20: Sebab

1.8K 108 8
                                    

Sera kalih pandangan ke pintu pantri. Kebiasaannya lelaki itu memakai jaket kulit, tetapi malam ini baju formal yang tersarung di tubuh sasanya.

"Naufal?"

"Kenapa duduk dekat ceruk tu dalam gelap? Lampu kan ada, meja kerusi pun ada." Naufal mengerutkan dahinya.

Sera telan sandwic yang tersangkut di tekak. Debar dalam dada semakin kuat. Anak matanya melilau tidak tentu arah. Naufal bakal tahu rahsianya. Kalau Naufal memberitahu Hadi dan kroni-kroninya, pasti dia akan ditertawakan. Apa pula yang bakal dilakukan papanya sekiranya ada orang lain yang tahu tentang bangkai yang disoroknya?

Naufal mematikan lampu siling dan lampu kecil di atas meja dihidupkan dengan cahaya paling malap. Dia kemudiannya melabuhkan punggung di sisi Sera.

"Kau buat apa ni?" Sera mengengsot jauh dari Naufal. Sempat lagi dia menarik teko bersamanya.

"Tolong kau kot. Kau nampak macam ketakutan."

"Buat apa kau nak tolong aku?" Masih ada keraguan dalam nada Sera. Walaupun Naufal pernah menyelamatkannya dulu, dia masih tidak mengenali Naufal. Lebih-lebih lagi Naufal berkawan dengan Hadi si mulut jahanam itu. Siapa tahu Naufal juga satu spesies mulut longkang hati busuk seperti Hadi, sia-sia saja kepercayaannya nanti.

"Tanggungjawab?" balas Naufal menambah kerutan dahi Sera.

"Tanggungjawab yang mana satu pula ni? Setahu aku, kau bukannya papa aku. Aku tak kenal kau pun tapi kau dah selamatkan aku buat kali ketiga." Tidak pernah ada seorang pun yang ingin menolong Sera selama ini. Kenapa Naufal?

"Tak usah perasanlah. Aku sekadar jalankan tanggungjawab syarikat keluarga aku, Khaizan Guards aje. Pernah dengar tak?"

Sera menggeleng.

"Dengar nama saja dah tahulah Cik Serai Halia oi. Syarikat keluarga aku tu mengendalikan perkhidmatan sekuriti. Pengawal peribadi dan yang sewaktu dengannya. Takkan masih tak dapat?"

"Okey, tapi apa kaitannya dengan selamatkan aku? Aku tak pernah upah kau untuk jaga aku. Kalau nak kata papa dan mama yang upah kau untuk selamatkan aku ...," Sera terdiam sesaat sebelum ketawa sinis. "Sampai kiamat pun mereka takkan pernah terfikir nak buat benda tu," gumamnya perlahan. Fikiran menerawang ke wajah bengis kedua orang tuanya sebelum kembali memandang wajah matang Naufal dalam kesamaran lampu. Dia yakin Naufal jauh lebih berusia dari dia dan Hadi.

"Mungkin bagi orang lain, mereka bekerja hanya untuk makan gaji. Tapi aku membesar dengan melihat sendiri perniagaan keluarga aku membangun. Visi dan misi syarikat dah tersemat dalam hati aku. Semua pekerja kami sangat ditekankan tentang niat mereka untuk bekerja. Tapi masih ramai juga yang bekerja dengan niat yang tak betul." Satu keluhan panjang dilepaskan Naufal. "Tanggungjawab kami besar sebab kerja kami melibatkan nyawa orang. Sebab tu aku sentiasa cuba untuk selamatkan orang-orang di sekeliling aku semampu dan seikhlas mungkin."

"Maksud kau, kau selamatkan aku sebab kau rasa kau patut lakukannya, begitu?" Sera mula faham apa yang cuba dikatakan Naufal mengenai tanggungjawab.

"Iya kot. Aku selamatkan kau dari kemalangan tu sebab aku percaya ALLAH nak aku selamatkan kau. Tapi untuk semalam dan yang seterusnya, aku ada sebab yang tersendiri untuk selamatkan kau," jawab Naufal sambil tersengih lucu melihat Sera yang masih ternantikan ayat seterusnya.

"Kau tak nak beritahu aku 'sebab' tu?" tebak Sera.

"Buat masa sekarang, tak penting untuk kau tahu pun. Banyak lagi hal lain yang kau kena urus. Sebagai contoh, perkahwinan kau dengan Hadi," balas Naufal selamba tanpa menghiraukan Sera yang sudah monyok.

"Boleh tak kau beritahu aku 'sebab' tu selepas aku dah selesaikan masalah perkahwinan aku yang takkan berlangsung tu?" Gigih Sera meminta janji Naufal.

