Setelah hampir setengah jam Chichi dan Sera bertekak sama ada hendak menggunakan Mini Cooper Sera ataupun Jaguar Chichi, mereka akhirnya selamat juga untuk tiba ke rumah agam Alroze Empire. Semuanya berkat bantuan Zee dan Rara yang memutuskan untuk menghantar mereka menggunakan Vellfire mereka saja. Kerumunan paparazi di luar perkarangan rumah agam menambah gundah di hati Sera. Cahaya kamera mereka menyilaukan anak mata. Sendinya terasa lemah seperti terperangkap dalam ruang tanpa oksigen.
"Dah sampai!" Zee bertepuk tangan kerana teruja memasuki perkarangan rumah agam itu buat pertama kali. Atas arahan Chichi, Rara memberhentikan kereta di kawasan bulatan air pancutan yang terletak jauh dari rumah agam.
"Kau turun dulu," arah Chichi kepada Sera.
"Apasal aku pula?"
"Sebab kau duduk dekat pintulah mak cik oi!" Mata Chichi melirik ke arah Zee yang memasang telinga. "Lagipun apa orang kata kalau nampak kita turun berdua? Bahaya kalau ayah aku tahu."
"Kau turun tak lepas aku turun?"
Chichi mengeluh jengkel. "Aku suruh Rara keluar dulu. Lepas tu baru aku masuk balik."
"Bayar lebih tau untuk extra request. Minyak mahal." Sempat Rara berseloroh.
Sera melangkah keluar dengan berat hati. Pasti mereka benar-benar lewat kerana tiada lagi kereta lain yang memasuki perkarangan itu. Kawasan itu sunyi dan hanya kedengaran bunyi percikan air pancutan dan sayup-sayup suara paparazi di luar pintu pagar. Rumah agam yang diterangi cahaya lampu-lampuan indah direnung dengan rasa pilu. Seindah dan seteguh mana pun rumah agam itu, kenangan pahit hidupnya di sebalik dinding batu itu akan sentiasa mencemari keindahan seni bina itu dan akan sentiasa meranapkan dirinya.
Kakinya melangkah melalui gerbang bunga yang menghiasi laluan menuju ke pintu hadapan rumah agam. Deria hidunya menangkap haruman bunga-bungaan yang bercampur sedikit dengan asap arang kayu berbeku. Langkahnya terhenti tatkala melihat Chichi yang dihantar Rara sehingga ke pintu hadapan. Busuk hati! Pasti Chichi sengaja menyusahkannya untuk berjalan jauh. Langkahnya diteruskan dengan kesabaran yang masih berbaki.
Ketika menghampiri rumah agam, dapat dilihat kanopi-kanopi kecil dipasang di sisi kiri dan kanan rumah agam. Riuh rendah suara tetamu menikmati juadah di bawah kanopi. Dari penampilan mereka, dia yakin mereka adalah pekerja bawahan Alroze Empire. Saat menginjak anak tangga pertama untuk menuju ke pintu rumah agam, hatinya terasa berat. Wajah para tetamu dipandang sekilas. Lantas dia menapak ke arah kanopi berdekatan.
"Assalamualaikum, dekat luar ni semuanya pekerja Alroze Empire ke?" tanya Sera kepada seorang wanita yang sedang mendukung anaknya.
"Waalaikumusalam. Ya, pekerja biasa macam kami ni memang makan dekat luar aje."
Sera angguk faham dan tersenyum janggal. Dia tidak berkenan langsung dengan layanan yang diberikan kepada mereka. Seumpamanya ada yang memisahkan antara mereka dengan tetamu terhormat yang berada di dalam rumah agam. "Harap-harap semua berpuas hatilah dengan layanan tak seberapa ni."
Seorang wanita gempal yang berdiri berdekatan menjawab, "Terbaik apa. Dapat makan dekat luar ni pun dah cukup. Semuanya sedap dan cukup kualiti dan kuantitinya sekali. Kalau boleh, nak tapau bawa balik aje makanan ni semua. Banyak lagi yang tak dapat rasa sebab perut dah penuh."
"Kalau macam tu ..." Sera melilau mencari pelayan. "Arsha! Mari sini kejap!"
Arsha yang sedang memungut pinggan kotor tersentak lalu berpaling ke arah tuan empunya suara. "Cik Sera! Lamanya tak jumpa cik!" getusnya dengan gembira lalu berlari dan merangkul tubuh Sera.
Sera menepuk perlahan belakang Arsha sebelum melepaskan rangkulannya. "Dah-dah, lepas ni kita borak panjang. Sekarang ni saya nak awak sediakan bekas untuk tetamu kita tapau balik mana-mana makanan yang tak habis, boleh?"
YOU ARE READING
Cik Serai Halia | Wattys2017
Romance" Tiada fairytale kisah cinta kita Yang ada hanya hell " °°°°° Cik Serai Halia ... gadis yang hidup dalam kegelapan dan sering membuat keputusan untuk lari. Lari menjadi mustahil baginya apabila identiti diri sebagai anak bongsu pemilik perniagaan t...