3: Nama

2.1K 113 4
                                    

Sera membersihkan meja yang baru saja ditinggalkan pelanggan. Sesekali matanya melirik ke arah Daniel yang khusyuk menala pada skrin telefon. Sebentar tadi, Daniel telah menolak untuk memesan makan malam kerana katanya menunggu kedatangan seseorang. Siapa agaknya? Buah fikirannya terhenti tatkala loceng pintu utama berkerincing dan suasana tenang restoran menjadi riuh dengan kehadiran sekumpulan anak muda. Malas hendak mengambil tahu, dia menolak troli ke arah dapur.

Tidak sampai beberapa langkah, gegendang telinganya menangkap satu suara yang cukup dikenali. Tanpa berpaling, dia tahu siapa gerangan mereka. Mereka adalah Hadi dan geng monyetnya. Baru selesai kelas malam gamaknya. Memang Little Jasper sering menjadi tempat melepak pelajar-pelajar Kolej Alroze Empire. Hati kecilnya mula berasa kurang enak. Nasibnya malang terus sehingga ke malam. Hendak mandi bunga tujuh jenis gamaknya nanti.

***

Hadi teguk air Cola yang dihantar oleh pelayan lelaki yang sempat diusyar Hani sebentar tadi. Dingin sedikit hatinya apabila meneguk air sejuk.

"Eh, Hadi. Apa lagi yang kau bualkan dengan minah senget tu tengahari tadi? Lama juga kitorang tunggu," tanya Joe ingin tahu.

"Tak penting untuk korang tahu. Tapi minah tu memang bikin bengang akulah! Ada hati nak ajar aku macam mana nak hidup. Lama sikit dia ceramah tadi, memang sah aku ajar cukup-cukup." Hadi mengetap rahang beberapa kali.

Hani, Joe dan Kila mula bertukar pandangan. Hadi yang mereka kenal memang suka mengenakan prank bodoh kepada golongan yang tidak bernasib baik di kampus. Kalau tidak mengenakan orang, dia lebih suka tenggelam dalam urusan perniagaan keluarganya dan perniagaan rumah peranginan miliknya sendiri. Bab-bab tunjuk perasaan seperti itu jarang berlaku. Kalau marah sekalipun, dia lebih suka pendamkan saja.

"Relakslah. Malam ni kita chill aje, okey?" Joe cuba menaikkan mood.

"Ya, malam ni kita boleh chill. Tapi aku nak korang tahu, aku akan kerjakan minah tu habis-habisan selepas ni," tekad Hadi. Gelasnya direnung dan sesekali dijentik perlahan.

Naufal yang terkenal dengan aura pendiamnya mula bersuara, "Jadi, sasaran seterusnya Seraliyah. Kau yakin?"

"Yup." Hadi mengiyakan dengan yakin sebelum dahinya berkerut. "Wait, siapa?"

"Apa?" Naufal tanya semula.

"Siapa nama dia?"

"Ya, macam mana kau tahu nama dia?" Hani si minah kepoh turut bertanya ingin tahu.

Naufal terbatuk. Gelasnya dicapai dan air diteguk perlahan dan lama. Setiap pasang anak mata di meja itu masih menanti jawapan daripadanya. Gelas diletakkan semula sebelum dia mengeluh berat. "Alah, budak tu boleh tahan ramai juga yang kenal. Ramai budak lelaki yang syok dengan dia sebab muka cantik dan body mengancam dia tu. Ramai yang nak cuba tapi dia ni jenis hati batu sikit. Jual mahal."

"Tak sangka dalam diam kau dah upgrade jadi pak cik bawang, Naufal." Joe mengekek kelucuan.

"Aku lempang kang baru kau rasa penangan pak cik bawang ni," ugut Naufal menambahkan kekekan Joe.

"Apa lagi yang kau tahu pasal minah tu?" tanya Hadi tanpa menghiraukan Joe yang memang menghidapi penyakit ketawa tanpa brek.

"Anak orang kayalah juga sebab belajar dekat kolej tu. Selebihnya ... aku tak tahu sangat. Sebab dia ni spesies kera sumbang. Tak ramai kawan." Naufal kembali meneguk air.

Loceng pintu berkerincing dan seorang wanita melangkah masuk menyebabkan pandangan para lelaki di restoran itu tertumpu ke arahnya. Para teman wanita cuba menarik semula perhatian teman lelaki masing-masing. Kalau teman lelaki pun terpikat, apalagi sang suami. Tidak tersuap nasi ke mulut anak masing-masing. Lain pula ceritanya di meja Hadi. Awan mendung berarak ke meja mereka. Mereka sudah masak dengan perangai wanita itu.

"Di ... va ...," gumam Kila dalam batuknya. Dia tidak berkenan dengan wanita acah diva bernama Chichi itu.