"Mungkin. Bergantung pada keadaan. Aku tak janji." Naufal tersengih senget.

"Fine ... bagus sangatlah hidup aku ni. Semua benda aku tak tahu."

"Jangan risaulah, benda tu tak penting buat masa sekarang. Tapi kalau aku boleh buat kau gembira dengan memberitahu kau 'sebab' tu, aku janji suatu hari nanti aku akan beritahu."

Sera akhirnya mampu tersenyum nipis walaupun masih tertanya-tanya.

"Kenapa kau cakap aku selamatkan kau buat kali ketiga tadi?"

"Oh, pasal tu." Sera kembali berekspresi kosong. Perutnya yang berkeroncong diusap perlahan. "Kau tak sepatutnya nampak aku macam ni," gumamnya lalu memasukkan baki sandwic ke dalam mulut. Lantai direnung kosong sambil mulut mengunyah perlahan. Apabila rengkung terasa kering, teko diangkat ke bibir.

"Kenapa pula?"

"Kau tahu tak? Aku tak pernah dimanjakan oleh orang tua aku." Suara Hadi yang mengatakan dirinya anak manja mula terngiang dalam ingatan. "Seronok kan bila orang tua kita hadiahkan benda yang kita impikan? Tapi aku tak pernah rasa semua tu. Hakikatnya, aku hidup seperti sampah selama ni. Aku hidup menumpang. Seperti virus yang tak sabar nak dihapuskan dari rumah ni."

Naufal setia mendengar luahan Sera yang kini meletakkan dagu di atas kedua-dua lututnya.

"Aku tak pernah makan makanan yang sempurna selama aku tinggal dalam rumah ni. Sejak aku mula ingat waktu kecil dulu, setiap hari aku hanya makan sisa makanan." Sera mencengkam kukunya pada betis yang terdedah. Dia tidak pernah menceritakan sejarah silamnya itu kepada sesiapapun. Mendedahkannya kepada Naufal terasa salah, tetapi itulah kebenarannya. "Hanya sesekali aku makan makanan yang masih segar. Itu pun atas belas kasihan Mak Ani yang curi-curi berikan aku roti. " Hatinya sedikit lapang setelah melepaskan sedikit-sebanyak kisah yang terbuku lama. "Anggap saja kau tak nampak keadaan aku sekarang ni. Kau tak jaja cerita ni pun dah kira menolong aku dah. Kalau ada orang lain yang tahu pasal ni, aku pun tak tahu apa nasib aku."

"Aku boleh simpan rahsia. Aku taklah sekejam Naufal yang kau kenal sebelum ni."

"Janji tau? Sekarang kau dah tahu aku dari kecil lagi tinggal dekat rumah ni dan dilayan macam pengemis."

"Aku janji." Naufal merenung Sera yang kini mengangkat semula teko yang hampir kosong ke bibir. Ada riak simpati di wajahnya. Baru kini dia sedar. Dia tidak kenal Sera. Ironinya, Sera juga tidak kenal Sera. Satu pukulan yang menyakitkan tiba-tiba hinggap di kepalanya. "Aw! Kau apahal sekeh kepala aku?" pekiknya kepada Sera.

"Denda untuk kau sebab bazirkan aiskrim atas bumbung kereta aku semata-mata nak ikut prank bodoh Hadi tu," balas Sera yang menjongketkan kening.

"Jadi, kenapa?" bidas Naufal sambil mengusap kepalanya. Satu lagi pukulan kuat hinggap di dahinya. "Aw!"

"Itu untuk penat lelah aku cari kau selama ni. Kenapa kau tinggalkan aku selepas kau selamatkan aku hari tu?" Sera tersenyum senang. Dia belum sempat lagi mengucapkan terima kasih kepada Naufal.

"Oh, itu .... Aku tak tinggalkan kau selepas kemalangan tu," gumam Naufal sambil mengelus dahinya. "Kau tak ada kemusykilan ke tentang macam mana kau diselamatkan dari kemalangan tu?"

Soalan Naufal membuatkan Sera mengingati semula hari di mana dia tersedar setelah koma selama seminggu. Di atas sebuah katil yang asing dan ditemani seorang lelaki dan seorang wanita yang bukanlah memiliki profesion sebagai pakar bedah trauma. Gara-gara ingin segera lari dari tragedi itu, dia memutuskan untuk tidak mengambil tahu langsung tentang bagaimana dia diselamatkan dan meneruskan hidup seperti biasa. "Macam mana ..."

Klik! Lampu siling menerangi ruang dapur sekali lagi.

***

Cik Serai Halia telah diterbitkan dalam bentuk e-book. Sekiranya berminat untuk mendapatkan e-book, sila komen atau hantarkan mesej kepada penulis di ruangan mesej.

Cik Serai Halia | Wattys2017Where stories live. Discover now