Kehadiran Ben yang tercengang di muka pintu menyebabkan Sera pantas berdiri. Teko yang telah kosong diletakkan semula ke atas meja. Naufal pula hanya berlagak selamba ketika berdiri dari duduknya.
"Sera dengan Naufal rupanya. Abang ingatkan siapa tadi." Ben melepaskan nafas lega. Namun gerak-geri Naufal masih dipandang curiga. "Naufal, kalau tak silap saya mesyuarat awak dah selesai tengahari tadi. Kenapa masih ada dekat sini?"
"Oh, saya terpaksa patah balik sebab tertinggalkan fail dokumen saya ni," balas Naufal seraya mencapai fail hitam berdekatan tudung saji. "Kebetulan terserempak dengan Sera, sempat juga kami berbual sekejap. Nice talking to you Sera." Matanya dikenyitkan ke Sera sebelum bersalaman dengan Ben. "Saya minta diri dulu. Assalamualaikum."
Sebaik Naufal menghilang, Ben mula menyoal, "Kamu buat apa duduk dalam gelap tadi?"
"Tak penting untuk kau tahu Ben. Muka kau tak padan jadi penyibuk. Lagipun, hal aku tak ada kaitannya dengan kau." Kasar Sera menjawab. Ada sesuatu pada Ben yang membuatkannya tidak selesa setiap kali mereka bertemu.
"Marah nampak? Sera tak pernah nak berlembut dengan abang. Tak suka ke abang jadi abang ipar Sera?"
"Abang?" Sera tergelak sinis mendengar gelaran itu. "Kau ada berderet adik perempuan Ben. Aku yakin kau tak kebulur perhatian 'adik ipar' kau ni. Baik kau beri perhatian pada isteri kau yang mengandung tu saja," balasnya dengan biadap menyebabkan air muka Ben bertambah keruh. Dia tidak berkenan dengan Ben kerana perangainya yang terlalu ramah dengan wanita selain Rosa sejak dulu lagi. Perangai kaki perempuannya seolah-olah tidak berubah walaupun telah berkahwin.
"Dah-dah, aku nak masuk tidur," sambung Sera lagi apabila menyedari Isya' telah lama masuk waktu. Ketika berjalan keluar, lengannya tiba-tiba dipegang Ben. Segera dia menarik lengannya seraya memandang Ben dengan tajam. "Apa ni?!"
"Papa nak jumpa Sera tadi. Katanya ada hal penting nak bincang dengan Sera. Arsha dah gelabah cari Sera dari tadi. Kebetulan terserempak ni, eloklah Sera pergi jumpa papa," ujar Ben dengan lembut.
Sera rasa bersalah kerana telah berburuk sangka terhadap Ben. "Papa nak jumpa dekat mana?" Nadanya dilembutkan sedikit.
"Ruang tamu tingkat ni." Ben kembali tersengih lalu mencapai sepaket protein bar yang ingin diambilnya tadi. Dia kemudiannya mengikuti langkah Sera yang sebenarnya acah-acah tahu jalan ke ruang tamu yang tidak pernah dikunjunginya.
"Kau buat apa ikut aku? Sekarang ni papa nak jumpa aku ke nak jumpa kau?" tanya Sera sebaik memasuki ruang tamu.
"Saja temankan Sera sementara tunggu papa sampai." Ben memasang televisyen sambil mengunyah protein bar.
Sikap biadap Seraliyah Noor Alroze dikatakan tidak akan menjejaskan imej Alroze Empire. Menurut Datuk Abdullah Noor Alroze, anak bongsunya itu belum diputuskan lagi sama ada akan menjadi salah seorang peneraju Alroze Empire kelak. Justeru itu ....
"Baik aku tenung muka Hagemaru," gumam Sera lalu menukar saluran televisyen ke saluran kartun.
"Sera perasan tak?"
"Perasan apa?" desis Sera.
"Konspirasi sebenar di sebalik apa yang berlaku semalam. Sera kan cerdik, mustahil tak boleh sambung satu persatu kejadian malang yang menimpa Sera."
Sera tenung Ben yang gigih mengunyah. Serpihan protein bar bertaburan di atas sofa dan lantai. Tak lama lagi nak jadi bapa orang, tapi perangai masih tak semenggah.
"Abang awal-awal lagi dah curiga tapi tak yakin apa rancangan sebenar mama dan papa. Bila naik muak tengok muka Sera dalam TV, abang cuba lihat apa yang berlaku pada Sera dalam konteks lebih besar. Takkanlah Sera tak perasan benda yang jelas macam tu? Rugi Sera belajar tinggi-tinggi kalau benda kacang macam tu pun tak boleh fikir," tambah Ben yang tersengih mencabar.
Sera tenung wajah Ben. Siapa yang tidak tercabar apabila Ben berkias mengatakannya bodoh. Sel-sel otaknya segera disambungkan. Walau anak mata mereka berlaga, fikirannya menerawang ke majlis semalam. Jemputan mengejut dari orang tuanya melalui Rosa dan Ben. Kalau bukan kerana Chichi memaksa Rosa untuk sesi makeover, dia tidak akan datang bergaya malam itu. Seterusnya berita tentang perkahwinannya dengan Hadi. "Bila abang tahu pasal idea kahwin paksa tu?"
"Tengok tu, Sera dah panggil abang 'abang'," usik Ben.
