14: Klise

1.5K 61 14
                                    

Sera meniti anak tangga dengan langkah berat dan rasa berontak yang menebal. Arsha baru saja menyampaikan pesan bahawa Datuk Abdullah ingin bertemu dengannya di laman belakang. Dalam banyak-banyak tempat, mengapa kolam renang yang ditakutinya menjadi pilihan papanya? Apabila tiba di bawah anak tangga, seorang lelaki yang berpakaian serba hitam melewatinya dengan langkah laju. Sisi wajah lelaki itu membuatkan jantungnya berdetak kuat. Rambut hitam lelaki itu yang digelkan ke belakang menampakkan sesuatu yang membuatkannya terkaku. Mustahil!

Mata Sera menyorot belakang sasa lelaki itu. Ingatan mula bersilih ganti dengan memori lima bulan lalu yang terasa masih segar. Figura lelaki yang serupa tetapi memakai baju-T putih dan lengannya tercalit dengan darah beku. Satu lagi imej terlintas dalam ingatan, dia masih ingat akan satu kilauan yang menyilaukan mata ketika lelaki itu menemuinya. Adakah dia lelaki yang sama?

"Cik tak apa-apa ke?" sapa seorang pelayan lelaki menyebabkan Sera kembali ke alam nyata.

"Saya okey, terima kasih." Sera kembali mengatur langkah ke laman belakang. Sesekali matanya mencari kelibat lelaki tadi dalam ruangan yang sesak itu. Ketika melewati pintu kaca yang terbuka luas, darah gemuruh kembali menyerang apabila melihat laman belakang dipenuhi dengan kaum kerabat orang-orang berada. Kolam renang hanya berfungsi sebagai perhiasan. Dia iri melihat mereka yang seusia dengannya ketawa senang tanpa menghiraukan apa-apa. Tidak seperti dirinya yang tidur malam dihantui mimpi buruk dan siangnya pula berdepan musang berbulu ayam.

Senang saja hendak mengecam wajah papanya yang persis wajah Presiden Snow dalam filem The Hunger Games. Apa yang membezakan papa dengan Presiden Snow adalah rambut papanya masih gelap. Selebihnya sama saja dengan Presiden Snow. Termasuklah kejahatan Presiden Snow. Orang tuanya dilihat sedang duduk di salah satu pondok kecil yang terletak di hujung kolam. Berdekatan mereka, tiga figura sedang berbincang dengan serius. Semakin dia menghampiri semakin dia cam salah seorang figura yang sedang bercakap dengan wajah yang kusut.

"Ibu ... Hadi tak nak," betah Hadi. Sesekali dia menjeling orang tua Sera yang berdiri sedikit jauh. Apabila ibunya hanya menayang muka toya, dia beralih ke arah ayahnya pula. "Ayah, sampai hati ayah buat keputusan ni tanpa berbincang dengan Hadi dulu."

"Ayah yakin, kalau ayah tanya sekalipun, Hadi takkan setuju." Datuk Alex melarikan anak mata dari wajah sugul anak tunggalnya. Dia sanggup melayan amarah Hadi, asalkan Hadi bersetuju untuk berkahwin dan memulakan hidup baru.

"Sampai hati ibu dan ayah buat Hadi macam ni." Hadi raup wajah yang membahang. Dengan nada terdesak dia bertanya lagi, "Ibu dan ayah nak jual Hadi dengan Alroze Empire ke? Demi apa? Bisnes kita?"

Datuk Alex memegang lembut bahu Hadi sebagai cubaan untuk menenangkannya. "Tak ada kena-mengena dengan bisnes kita Hadi. Ibu dan ayah buat semua ni untuk kebahagiaan Hadi."

Hadi tergelak sinis. Bahagia? Pergi mampus dengan bahagia. "Hadi masih punya ayah dan ibu pun dah cukuplah. Tak perlu kot gunakan kebahagiaan Hadi sebagai alasan. Jangan fikir Hadi tak tahu ini ada kaitan dengan projek bersama dengan Alroze Empire dulu. Hadi kot yang tolong ayah sediakan kertas kerja." Rahang diketap beberapa kali sebelum menyambung lagi bicaranya, "Tak lama lagi Hadi habis belajar. Hadi boleh tolong bisnes kita lepas ni. Apa saja kerja yang ayah nak Hadi buat, Hadi akan buat. Hadi sanggup kerja 24 jam, turun naik kapal, asalkan ayah batalkan perkahwinan ni."

Datuk Alex buntu mendengar rayuan anaknya. Wajah isterinya dilirik. Mereka nekad hendak menjodohkan Hadi. "Ini tak ada kaitan langsung dengan bisnes kita. Ayah yang berkenan dengan cadangan Datuk Abdullah yang nak jodohkan Sera dengan Hadi. Ayah tak sanggup tengok Hadi sampai sekarang masih ..."

"Hadi tak nak kurang ajar ayah. Tapi tolonglah simpan saja apapun alasan ayah tu," potong Hadi. Dia tahu ayahnya akan sentiasa menggunakan alasan yang sama. Bukan sekali dua mereka cuba membangkitkan kisah cintanya dalam setiap perbualan mereka. Teruk sangatkah kisah cintanya? Pandangannya dibuang jauh. Meluap-luap bengangnya saat wajah gadis yang dikatakan mampu memberikan kebahagiaan kepadanya kini berdiri beberapa langkah saja darinya.

