BAB 2 - MALAM PERTAMA

661 8 0
                                    

“MASUKLAH..” ujar Tengku Faiq perlahan dengan tangannya menolak perlahan lengan kiri Nur Aisya.

Nur Aisya sedikit terkejut. Itulah kali pertama dia mendengarkan suara suaminya. Hanya sepatah. Nur Aisya menggangguk akur. Sesungguhnya memang Nur Aisya tak tahu ke mana harus dituju ketika itu. Dia pantas mengekori Tengku Faiq dari arah belakang. Menghala ke bilik pengantin barangkali. Ya, tepat sungguh tekaannya bilamana Tengku Faiq memutar tombol salah satu pintu yang ada. Nur Aisya sedikit terpana melihatkan keindahan hiasan bilik tersebut.

Wah! Indah sekali susunannya. Inilah bilik pengantin kami agaknya, bisik hati Nur Aisya. Tiba-tiba rasa penat mula menguasai tubuh. Disusuli pula dengan rasa mengantuk yang teramat sangat. Hatinya tercuit bila mana terpandangkan ratusan kelopak bunga mawar yang bertaburan di atas katil bersaiz king itu.

“Ehmmm..! Apa lagi you buat depan pintu tu? Tak tahu-tahu nak masuk,” Tengku Faiq menyapa kasar tatkala Nur Aisya masih lagi tercegat di depan pintu bilik tersebut.

“Tutup pintu tu,” arah Tengku Faiq menegas.

“Baik,” jawab Nur Aisya ringkas.

Tengku Faiq menanggalkan tanjak dikepalanya lalu diletakkan di atas katil. Dia mencapai tuala seraya berlalu ke kamar mandi. Fuh! Lega. Nur Aisya kembali mengamati segenap sudut bilik tersebut. Pusing ke liling dia memandang. Pasti ini juga dari hasil sentuhan kreatif Cik Faradina, perancang perkahwinan yang paling hot itu agaknya. Sesuka hati Nur Aisya jer memberikan gelaran itu. Apa salahnya, memang betul pun. Hebat.. memang cukup hebat wanita muda itu. Manalah tak hebat, kalau bayaranya pun hebat-hebat belaka. Tak gitu?

Fikiran Nur Aisya mula menerobosi dinding kamar. Dia terbayangkan keindahan hidup bersama suami tersayang.

Sayang ker? Sayanglah juga agaknya. Dah jadi suami isteri. Bak kata orang tua-tua, cinta yang tiada itu boleh disemai selepas berkahwin. Betul ker? Hisk! Macam tak beberapa nak percaya aje. Ermmm.. aku sendiri pun tak pasti. Tapi aku harus mencuba. Itulah azamnya selepas Tengku Faiq selesai menyarungkan cincin perkahwinan mereka ke jari manisnya pagi tadi.

Tengku Faiq Iskandar. Apa komennya tentang lelaki itu? Pada mata kasarnya, Tengku Faiq tu nampaknya seperti seorang yang agak pendiam dan tegas peribadinya. Tak banyak mulut kata orang tua-tua. Betul ker? Agaknya betullah tu. Nak bertegur sapa dengan aku pun boleh dikira dengan jari, detik hati Nur Aisya. Itulah yang dia nampak sejak beberapa jam tadi dan juga sebelumnya. Masa fitting baju tempohari pun macam tuh juga. Terkunci ajer mulutnya.. Matanya lebih banyak memerhati dari mulutnya menyapa. Sepatah kata pun dia tak dengar. Entah-entah dengan aku jer dia bersikap pendiam seperti itu, hati nakal Nur Aisya berkata-kata lagi. Whatever, bak kata Catriona Ross dalam telefilem berjudul Kalis Cinta suatu ketika dulu. Nur Aisya cukup terhibur menonton telefilm tersebut. Jalan ceritanya juga agak menarik. Jangan nanti cerita hidupnya jadi mirip-mirip macam tu, sudah. Nur Aisya tak minta lebih pun, janji Tengku Faiq boleh menerima kehadirannya di sisi. Itupun sudah memadai. Itu yang lebih penting. Manalah tahu dalam diam-diam ubi itu berisi. Entah-entah dalam diam itu nanti terbit pula sekelumit rasa sayang daripada hati lelaki itu buat dirinya nanti. Siapa tahu. Ada ker? Ermm… angan-angan ajelah aku ni. Belum test power lagi bak kata budak-budak muda zaman sekarang. Heheheh.. Macam-macamlah aku ni. Monolog Nur Aisya dalam diri.

Sesekali ada juga terlintas dihatinya, merasakan bagai sedang membuat pengambaran drama pun ada. Tak kenal. Tak jumpa, tiba-tiba nak kena kahwin pula. Jangankan Tengku Faiq, siapa Engku Nenda dan kerabatnya juga Nur Aisya tak pernah tahu. Malah waktu untuk mengorek cerita dari arwah nenek pun, dia tak pernah punya. Sebab apa? Sebab nenek terlebih dahulu pergi meninggalkan mereka seisi keluarga sebelum Engku Nenda muncul. Fuh! Berpeluh kalau nak difikirkan. Kalau nak diceritakan, lagilah berjela-jela panjangnya. Tiba-tiba Nur Aisya teringat pula pada drama bersiri petang-petang, Nora Elena. Adakah Tengku Faiq itu seromantik Seth Tan lakonan Aaron Aziz yang kacak tu. Cool. Aii.. beruntungnya aku kalau si dia sebiji macam watak itu. Tapi jangan cam setan sudahlah, bisiknya dalam hati. Boleh merana badan seumur hidup ni dibuatnya.