Sera yang malu segera melempar kusyen ke arah Ben. Dia kini sedar Ben adalah ahli baru dalam keluarganya. Tidak adil sekiranya dia melayan Ben dengan kasar sedangkan dia sendiri belum mengenali Ben lagi.
Ben menyambung setelah tawanya reda, "Abang tahu dua hari lepas dari Rosa. Maaf, abang terpaksa ikut tipu Sera hidup-hidup. Dari dulu lagi, abang dah tahu perangai di sebalik tabir mama dan papa. Terpaksa turutkan sajalah."
"Abang dan Rosa memang seperti belangkas dari dulu. Sera dah agak abang sedia maklum dengan selok-belok keluarga kami. Mesti Rosa dah beritahu abang pasal Sera juga." Perlahan Sera menjawab. Ben mengangguk sambil mengunyah protein bar. Dia kembali berfikir. Kenapa dia dijemput ke majlis itu semata-mata untuk mengetahui agenda perkahwinan itu? Kenapa perlu memberitahunya di hadapan tetamu lain sedangkan mereka boleh duduk berbincang sesama mereka saja?
"Dah dapat belum?" tanya Ben sedikit menggesa.
"Ini semua perangkap untuk memburuk-burukkan Sera," balas Sera perlahan setelah menyedari rancangan licik orang tuanya.
"Bingo!" Ben memetik jarinya. "Mereka dah rancang semua tu. Mereka sebenarnya ambil risiko juga sebab tak tahu Sera akan protes atau tak tentang perkahwinan tu. Tapi taktik mereka menjadi kot sebab Sera dah banyak berubah. Memberontak sikit." Sengihannya hilang tatkala melihat riak Sera berubah kelat.
"Sebab tu mula-mula papa tak nak Rosa beritahu majlis tu sebenarnya majlis besar-besaran. Nasib baik Sera nampak dekat TV dan terus tanya Rosa. Dan kalau Chichi tak tolong, mesti Sera kena ejek sebab pakai baju biasa-biasa saja." Sera ketawa sinis. "Agenda utama mereka hanyalah nak beritahu pasal perkahwinan tu. Menjadi jugalah rancangan mereka sebab Sera dan Hadi ni memang tak boleh langsung nampak muka masing-masing. Mesti mereka suka sebab sekarang Sera dah kena label macam-macam. Sera tahu mereka tak pernah suka Sera, tapi apa motif mereka buat Sera macam ni?"
"Satu hal lagi Sera lupa," celah Ben sambil mengangkat jari telunjuknya. "Sebelum ni, apa-apa majlis yang diadakan dalam rumah agam ni adalah tertutup. Dah dianggap seperti protokol Alroze Empire untuk tak benarkan wartawan masuk ke dalam. Tapi kalau Sera ada baca berita, semalam ada beberapa orang wartawan dijemput datang ke majlis tu."
Sera teringat petikan berita yang dibaca petang tadi. "Mereka dah kenakan Sera ...," bisiknya sambil merenung wajah Hagemaru yang turut berubah sedih. Ben mengambil tempat di sisinya dan bahunya dirangkul ke dalam pelukan sisi. Perlahan-lahan bahunya diusap menyebabkan akhirnya dia tewas dan airmata perlahan-lahan jatuh ke pipi.
Ben melepaskan keluhan panjang sambil merenung meja kaca di hadapan mereka. "Abang sendiri tak tahu apa motif mereka. Kalau betul tekaan abang tentang perangkap tu, Sera mesti cari tahu kenapa mereka buat macam tu. Tak masuk akal ibubapa menganiaya anak mereka sendiri. Sera tak layak dianiaya. Tapi tiada yang mustahil lagi dalam dunia sekarang ni."
Sera mendongak ke wajah Ben. Tiada sinar kenakalan yang sering terpancar dalam matanya. Apa yang ada hanyalah kesuraman yang tidak terjangkau.
Ben mencari anak mata Sera. Senyuman kecil dihadiahkan. "Janji dengan abang, Sera kena cari kekuatan Sera. Jangan mengalah. Bila jatuh, Sera tak perlu harapkan orang lain untuk berdiri semula. Fighters don't do that. You have nothing to lose so fight for yourself dan jangan jadi macam abang." Renungannya bertukar sayu di hujung ayat.
"Maksud abang?" Sera meluruskan tubuhnya.
"Ben, why don't you give us a minute with Sera here." Sapaan Datuk Abdullah mengejutkan mereka berdua.
"Oh, ya. Sera dah ada ni. Ben naik dulu kalau macam tu." Sebelum dia melangkah pergi, tangannya menepuk bahu Sera untuk memberi kekuatan.
Datin Anita dan Datuk Abdullah duduk di atas sofa bertentangan. Tajam pandangan Datin Anita ke arah Sera. Saat itu Sera berharap agar Ben kekal berada di sisinya.
***
Cik Serai Halia telah diterbitkan dalam bentuk e-book. Sekiranya berminat untuk mendapatkan e-book, sila komen atau hantarkan mesej kepada penulis di ruangan mesej.
YOU ARE READING
Cik Serai Halia | Wattys2017
Romance" Tiada fairytale kisah cinta kita Yang ada hanya hell " °°°°° Cik Serai Halia ... gadis yang hidup dalam kegelapan dan sering membuat keputusan untuk lari. Lari menjadi mustahil baginya apabila identiti diri sebagai anak bongsu pemilik perniagaan t...