24: Cemburu

165 8 0
                                    

Hadi berteleku di birai katil sementara menunggu kepulangan orang tuanya. Sudah lama dia tidak berkunjung ke bilik tidurnya itu. Bilik itu pernah menjadi saksi kehancuran hatinya disebabkan seorang gadis yang namanya telah lama tidak meniti di bibir. Nama itu mengingatkannya kepada Sera. Banyak persoalan yang muncul setiap kali wajah Sera menyinggah. Salah satunya, mengapa Sera bekerja di restoran sekiranya dia anak orang kaya? Dia tidak habis fikir. Tetapi dia tidak mahu menghiraukannya kerana Sera bukan siapa-siapa dalam hidupnya. Sesaat kemudian, kedengaran suara orang tuanya dari tingkat bawah. Dia segera bergegas turun ke ruang tamu.

"Eh, Hadi? Kenapa datang tak beritahu ibu?" tanya Datin Helina ketika Hadi mencium tangannya.

"Singgah sekejap aje, ibu. Nak ambil buku yang tertinggal hari tu. Lepas ni Hadi keluarlah, nak lepak sekejap dengan Kila," balas Hadi acuh tak acuh lalu bersalaman dengan ayahnya pula. Teringatkan peristiwa Jumaat lalu, hatinya kembali sebal dengan mereka.

"Jangan keluar lama-lama dengan Kila. Lepak tu biarlah dekat tempat yang elok sikit. Kang tak pasal-pasal batal pula perkahwinan kamu dengan Sera. Kila pula jadi pengantin baru."

"Apa ni ibu? Bukan ibu kata ibu tak berkenan dengan perangai Sera ke hari tu? Kenapa sekarang lain pula ceritanya?" tanya Hadi dengan nada yang masih cuba dilembutkan. Harapan untuk mendengar berita baik kini punah.

Datuk Alex menjawab bagi pihak isterinya, "Nanti bila Sera dah jadi tanggungjawab Hadi, Hadi bimbinglah dia jadi isteri yang baik. Datuk Abdullah kata hari tu yang Sera dah bersetuju nak kahwin dengan Hadi. Empat bulan dari sekarang, kamu ikatlah pertunangan dengan Sera. Cukup lama kot tempoh tu untuk kamu berdua kenal hati budi masing-masing."

"Hadi cuba dulu berkenalan dengan Sera. Manalah tahu malam tu dia tak dapat kawal emosi dia aje sampai jadi macam tu," sokong ibunya. Datuk Alex mengiyakan kata-kata isterinya.

"Mana-manalah. Hadi minta diri dulu. Assalamualaikum." Hadi tersenyum tawar sebelum melangkah ke pintu utama. Wajahnya diraup hampa. Hendak kata apa lagi kalau kedua-dua keluarga sudah sepakat.

"Hati-hati lepak dengan Kila, Hadi! Jangan lupa orang ketiga tu ada!" jerit Datin Helina memberi nasihat. "Ibu tak sedia lagi nak timang cucu," gumamnya lagi sambil merenung risau figura Hadi yang menghilang di sebalik pintu.

***

Hadi tunggang motosikalnya ke gerai mamak berdekatan apartmen Kila yang sesekali menjadi tempat mereka melepak.

"Hai, Hadi!" sapa Kila dengan senyuman lebar menayangkan sebaris gigi putih.

"Kata kucing mati, tak nampak macam berkabung pun?" perli Hadi sebaik duduk.

Kila tersengih sambil mengunyah mee gorengnya. "Itu ke alasan aku tadi?"

"Kau kata Ramona kau mati petang tadi sebab tercekik Ferrero Rocher. Sebab tu kau bersedih sangat sampai nak jumpa aku malam-malam ni. Ayat kau, bukan aku." Hadi kemudiannya memesan air.

"Ish! Mana ada aku bagi alasan macam tu. Ramona aku masih gendut lagi dekat rumah." Kila menyangkal walaupun tahu dia sentiasa menjadikan Ramona sebagai mangsa alasan ajak keluar, lambat masuk kelas dan sebagainya.

"Bagitau ajelah kau nak aku belanja makan, kan senang. Kesian Ramona kau tu selalu jadi mangsa. Kata-kata tu kan satu doa," bebel Hadi seraya mengeluarkan telefonnya.

Kila berdeham setelah beberapa jenak mereka mendiamkan diri. "Er, sebenarnya aku ajak jumpa ni sebab ..." Pandangan tajam Hadi ke arahnya membuatkannya gelabah.

"Sebab apa?!" bentak Hadi sambil menepuk meja dengan sengaja.

"Sebab Naufal!" latah Kila sebelum menekup mulutnya.

Cik Serai Halia | Wattys2017Where stories live. Discover now