Lebar senyuman Chichi apabila mengecam wajah Hadi.

"Mayday, mayday, mayday," gumam Joe sambil cuba mengecilkan diri yang sediakala sado di sebalik Hani yang keding. Yang lain turut menyibukkan diri masing-masing. Hani berpura-pura mengira duit di dalam dompetnya. Walhal yang dikira kebanyakannya hanyalah resit.

"Hai! Tak sangka korang ada dekat sini. Ada kelas ke tadi?" Seperti biasa, Chichi menyapa terlebih mesra. Dan mereka pula endah tak endah saja dengan kehadirannya.

"Kila sayang, you okey ke? I dengar you batuk tadi? Tersedak apa?" Chichi tidak terlepas dengar panggilan 'diva' buat dirinya tadi.

"Tersedak dengan kegedikan you kot. Boleh mati I kalau lama-lama tengok muka you dekat sini." Mulut Kila memang skrunya longgar sedikit.

Chichi masih tersenyum manis. "Amboi, bukan main savage lagi you. I ingat you tersedak dengan kesepian you. Yalah, forever alone-lah katakan. Ke mana-mana aje you pergi memang tak ada yang nak kawan," bidas Chichi. Segera dia menapak ke sisi Hadi.

Kila pula sudah menggerenyotkan bibirnya. "Betina tak ..."

"Shh," tegah Naufal kerana bimbang terbalik pula meja mereka nanti.

"Hai, Hadi! You apa khabar? Dah lama kita tak lepak berdua tau," sapa Chichi.

"Nanti-nanti ajelah kalau aku tak sibuk," balas Hadi acuh tak acuh. Pandangannya ditundukkan. Kalau bimbang iman tergugat, sebaik-baiknya tundukkanlah pandangan. Minyak wangi saja beribu batu boleh dihidu, apalagi menatap baju Chichi. Boleh hidu neraka terus!

"Janji?" Chichi angkat jari kelingking.

"Hah?" Hadi mengerutkan kening ke arah Chichi sebelum menundukkan semula pandangannya. "Aku tak mainlah janji-janji ni."

Chichi merengek. "Alah, you ni benda kecil aje pun nak marah. Malam esok you sibuk ke? I nak ajak you pergi ke parti."

"Maaflah Rosnah, aku ada hal malam esok." Hadi tidak teragak-agak menggunakan nama sebenar Chichi. Hanya itu saja yang boleh membuatkan seorang Chichi terdiam. Kila, Joe dan Hani apalagi, masing-masing sudah ketawa tidak ingat dunia sambil menepuk apa saja yang boleh ditepuk.

"Gais," ujar Naufal. "Korang dengar tak?"

"Dengar apa?" Serentak Joe dan Hani bertanya.

"Mestilah korang tak dengar, sebab ada orang tu bertepuk sebelah tangan aje," sambung Kila dalam cubaan beregu bersama Naufal untuk menyindir Chichi.

"Korang berdua memang sengaja kan?" Chichi merenung tajam bagai hendak menelan Naufal dan Kila hidup-hidup saja. "Urgh!" Dia segera beredar pergi sambil menghentak kakinya.

"Chi hua hua hua hua!" ejek Joe.

Selang semeja dari meja makan mereka, Chichi melabuhkan duduk di hadapan Daniel.

***

Sera kembali setelah menghantar pinggan kotor. Langkahnya mati tatkala melihat situasi di penjuru restoran. Daniel kini duduk berdua dengan Chichi. Sama lawa sehingga kelihatan seperti adik-beradik. Untunglah dapat teman lelaki sekacak Daniel. Sangat sepadan bagai telur masin dibelah dua. Bermaksud tidaklah sepadan mana kerana telur masin yang dibelah dua selalunya pembahagian kuning telurnya tidak adil sehingga menyebabkan ramai yang berkecil hati. Selang semeja dari mereka, Hadi dan rakan-rakannya sedang berbual seperti sekumpulan monyet. Dan raja monyet yang kacak iaitu Hadi sedang memandang serius skrin telefon. Dada Sera mula berdegup kencang.

"Tunggu apa lagi Sera? Pergi ambil pesanan meja nombor 8, abang sado dan Miss Universe tu," arah Rizki yang terkocoh-kocoh mengelap meja.

"Baik, bos." Sera pasrah.Perlahan-lahan dia mula membuka langkah sambil berdoa panjang agar diberikan kesabaran.

***

Cik Serai Halia telah diterbitkan dalam bentuk e-book. Sekiranya berminat untuk mendapatkan e-book, sila komen atau hantarkan mesej kepada penulis di ruangan mesej.

Cik Serai Halia | Wattys2017Where stories live. Discover now