12: Bicara

1.9K 115 12
                                    

Daniel menyiku lengan Chichi untuk menukar topik perbualan mereka setelah Hadi berlalu pergi. Chichi menjegilkan mata sebagai isyarat keengganannya untuk membuka topik baru.

"Kamu dah lama balik Malaysia ke Sera?" Suara Datuk Razaq mengisi kesunyian di antara mereka.

Sera hampir terseliuhkan lehernya kerana terlalu pantas menoleh. "Rasa-rasanya dah enam tahun saya ulang-alik antara Malaysia dan Australia," tipunya. Hakikatnya, enam tahun itu adalah tempoh dia melarikan diri dari rumah agam itu. Wajar dia berkata sedemikian kerana selama enam tahun itulah dia benar-benar terasa seperti berada di Malaysia.

"Uncle tak sangka kamu dah lama ada dekat Malaysia. Ayah kamu tu tak pernah sebut pasal kamu selama ni. Dia tak ada beritahu pun kamu dah balik Malaysia. Selalu bualkan hal bisnes saja. Hal famili dia selalu tolak tepi. Uncle terkejut bila dengar nama Sera yang naik selepas kejadian dengan Hadi di restoran semalam. Tup tup malam ni ada pula kamu dekat sini," kata Datuk Razaq yang sesekali menoleh ke arah Datuk Qazar.

Sera tersenyum janggal. "Papa memang macam tu. Serius memanjang. Sebenarnya saya yang tak nak papa hebohkan perkara ni sebab saya dah terbiasa hidup tanpa populariti dekat Australia. Saya tak suka jadi tumpuan."

Datuk Razaq mengurut dagu seperti masih tidak habis fikir. "Uncle tak sangka selama enam tahun ni boleh-boleh uncle tak nampak kamu dekat rumah agam ni."

Sera yang masih tersenyum nipis membuntangkan matanya. Kedua-dua belah tangannya digenggam rapat. "Sebab saya tak tinggal dekat sini Uncle R, saya tinggal dekat apartmen sendiri. Setiap kali Hari Raya, ayah suruh saya balik ke Australia untuk temankan nenda. Sebab ayah tahu saya tak sedia lagi nak berkenalan dengan ahli keluarga saya dekat sini. Lagipun, memang saya ni kera sumbang sikit. Personaliti saya agak introvert."

Sera tergelak janggal. Very smooth Sera. "Tapi tak apa, sekarang saya dah bersedia untuk dikenali ramai macam keluarga Alroze Empire yang lain. Selepas apa yang jadi semalam, saya rasa susah nak rahsiakan kewujudan saya lagi. Lambat-laun mesti semua akan kenal saya juga."

Datuk Razaq angguk faham. "Betul tu. Tapi sayanglah kamu tak membesar bersama dua pupu kamu ni. Baru sekarang kamu berjumpa. Gara-gara Twitter, uncle dapat tahu kamu dan Chichi ni sama-sama belajar di tahun akhir, betul tak?"

Ternganga Sera. Orang tua pun layan Twitter rupanya. "Oh, ya! Saya dah lama tahu Chichi ni dua pupu saya," katanya menyebabkan Datuk Razaq tergamam. Melihat reaksi itu, kelam-kabut dia membetulkan ayatnya. "Tapi Chichi ni yang tak tahu saya ni adik Rosa sebab kami tak rapat dalam kampus. Saya kenal muka dia aje."

Dalam diam Chichi melepaskan nafas lega. Nanti kau Sera, suka hati aje buat aku saspens.

Daniel yang beriak positif mula berbasa-basi. "Apa boleh buatlah Uncle R. Sera ni dari kecil memang dijaga oleh keluarga belah mama dia, sebab tu dia rapat dengan keluarga dekat Australia aje. Apa salahnya bila dah besar ni barulah dia berkenalan dengan keluarga belah papa dia pula. Tak gitu, Sera?"

"Haah, betullah tu." Hanya itu saja yang mampu dikatakan Sera. Bimbang topik Australia dipanjanglebarkan. Dia bukannya tahu banyak fasal keluarga belah ibunya di sana. Malang buatnya apabila Datuk Qazar tiba-tiba masuk ke dalam topik perbualan mereka.

"Boleh uncle tahu lebih spesifik kamu menetap di mana di Canberra?"

"Ya ... Canberra." Sera ketawa janggal kerana terlalu kalut. Chichi dikerling untuk meminta pertolongan tetapi Chichi malah mengeluarkan telefonnya pula. Terpaksalah dia mereka cerita sekali lagi. "Rumah nenda tu dekat tepi bandar. Tapi kadang-kadang saya tinggal dekat rumah keluarga Ash." Hujung lengan baju dipintal tanpa sebab. Dia tidak tahu di mana letaknya rumah keluarga mamanya di sana. Hanya cerita Ash saja yang boleh digunakan untuk kelentong mereka.

Cik Serai Halia | Wattys2017Where stories live. Discover now