HONEYMOON. Seperti kebanyakan orang, berbulan madu adalah suatu waktu yang amat membahagiakan. Nur Aisya sukar menyatakan apa yang sedang bermain di hati dan mindanya saat ini. Semua barang-barang keperluan diri telah disediakan sebaiknya. Dia tak mahu ada yang tertinggal. Tak mahu percutian itu terganggu. Sarawak. Itulah destinasi pilihan suaminya. Subuh-subuh lagi, Pak Mamat telah menghantar mereka berdua ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Cuma kata Tengku Faiq, perutnya sedikit meragam. Sementara mereka dipanggil masuk ke ruangan menunggu, Tengku Faiq kerap hilang. Rasa simpati mula memburu diri Nur Aisya.
“Awak. Kalau awak tak okey, kita batalkan saja cuti ni. Saya tak kisah.”
“I’m okay, don’t worry,” jawab Tengku Faiq dan kemudiannya beredar.
Penerbangan pagi itu agak menyenangkan buat Nur Aisya. Mungkin bagi Tengku Faiq, ianya tak beberapa selesa seperti selalunya. Mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sekitar jam sepuluh. Tengku Faiq masih lagi seperti tadi. Sekejap-sekejap, dia hilang dari pandangan Nur Aisya. Barangkali perutnya masih lagi meragam. Akhirnya mereka mengambil teksi menuju ke Hilton Kuching. Beg pakaian masing-masing di heret sama. Nur Aisya tak ubah seperti kanak-kanak yang mengikut ayahnya berjalan-jalan ketika cuti sekolah. Ke mana sahaja Tengku Faiq melangkah, pasti dia turuti. Dia telah lama tidak menjejakkan kaki ke Kuching. Kali terakhir kunjungannya adalah pada tujuh tahun lepas bersama keluarga. Banyak perubahan telah berlaku.
“Boleh duduk sana diam-diam tak? Yang kau ikut aku ke hulu kehilir tu apasal?” kata Tengku Faiq menunding jari ke arah sofa yang disediakan di lobi.
Muka Nur Aisya sedikit berubah tetapi dia akur dengan kesilapannya. Dia faham keadaan si suami yang sememangnya sedikit terganggu sejak subuh tadi. Dengan perlahan dia mengheret beg baju ditangan, mematuhi arahan yang baru sebentar tadi diterima daripada suaminya. Dia memerhati Tengku Faiq dari jauh. Lelaki itu kelihatan resah gelisah. Jam ditangannya telah ditenung beberapa kali sejak tadi. Sesekali dia cuba membuat panggilan. Tetapi tiada jawapan barangkali. Raut wajah yang kecewa mula menebari wajah tampan lelaki itu. Tengku Faiq akhirnya menuju ke kaunter pertanyaan, seketika dia melontar pandangannya ke arah Nur Aisya. Cepat-cepat Nur Aisya membuang pandangnya ke arah lain. Lebih-lebih lagi apabila terlihatkan kelibat Tengku Faiq menarik perlahan beg, berjalan menuju ke arahnya di sudut lobi. Nur Aisya menyambut satu set kunci bilik yang dihulurkankan kepadanya. Ditangan lelaki itu masih terdapat dua lagi set kunci. Pelik. Siapa punya? Ingin sekali Nur Aisya bertanya tetapi hasrat itu dibiarkan terus terpendam dalam hati. Dia bimbang suaminya yang sememangnya sedang resah akan tiba-tiba marah. Runsing benar dia, detik hati Nur Aisya.
Untuk bertanya, ibaratkan menyimbah minyak ke dalam apilah jawabnya. Kelihatannya lelaki itu sedang menunggu seseorang, ada janji barangkali. Orang gila kerjalah katakan, waktu cuti pun nak kerja. Kalau waktu kerja, jangan tanyalah. Tentulah sibuk gila. Sepasang mata galak lelakinya, dilemparkan ke segenap ceruk lobi hotel tersebut. Sesekali Nur Aisya mencuri-curi pandang juga, ingin tahu siapakah gerangan yang di tunggu-tunggu oleh suaminya itu.
“Pergi naik dulu!” pinta Tengku Faiq, tuba-tiba meninggi intonasinya.
Nur Aisya bangun dan berlalu pergi tanpa sebarang bantahan. Sambil menarik beg dan berlalu pergi, dia sempat menoleh ke kembali ke arah Tengku Faiq yang masih setia menanti di tempat tadi. Butang lift ditekan. Menunggu. Tengku Faiq yang tiba-tiba tersenyum lebar menarik perhatian matanya. Tak lama kemudian, seorang gadis menerpa ke ara lelaki itu. Tubuh tegap lelaki itu segera dirangkul kemas oleh si gadis. Berderau hati Nur Aisya melihatkan adegan tersebut. Tersirap darahnya naik ke muka. Asyik sekali kedua-dua anak muda itu berbicara tanpa sedar ada yang memerhati dari jauh. Siapakah gadis tinggi lampai itu? Soalan itu mula menari-nari di benak fikiran Nur Aisya.
Ting!
Pintu lif terbuka luas. Nur Aisya masih terpaku memandang. Kakinya layu untuk mengorak langkah.
KAMU SEDANG MEMBACA
Pedihnya Cinta
Любовные романыNur Aisya Irdina Ilham. Itulah namaku. Nama yang menjadi pilihan ayah dan ibu buat puteri tunggal kesayangan mereka yang teramat comel orangnya ini. Sejak detik itu, aku sah menjadi isteri orang. Isteri kepada cucu teman rapat arwah nenekku, Tengku...