Lamunannya terhenti, gara-gara mendaratnya sehelai tuala mandi dipangkuan.

“Nak tidur dengan baju tu ke?”soal Tengku Faiq keras.

“Ermm..tak. Nak tukarlah ni,” jawab Nur Aisya sambil tertoleh ke kiri dan kanan mencari-cari akan beg baju yang dibawanya pagi tadi.

“Tu. Sana,” Tengku Faiq menunding ke arah sebuah beg sederhana besar.

“Okey. Thanks,” Nur Aisya segera bangun dan berjalan merapati beg-beg tersebut.

Selesai mengambil apa yang patut, Nur Aisya melencongkan langkahnya ke kamar mandi.

Wah! kamar mandi pun cantik. Lantainya berkarpet, gitu. Tak macam bilik mandi kat rumahku dikampung yang hanya berlantaikan jubin murah. Siap dengan tub mandi lagi kamar mandi Mamat ni. . Ermm… lain kali bolehlah kita dating wahai Inche Tab. Bolehlah aku berendam dalam buih-buih sabun macam cerita-cerita Inggeris dalam TV tu, angannya lagi.

Penat dibadan kian terasa. Matanya pula bagaikan dah tak boleh nak celik. Berat sekali rasanya nak mengangkat kelopak mata.

Ehh! ada pula pokok hidup dalam kamar mandi ni.

Pokok apa namanya pun Nur Aisya tak pasti. Manakala pada suatu sudut lain pula, terdapat batu-batu comel berwarna kelabu kehitaman tersusun menarik di lantai. Pada satu sudut bertentangan pula, terdapat kabinet yang melekap terpasang di dinding.

Apa yang tersimpan di dalamnya yer? Erm.. entahlah.. Nantilah aku teroka.. Fuh! Nasib baik tak ada sofa. Kalau tak, mau aku terlelap terus dalam kamar mandi ni. Nur Aisya tertawa sendiri. Hahaha. Gilalah orang kaya-kaya ni.

Nur Aisya muncul kembali setelah lengkap berpakaian tidur gara-gara malu untuk bersiap di luar. Tuala mandinya disidai pada penyangkut yang tersedia. Sebaik sahaja keluar dari kamar mandi yang serba mewah tersebut, Nur Aisya sekali lagi terpana. Bilik yang tadinya diterangi lampu kini kelam kesuraman. Yang kelihatan hanyalah cahaya samar-samar dari lampu tidur di meja sisi. Kedengaran televisyen berceloteh sendirian. Kelibat Tengku Faiq tidak pula kelihatan di segenap sudut bilik. Mana pulaklah Mamat ni pergi, bisik Nur Aisya tercari-cari. Tatkala dia melabuhkan punggungnya di birai katil sambil mengeluarkan sikat dari beg make-up, matanya tertancap pada sesuatu. Sesusuk tubuh sedang lena berselimutkan duvey merah hati di atas sofa yang disusun menghadap televisyen LCD 42 inci tadi. Nur Aisya perlahan-lahan bangun lalu mendekati sofa tersebut. Kenapa pula Mamat garang ni tidur di sini, bisiknya lagi. Dia berpaling ke arah katil yang masih kosong. Hatinya mula celaru. Tiba-tiba jiwanya resah. Wajah lena si suami terusan direnung. Pelbagai sebab menari-nari dimindanya.

Menurut pesanan ayah dan ibu, cinta itu boleh hadir lepas kami berumahtangga nanti. Nur Aisya berpegang pada pesanan itu. Bagaimanakah harus dia mula mencintai lelaki ini? Adakah secuit kasih sayang darinya untukku. Beribu persoalan sering bermain-main di ruang legar fikirannya. Lama wajah si lelaki yang bergitu lena itu direnung. Perlahan-lahan dia mencapai alat kawalan televisyen dari pelukan lelaki tersebut. Televisyen segera dimatikan. Sunyi. Pandangannya beralih pula ke sekitar kamar tidur tersebut. Kipas angin perlahan berputar. Pendingin udara pula sedang gigih bekerja.

Fuh! Sejuknya.

Nur Aisya melabuhkan punggung pada sofa single bersebelahan dengan tempat pembaringan si suami. Kedua-dua kakinya dibawa naik ke atas. Perlahan-lahan dia menyandarkan kepalanya pada sofa. Sang lamunan datang lagi. Pandangannya semakin lama semakin jauh meninggalkan ruangan kamar itu. Seketika, pandangannya semakin kuyu.

Selamat malam, semua. Semoga hari esok lebih bermakna buat kita semua. Moga- moga hari esok menjanjikan seribu kebahagian buat alam rumahtangganya.

Pedihnya CintaTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang