Gara-gara majlis malam itu, Sera kalut sepanjang pagi. Fokusnya di kelas asyik ke laut saja. Kalau tidak ke laut, pasti akan terbang ke awang-awangan. Sudahnya, perpustakaan kampus menjadi destinasinya tengahari itu. Orang lain mengeluarkan buku rujukan akademik, dia pula mengeluarkan buku novel untuk membawanya ke alam lain. Kalau diikutkan perasaannya yang terlalu berfikir, boleh masuk rumah sakit jiwa jadinya! Kerja sambilannya juga terpaksa dilupakan. Risau sekiranya badan terlebih bekerja. Siapa tahu dia perlukan banyak tenaga malam nanti. Dia tahu kalau berhadapan dengan orang tuanya, minum air isotonik sebaldi pun belum tentu akan menang.
Khusyuk Sera membaca sehinggakan jarum jam yang menghampiri pukul 4:30 minit petang tidak disedarinya. Telefon yang bergetar memberhentikan bacaannya. "Hello ...," jawabnya separuh berbisik.
"Dah hampir pukul 5, sistur. Jangan lupa pergi hotel. Faham?" arah Rosa.
Sera layang bebola mata ke atas. Faham benar dengan penyakit kakaknya yang sentiasa tepati masa. Skrin telefon ditekan berkali-kali untuk menamatkan panggilan. Teg nama, dompet dan kunci kereta diletakkan di atas buku novel sebelum dibawa menuju ke pintu utama perpustakaan. Elok dia berlenggang kangkung, tiba-tiba bahu kanannya dirempuh dari belakang. Hampir dia jatuh mencium lantai. Nasib baik dia berjaya mengimbangkan tubuhnya. Kalau tidak, pasti orang tuanya terkejut melihat Angelina Jolie datang ke majlis mereka.
"Kejar apa sampai langgar aku ni? Ini perpustakaan kot, bukannya padang bola!" tanpa segan-silu Sera melolong. Menggelegak darahnya melihat barang-barangnya yang bertaburan. Lengan kanan yang terasa sakit dielus perlahan. Kelibat pelaku di sisinya langsung tidak diendahkan. Matanya menyorot ke arah buku novel yang tercampak jauh. Dompetnya pula terbang entah ke mana.
"Maaf, I tak sengaja. I tengah cari orang tadi, silap I sebab tak nampak you," kata lelaki itu sambil cuba mencari apa yang dicari Sera sampai terbongkok-bongkok.
"Memang silap kau! Buat susah orang aje!" marah Sera lagi sambil memungut dompetnya. Kali ini kunci keretanya lagi yang dicari di celahan pasu bunga.
"You ... ini perpustakaan, bukannya tempat karaoke untuk you melalak. Tengok tu, pak cik perpustakaan dah jeling-jeling. You cari apa tu? Biar I tolong."
Bertambah-tambah sakit hati Sera apabila lelaki itu memulangkan paku buah keras. Segera dia berdiri tegak. "Kau diam sikit boleh tak?" Dia terlopong tatkala melihat gerangan lelaki itu. Daniel Amri! Hatinya mula berbunga. Benar kata orang tentang jodoh di perpustakaan. Agak-agaknya dia telah bertemu dengan jodohnya kot. Tetapi angan-angannya tinggal kenangan apabila wajah Chichi membayangi wajah Daniel.
"You tak apa-apa ke?" Daniel jadi risau. Pelik dia melihat perangai Sera. Tadi menyinga, sekarang menyengih. Kuat sangatkah impak pelanggaran tadi sehingga otak wanita di hadapannya itu senget?
Sera tersengih janggal. "Oh, I okey aje. You buat apa dekat sini? Bukannya you dah grad ke?"
"Macam mana you tahu I dah grad?" Daniel menyoal kembali. Wajah Sera diamati lama. "You Serai Halia kan?" Dia mula tertawa lega.
"Seraliyah sebenarnya, panggil Sera aje." Sera senyum tawar. Dalam hatinya sudah membayangkan wajah Chichi yang bakal ditikamnya menggunakan kayu penyepit. Suka sangat dia menjaja nama Serai Halia itu.
"Oh, Seraliyah rupanya. Cantik nama you tu. You belajar dekat sini rupanya."
Sera angguk.
"Patutlah kenal I. I kan alumni terkenal dekat sini. Mestilah semua orang stalk I," balas Daniel sekadar berbasa-basi. Pandangan matanya melilau ke serata perpustakaan.
Dahi Sera mula berkerut. Bila masa dia stalk Daniel? Crush sekejap saja dulu, tidak sampai ke tahap stalker tegar. Apa yang dia tahu pun hanyalah nama Daniel Amri. Boleh tahan angkat tepung naik sendiri mamat ni.
YOU ARE READING
Cik Serai Halia | Wattys2017
Romance" Tiada fairytale kisah cinta kita Yang ada hanya hell " °°°°° Cik Serai Halia ... gadis yang hidup dalam kegelapan dan sering membuat keputusan untuk lari. Lari menjadi mustahil baginya apabila identiti diri sebagai anak bongsu pemilik perniagaan t...