17: Anak

441 43 1
                                    

Sera baring menghadap siling. Kejadian semalam masih segar dalam benak. Semalaman dia tidak dapat melelapkan mata dengan tenang. Mungkin juga kerana dia berasa janggal hendak tidur semula di dalam bilik yang telah lama ditinggalkan. Puas menghadap siling, dia melangkah ke meja belajar. Alat penunu dikeluarkan dari laci lalu sumbu lilin aromaterapi yang terletak di sisi katil ditunu. Dia perlukan ketenangan duniawi. Punggung dihenyakkan di birai katil lalu dia berteleku merenung lilin yang menerangi bilik yang tadinya suram.

Inilah bilik kurungannya selama dia tinggal di rumah agam Alroze Empire. Bilik cantik yang menyimpan 1001 kisah derita yang ingin dilupakan. Dinding berwarna hijau mint dan kesemua perabot berwarna coklat gelap. Cadar, selimut dan bantal berwarna merah jambu terang. Puas termenung, pandangannya jatuh ke atas beg clutches jenama Chanel milik Chichi yang diletakkan berdekatan lilin. Beg dibuka dan sekeping kad dikeluarkan.

"Ini kad saya." Subra menghulurkan sekeping kad. "Saya tak boleh ambil risiko ..." Ayatnya terhenti di situ saja. Pandangan dilontar semula ke luar balkoni lalu rambutnya yang kian menipis dilurut perlahan. Wajahnya yang tenang kini berubah gusar. Beberapa saat berlalu diisi keheningan malam dan sayup-sayup bunyi instrumen piano dari ruang legar.

"Uncle?" ujar Sera cuba mendapatkan semula perhatian Subra.

"Maaf, saya tak boleh jawab soalan cik di sini. Bahaya kalau ada yang curi dengar. Bila-bila masa cik inginkan jawapan, cik telefon saya. Nanti saya buat temujanji dengan cik di tempat yang lebih selamat. Boleh?"

Sera mengiyakan saja sebelum Arsha datang mengganggu perbualan mereka. Kad itu disimpan semula. Hatinya terdetik hendak mendail. Namun setelah ditimbang tara, dia memutuskan saat itu bukanlah masa yang sesuai untuk memikirkan hal yang mungkin tiada kaitan dengannya. Wajah Naufal terlintas di benak. Setelah Naufal menyelamatkannya semalam, Arsha tergesa-gesa membawanya masuk ke dalam rumah. Lalu, dia tidak sempat menyampaikan kata terima kasih. Sejujurnya, banyak persoalan yang ingin ditanya kepada Naufal.

Sera merengus tatkala wajah Hadi menyinggah di benak. Entah kenapa saat ini dia teringin hendak menghempuk kepala Hadi sama banyak dengan hinaan yang dilemparkan kepadanya semalam. Semogalah kedua-dua pihak membatalkan rencana perkahwinan yang tidak masuk akal itu. Dia dapat melihat tidak akan ada masjid yang bakal terbina.

Kakinya segera dinaikkan untuk duduk bersila. Hari ini, dia hanya ingin terperuk dalam bilik. Dia belum bersedia untuk tahu apa yang berlaku di luar sana. Dia yakin media sosial dan saluran televisyen sudah digembar-gemburkan dengan berita hangat tentang dirinya. Hampir dia menutup beg clutches, sempat anak matanya menangkap bayangan kad pengenalannya.

Seraliyah Noor Alroze binti Abdullah. Binti Abdullah dan bukannya Abdullah Noor Alroze. Perbezaan kecil tetapi memiliki makna yang besar. Mulutnya sudah berbuih bertanya kepada Rosa tentang namanya. Saban kali, jawapan yang sama diterima. Kesilapan Jabatan Pendaftaran. Awalnya, dia menerima alasan itu. Namun semakin lama dia dapat menebak layanan buruk yang diterima daripada orang tuanya mungkin disebabkan nama yang dipegangnya itu.

Pintu bilik diketuk dari luar. Tanpa perlu Sera membuka pintu, Rosa sudah terjengul di pintu bilik. Beg clutches diletakkan semula ke atas meja. Katil di sisinya terbenam apabila Rosa melabuhkan duduk. Lama mereka melayan perasaan dalam kesunyian yang menenangkan.

"Aku minta maaf," serentak mereka berkata.

Mereka berpandangan sesaat sebelum Sera membaringkan tubuhnya. Dia rasa bersalah. Selama ini, dia bersyukur Rosa ada dalam hidupnya. Rosa seorang saja yang sentiasa bersabar melayan kerenahnya yang menyebalkan. Dia sangat manja dengan Rosa. Sehinggakan setiap kali Rosa balik bercuti setelah berbulan-bulan menyambung pengajian di Australia, dia akan merajuk sebagai tanda protes.

Cik Serai Halia | Wattys2017Where stories live. Discover now