JAM penggera di telefon bimbit berlagu. Mengganggu pendengaran Tengku Faiq. Lagunya pasti yang membingitkan telinga bagi memudahkannya terjaga. Tengku Faiq terkebil-kebil. Dia memandang sekeliling. Mengintai ke tepi katil. Kelihatan Nur Aisya masih lena dibaluti selimut. Tubuhnya bengkok seperti udang kena goreng. Tengku Faiq duduk di birai katil. Dia bangun lalu berjalan perlahan ke arah jendela kaca yang terkatup rapat. Daun jendela di buka luas. Sejuknya. Bayu pagi mula menjamah pipinya tatkala berdiri di daun jendela yang terbuka. Hah! Ini baru depan tingkap. Kalau dalam bilik mandi macam mana punya sejuk agaknya, bisik Tengku Faiq. Kalau kat rumah sendiri, bolehlah pasang pemanas air. Dia teringat akan pesan Nur Aisya malam tadi, bilik air ada di belakang. Dekat dengan dapur. Nur Aisya yang masih berselubung di bawah selimut tebal di hampiri.
“Hey! Bangun. Dah subuh ni.”
“Erm.. Aisya cutilah,” balas Nur Aisya. Matanya masih terpejam rapat. Bantal panjang dipeluk erat di dada.
“Aku kata bangun. Bukannya suruh kau pergi kuliah.”
“Iyalah. Aisya cuti...”
Mendengarkan jawapan Nur Aisya buat kali kedua, Tengku Faiq tiba-tiba teringatkan sesuatu. Oh.. kini dia faham maksud yang terselindung di sebalik kata-kata Nur Aisya tadi. Dia terpandang di atas salah satu kerusi jati di sudut kiri bilik, terdapat dua helai tuala mandi kemas berlipat.
Pasti Nur Aisya yang menyediakannya, bisik Tengku Faiq.
Tuala itu dicapai. Dia berjalan keluar ke arah dapur.
Di dapur, Cikgu Maisara telah mula sibuk besilat dengan peruik belanga. Terasa kehangatan haba yang terhasil dari aktiviti rutin mertuanya itu. Menyiapkan sarapan pagi barangkali. Dari halaman luar kedengaran pula bunyi motorsikal menderum. Tengku Faiq menjenguk sejenak ke luar tingkap dapur. Kelibat sesusuk tubuh menunggang motor hilang dalam samar-samar subuh. Hanya lampu motor yang kelihatan bergerak meninggalkan perkarangan rumah kayu tersebut.
“Ayah. Ke surau,” Cikgu Maisara menyapa menantunya dari arah belakang.
“Faiq nak ke bilik air ker?” soal Cikgu Maisara apabila terlihatkan tuala di bahu menantunya itu.
“Erm..” jawab Tengku Faiq ringkas.
“Bilik air ada kat tepi sana. Yang hujung tu.”
“Terima kasih.”
Cikgu Maisara menyengih sendiri sebaik sahaja menantunya berlalu. Kelakar pulak si Tengku Faiq ni subuh-subuh begini. Siap berterima kasih bagai. Malu-malu gitu. Cikgu Maisara berbisik.
Tengku Faiq memerhati sekitar bilik mandi. Amat jauh berbeza jika dibandingkan dengan rumahnya. Air dikolah tadahan di cicah dengan pergelangan tangan. Opss! Sejuk tu. Terketar-ketar jari jemarinya. Berpeluk tubuh. Tapi hatinya mula berbunga bilamana terpandangkan sebiji pemanas air megah melekat pada dinding bilik tersebut. Butang on ditekan. Tiada setitis air panas pun yang keluar melalui pancuran mandi tersebut.
Setitik pun tiada? Alahai! Suisnya tak menyala.
Takkan nak kena keluar semula. Atau, takkan nak menjerit maminta agar ibu mertuanya menekan suis dari luar.
Fuh! Dia mengeluh.
Terpaksalah dia mandi mengigil-gigil kesejukan subuh itu.
“Assalamualaikum, Bu.. Selamat pagi.”
Tengku Faiq terdengar suatu suara yang amat dikenalinya di luar. Dia kenal, itu suara Nur Aisya.
