26 - Evening Rainbow

14 1 0
                                    

(A/N: First of all, I'm no longer feel motivated to write, I'm sorry.)

"Melankolik," kata Han apabila aku mencadangkan agar dia membaca sajak tulisanku.

Han Jisung, jejaka dari Incheon. Dia datang ke Malaysia dalam rangka program pertukaran pelajar. Han penuntut Universiti Hanguk. Dia mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa asing di universiti tersebut. Tiga hari lagi, Han akan menyertai pertandingan mendeklamasikan sajak, iaitu salah satu acara dalam program pertukaran pelajar itu.

"Ya, sajak ini melankolik. Nukilan saya, bukan plagiat. Saya pasti sajak ini amat menarik jika dibaca dengan iringan muzik sentimental atau awak mahu membaca sajak bernada romantik, sinis, atau protes?" tanyaku.

"Kesemuanya bukan pilihan saya, Elle. Saya memilih sajak patriotik," kata Han dengan yakinnya.

Aku sangat terkejut, tidak menyangka dia akan memilih sajak patriotik, memandangkan negara ini bukan tempat tumpah darahnya. Kata-kata selanjutnya lebih mengejutkan aku. Dia memilih sajak yang bertemakan cinta akan bahasa. Pemilihan diksi dalam sajak itu menarik.

"Satu pilihan yang tepat. Bagi saya, sajak tersebut sajak intelektual yang bersifat komunikatif. Sajak yang komunikatif memang sesuai untuk penyampaian deklamasi yang menarik," kataku agak teruja.

"Saya hendak menyampaikannya dengan berkesan. Bolehkah Elle membantu saya?" pintanya.

"Tentu sahaja boleh," kataku gembira kerana dia meminta bantuanku. "Untuk peringkat awal, cuba fahami sajak itu kerana apresiasi dan ekspresi amat penting untuk deklamasi sajak yang berkesan."

Selama tiga hari, aku melatih Han. Aku membetulkan nada, intonasi, dan jeda semasa dia mendeklamasikan sajak itu. Penyampaiannya semakin hari semakin baik. Han telah memberikan tekanan suara pada tempat yang sesuai. Aksi dan mimik mukanya juga tidak berlebih-lebihan tetapi dia berjaya menunjukkan penghayatan terhadap sajak tersebut.

Han dapat menghayati sajak itu dengan mudahnya kerana dia menguasai bahasa Melayu.

"Bahasa Melayu awak sangat baik," kataku kagum.

"Tentulah. Bukankah saya ini pencinta bahasa Melayu? Saya kenal benar akan aspek morfologi dan sintaksis bahasa ini. Pada pandangan saya juga, proses perancangan bahasa Melayu sungguh baik sekali," kata Han.

Dalam cuaca yang agak berbahang pada hujung Mac, hari yang dinantikan pun tiba. Semalam, ibuku sempat menjahitkan sehelai baju Melayu untuk Han. Aku membayangkan betapa kacaknya jejaka dari Korea Selatan itu berbaju Melayu semasa menyampaikan kata demi kata di atas pentas.

Namun, setengah jam aku menunggu tetapi jejaka itu tidak kunjung tiba. Aku menjadi resah dan gelisah. Dalam keresahan, aku melihat rakan Han menghampiriku.

"Dia berlepas dengan pesawat malam tadi secara tergesa-gesa kerana neneknya sakit tenat di Incheon."

Han ada mengirim e-mel kepadaku. Dia melahirkan rasa terkilan kerana tidak dapat menyertai pertandingan deklamasi sajak itu. Sebulan selepas itu, dia memberitahu bahawa neneknya sudah sembuh. Selepas itu, tiada sebarang e-mel daripada Han lagi. Aku tertanya-tanya.

Setahun telah berlalu, hujung Mac muncul kembali. Aku bagaikan terdengar setiap stanza yang dideklamasikan oleh Han dahulu. Kalaulah aku punya wang yang cukup, aku mahu terbang ke negara Korea Selatan untuk mengetahui khabar berita tentang dirinya. Han Jisung, sang pencinta bahasa, kau tiba bagaikan pelangi berseri tetapi hanya sebentar.

-tamat-

random short storyWhere stories live. Discover now