan ke Kuala Lumpur segera ditempah. Biarlah mereka berjauhan buat seketika. Mereka perlukan masa. Bukan salah Tengku Faiq untuk berat menerima kehadirannya malah dia sendiri pun agak kekok dengan situasi ketika itu. Masing-masing masih teragak-agak untuk menunaikan tanggungjawab yang telahpun digalas sejak beberapa hari ini. Biar masa yang menentukan segalanya. Siapa tahu suatu hari nanti, Tengku Faiq dapat menerima kehadirannya dengan hati terbuka. Dengan berbekalkan kebenaran itu, Nur Aisya mula berkemas. Hatinya melonjak-lonjak untuk meninggalkan rumah agam itu secepat yang mungkin. Lagi lama dia tinggal di situ, lagi hebat dugaannya, lagi dalam lukanya. Dia tidak mahu secuit rasa yang mula berputik tadi, terpadam tiba-tiba tanpa sengaja. Sepalit kenangan manis ketika hari pernikahannya, biar disimpan utuh di sudut hati. Fikirannya kembali dialih semula kepada pengajiannya, asrama serta rakan-rakan seangkatan di kampus. Bagaimana dengan lelaki itu nanti? Lelaki itu? Ohh.. Itulah satu lagi persoalan yang sedikit gentar untuk diolah olehnya. Bagaimanapun dia, lelaki itu adalah tetap seorang yang dipanggil suami. Akan dijaga maruahnya dan akan dipelihara darjatnya sebagai seorang ketua keluarga dengan sebaik mungkin. Akan digalas tanggungjawab yang ada selagi dia masih terdaya. Akan dikancingkan rahsia mereka berdua seteguh-teguhnya dilubuk jiwa. Namun dalam keras itu, pasti ada lembutnya. Terlintas di hati kecil Tengku Faiq untuk mengerling sekilas ke arah Nur Aisya dari jauh sambil-sambil menonton berita jam lapan. Kelihatan olehnya Nur Aisya mengeluarkan Ipad2 yang berbaju warna cyan dari perut sebuah beg galas. Gadis itu kelihatannya leka, tercari-cari sesuatu pada paparan muka gajet tersebut. Bunyi ketukan di muka pintu membuatkan perhatiannya beralih. Tengku Faiq membuang pandang ke arah Nur Aisya masih lagi kelihatan leka. Sepertinya tumpuan Nur Aisya tidak sedikit pun teralih oleh bunyi ketukan dari luar bilik tersebut. Gajet ditangan ters dilayar dengan teliti. Tengku Faiq mengalah lalu meluru ke muka pintu.
KAMU SEDANG MEMBACA
Pedihnya Cinta
RomanceNur Aisya Irdina Ilham. Itulah namaku. Nama yang menjadi pilihan ayah dan ibu buat puteri tunggal kesayangan mereka yang teramat comel orangnya ini. Sejak detik itu, aku sah menjadi isteri orang. Isteri kepada cucu teman rapat arwah nenekku, Tengku...