Oh! Nur Aisyaku sayang, jika kau benar-benar sayang kepadaku, tolonglah swith on soket pemanas air kat luar tuh. Tengku Faiq berbisik dalam hatinya dalam keadaan terpaksa.
“Waalaikumussalam, Sayang. Baru nak bangun?” soal Cikgu Maisara kepada anaknya.
“Alah, sesekali Bu. Bukan selalu pun. Lagipun Cha cutilah.”
“Cuti-cuti pun, takkan suami bangun dulu kot,” balas Cikgu Maisara.
“Iyalah, lain kali Cha tak buat dah. Abang Faiq ikut ayah ker?,” Nur Aisya pula menyambung suara.
“Tu, kat dalam bilik mandi.”
Nur Aisya kehairanan.
“Bilik mandi? Senyap je. Bunyi air pun tak ada?” kata Nur Aisya bertambah hairan.
Cikgu Maisara menunjukkan isyarat tangan. Dia pun tak pasti. Perlahan-lahan Nur Aisya mendekati pintu bilik mandi. Telinganya dibawa rapat ke pintu. Pelik bin ajaib ni Tak ada bunyi air pun. Mandi ke tidur ni, soalnya perlahan. Cikgu Maisara menyengih melihatkan gelagat anak bongsunya. Matanya dibuntangkan kepada Nur Aisya. Nur Aisya tertawa kecil. Sebaik sahaja Cikgu Maisara berpaling, Nur Aisya cepat-cepat menekan suis pemanas air. Dia kemudiannya, merapati si Ibu yang kembali menghayun sudip mengoreng bihun.
“Wah! Bihun goreng belacan tu. Kuih keria pun ada,” kata Nur Aisya.
“Ermm.. Cekmek molek tak ada?”
“Hish! Banyak cerita pulak budak ni, pergi mandi,” jawab si ibu.
“Okey.. okey! Dah mandi kang, Cha tolong ibu ye. Abang Faiq ni, mandi lama betul. Tak sejuk ke lama-lama dalam bilik air tu,“ Nur Aisya separuh menjerit, berniat agar Tengku Faiq mendengar tutur katanya itu.
Tengku Faiq tersenyum. Dilihatnya lampu pada pemanas air telah bertukar warna.
Sayang pun kau kat aku ya, fikir Tengku Faiq nakal.
Butang ditekan. Berlumba-lumba air suam keluar dari pancuran mandi tadi. Nur Aisya tersenyum dari luar bila mana terdengarkan bunyi percikan air menghempas lantai. Dia segera ke bilik.
Sementara menunggu Tengku Faiq selesai, Nur Aisya mengemas tilam. Bantal-bantal ditepuk dan disusun. Entah bila Tengku Faiq muncul di muka pintu, dia sendiri tak pasti. Tau-tau Tengku Faiq sudah tegak dimuka pintu. Pintu bilik ditutupnya rapat.
“Hey! Cik Minnie Mouse, thank you,” ujar Tengku Faiq menguntum senyum.
“Welcome. Kalau awak nak tau kat kampung ni, malam-malam memang panas. Tapi bila nak subuh tuh sejuk sangat. Menggigil-gigil pun boleh. Air pili pun sejuk. Kalau air kolah tuh jangan cakaplah, pastinya lagi sejuk,” bebel Nur Aisya.
“Dah pegi mandi. Ibu tentu dah tunggu kau,” ujar Tengku Faiq.
“Ai-ai, Sir,” jawab Nur Aisya beredar setelah mencapai tuala dari atas kerusi jati.
Tengku Faiq berfikir sejenak. Ada perubahan pada perlakuan gadis itu. Di Penang Nur Aisya kelihatan matang dan pendiam, berbeza sekali dengan perwatakannya di kampung. Nur Aisya sepertinya lebih keanak-anakkan dan manja serta becok berkata-kata.
Hish! Tak faham aku budak ni, katanya sendiri.
KAMU SEDANG MEMBACA
Pedihnya Cinta
RomanceNur Aisya Irdina Ilham. Itulah namaku. Nama yang menjadi pilihan ayah dan ibu buat puteri tunggal kesayangan mereka yang teramat comel orangnya ini. Sejak detik itu, aku sah menjadi isteri orang. Isteri kepada cucu teman rapat arwah nenekku, Tengku...