"Hadi, kami yakin ini adalah yang terbaik buat Hadi. Ibu nak sangat tengok Hadi bahagia," pujuk Datin Helina.

Hadi tidak membalas, sebaliknya hanya merenung benci ke arah Sera.

Mulut Sera terkumat-kamit tanpa bunyi. Tangannya sekejap diangkat, sekejap diturunkan cuba menarik perhatian tiga figura yang menghalang laluannya itu. Kerana kakinya lenguh, dia tidak sanggup mengelilingi kolam renang semata-mata hendak bertemu orang tuanya yang hanya beberapa langkah saja di hadapannya. "Maafkan saya," ujar Sera kepada wanita yang kelihatan seperti ibu Hadi. "Tumpang lalu dulu aunty."

"Oh! Silakan," izin ibu Hadi lalu berganjak memberi ruang.

Sera melewati mereka dengan tergesa-gesa. Meski dia perasan akan pandangan tajam Hadi, dia tidak ambil pusing. Saat ini, dia lebih gementar hendak bertemu dengan orang tuanya. "Papa cari saya?" Sera berbasa-basi dengan Datuk Abdullah yang duduk berduaan bersama Datin Anita.

Tiada sekelumit pun rasa rindu Sera buat mereka. Selama mereka bergelar ibubapanya, secubit cuma rasa kasih dan sayang tidak pernah dicurahkan. Lalu, buat apa dia menganggap mereka sebagai ibubapanya? Dia lebih sanggup bertukar watak dengan Cinderella. Sekurang-kurangnya Cinderella membesar dengan penuh kasih sayang sebelum ibu dan kakak-kakak tiri memporak-perandakan hidupnya. Pun begitu, Cinderella akhirnya hidup bahagia bersama putera idaman. Manakala dia, sejak lahir lagi dilayan seperti sampah. Dia tidak impikan kehadiran seorang putera idaman untuk memberikannya kebahagiaan. Berjaya lari dari cengkaman orang tuanya saja sudah lebih dari cukup.

"Mama," ujar Sera sebaik bertembung mata dengan Datin Anita. Dia perasan akan lirikan mata mamanya pada penampilannya. Buruk sangat ke aku malam ni?

"Lama papa tak jumpa Sera. Tak nak peluk papa ke?" Papanya tersenyum nipis lalu mendepakan tangannya.

Sumpah Sera hampir muntah kerana jijik melihat perlakuan papanya. Orang ramai pasti menganggap dia bertuah kerana papanya adalah Datuk Abdullah, pemilik Alroze Empire yang memiliki harta kekayaan seluas lautan dan nampaknya dia juga seorang yang penyayang. Mereka hanyalah menonton sebuah pementasan sandiwara. Mahu tidak mahu, dia menapak ke dalam dakapan papanya.

"Papa gembira dapat jumpa anak papa semula," bisik Datuk Abdullah sambil menepuk belakangnya.

Meremang bulu tengkuk Sera. Jelas nada papanya memberi amaran awal. Dia kemudiannya beralih memeluk tubuh ramping Datin Anita. Memeluk mamanya umpama memeluk patung jerami. Kejung dan tidak berperasaan. Sesaat cuma pelukan mereka sebelum Datin Anita menyeretnya ke arah orang tua Hadi.

"Ini dia Sera, anak bongsu saya dan juga bakal menantu kamu Alex," kata Datin Anita yang tersenyum lebar.

Kata-kata Datin Anita langsung tidak menyentuh pendengaran Sera kerana dia lebih jijik melihat bibir nipis mamanya yang meleretkan senyuman palsu. Dasar hipokrit!

"Ya ALLAH, cantik orangnya! Padan sangat dengan Hadi kan bang?" Datin Helina tergamam melihat Sera.

Hadi tergelak sinis. Seraya itu jari telunjuk dilayangkan ke Sera. "Ibu kata minah senget ni padan dengan Hadi? Tolonglah ... kahwin bini Shrek lagi bagus."

"Hadi, jaga sikit mulut kamu tu," bisik Datuk Alex yang kurang berkenan dengan sikap Hadi. Isterinya juga jadi serba-salah.

Sera yang baru memasuki topik mula kalut. "Apa yang berlaku ni? Saya tak faham. Siapa yang nak kahwin dengan bini Shrek?" Pandangannya dikalih ke satu persatu wajah di hadapannya.

"Sera sayang, mama dan papa dah buat keputusan nak jodohkan Sera dengan Hadi. Sera pun dah setuju hari tu kan?" Ringkas dan tanpa kiasan penjelasan Datin Anita. Desas-desus mula kedengaran di sekeliling mereka. Pasti ramai sedang memasang telinga.

"Apa?" Mata Sera terbuntang."Sera tak pernah setuju nak kahwin. Mama dan papa buat lawak ke?" Saat inilah diahampir kehilangan kewarasannya. Ketawa mentah mula melepasi mulutnya.

***

Cik Serai Halia telah diterbitkan dalam bentuk e-book. Sekiranya berminat untuk mendapatkan e-book, sila komen atau hantarkan mesej kepada penulis di ruangan mesej.

Cik Serai Halia | Wattys2017Where stories live. Discover now