8: Lif

1.7K 70 10
                                    

Janggal adalah perkataan tepat untuk menggambarkan atmosfera dalam lif VIP yang dinaiki mereka. Digit yang kian bertambah jumlahnya di atas pintu lif menjadi perkara paling menarik untuk dilihat.

"Kau pun nak bersiap dalam bilik tu ke?" Suara Sera memecah kesunyian. Pandangannya dikalih ke sisi untuk mengimbas wajah dua pupunya yang bernama Siti Rosnah Noor Alroze binti Razaq Noor Alroze. Atau lebih dikenali sebagai ... Chichi. Ayah Chichi, Datuk Razaq adalah sepupu kepada ayah Sera.

Chichi menjeling ke arah Sera. "Kenapa? Tak boleh ke? Aku kot yang cadangkan benda ni pada Kak Rosa. Kau sepatutnya berterima kasih."

Sera membalas renungan Chichi. "Kau ni pekak binti tuli ke? Aku tak cakap salahlah, aku tanya aje kot. Lagipun buat apa aku nak berterima kasih untuk sesi bermekap-mekap bagai ni. Aku boleh aje pergi malam nanti macam ni aje." Kepala dikalih semula ke pintu lif sebelum menggumam, "Tapi ... terima kasihlah sebab tolong aku dekat kaunter tadi."

Chichi menghentak-hentak kasut tumit tingginya pada lantai lif. "Kau ni menyedihkan sangat tadi, tahu tak? Kalau aku tak ada, entah apa kesudahannya tadi. Sampai bila kau nak hidup macam ni? Senang-senang saja kau tunjuk IC kau tadi, biar terbeliak mata diorang. Selesai cerita. Ini tak, kau pilih juga jalan susah." Semakin lama berada dalam lif, semakin panjang bebelannya kepada Sera.

"Diamlah," bidas Sera. "Kalau tak tahu cerita sebenar tu, kau buat sajalah cara tak tahu. Hanya kerana kau tahu secubit kisah hidup aku, tak bererti kau tahu segala-galanya, faham?"

"Pandai-pandailah kau dengan perangai kau tu. Asalkan kau tak menyusahkan hidup aku, sudah." Chichi mencerabih sendiri-sendiri.

Mereka kemudiannya memilih untuk mendiamkan diri dengan rasa dongkol yang menggunung. Sebaik pintu lif terbuka di tingkat 34, Chichi pantas keluar dari perut lif dan Sera hanya membuntuti.

"Eh Chichi, aku nak tanya kau sesuatu ni." Sera mencela tiba-tiba.

"Apa?" marah Chichi yang mencari kad akses dalam beg tangannya. Setelah membuka pintu, mereka melangkah masuk ke dalam bilik mewah itu.

"Ya ALLAH ... cantiknya!" Sambil melongo Sera melilau ke seluruh pelosok bilik. Mulutnya tertutup tatkala bertembung anak mata dengan Chichi.

"Nak tanya apa tadi? Gantunglah." Rupanya Chichi ternantikan sambungan ayatnya.

Sera mendehamkan rengkungnya. "Aku nak tanya, majlis malam ni sebenarnya untuk apa?"

"Kalau kau tahu, apa kau nak buat?"

"Itulah ... aku tak boleh nak buat apa-apa. Orang tua aku yang nak aku datang malam ni. Nak tak nak, aku kena hadap mereka juga." Sera gigit bibir sambil merenung karpet. "Sekurang-kurangnya kalau kau beritahu aku agendanya, aku lebih bersedia."

Chichi pintal hujung rambutnya. Nafas dihela panjang. "Majlis biasa-biasa saja. Annual Dinner Alroze Empire. Bukannya benda besar pun. Alroze Empire macam biasalah, kalau kau tak tahu, apa-apa majlis yang diadakan dalam rumah agam mesti cuba dirahsiakan dari tatapan umum. Kira macam protokol tak rasmi untuk jaga reputasi rumah agam dan juga privasi tetamu yang hadir."

Sera angguk faham. Tenang sikit hatinya apabila mengetahui agenda sebenar majlis malam itu. Pasti orang-orang Alroze Empire saja yang dijemput hadir.

"Tapi ..." Chichi buang pandangan ke luar hotel. "Urusan kau dengan orang tua kau aku tak tahu-menahu."

Senyum pahit menghiasi wajah Sera. "Kau tak payah risaulah. Hal aku, biar aku urus sendiri."

Chichi buat-buat ketawa lucu. "Aku risaukan kau? Tolonglah, Sera."

Berbual sambil berdiri di tengah bilik itu menambahkan ketegangan di antara mereka. Sera tahu perbualan mereka kini mudik ke topik yang dielakkan Chichi sejak mereka bertemu semula di kolej. Ke topik perkenalan mereka 12 tahun lalu yang menyebabkan Chichi membencinya setengah mati. Sejak mereka bertemu semula di kolej, tidak pernah sekalipun Chichi melayannya dengan baik. Bencinya tidak pernah surut.

Cik Serai Halia | Wattys2017Where stories live. Discover now