13: Janji

423 38 5
                                    

Hadi menonong ke laman belakang rumah agam. Sebuah kolam renang bersaiz sederhana besar terletak di bahagian tengah. Pondok-pondok kecil yang mengelilingi kolam telah dipenuhi tetamu. Kolam renang itu mengingatkannya akan kisah perit perpisahan bersama seorang gadis.

"Abang ...." Suara lembut menyapa pelupuk telinga Hadi.

Hadi melarikan anak matanya dari air kolam yang jernih dan keemasan dek pantulan mentari. Wajah manis gadis itu ditoleh. Dia kelihatan berseri memakai jubah putih dihiasi butiran manik berwarna biru untuk majlis makan malam yang bertemakan Arabian Night.

"Hai, puteri. Rindunya nak jumpa awak." Gembira sungguh Hadi melihat jantung hatinya itu setelah terpaksa berpisah lama. Cahaya mentari yang menghampiri senja memancar ke wajah gadis itu yang tersenyum menampakkan lekukan lesung pipit di pipi kanan. Senyuman yang dirindui itu dibalas. Tatkala gadis itu tunduk merenung lantai, dia tahu ada sesuatu yang tidak kena.

"Awak, kenapa ni? Tak suka ke jumpa abang?" Tatkala gadis itu mendongak, Hadi merenung ke dalam anak matanya yang mula berkaca.

"Bukan macam tu. Saya gembira dapat jumpa abang."

Hadi kembali lega. "Gembira sampai nangis ke?" Semakin lama direnungnya wajah gadis itu, semakin dia perasan akan kecengkungan wajah itu.

"Abang ingat lagi tak apa yang saya cakap dekat abang kali terakhir kita berjumpa hari tu?" tanya gadis itu sayu.

"Abang ingat. Awak kata kita akan jumpa selepas awak selesai SPM kan? Abang ingat yang itu."

"Bukan yang tu abang. Saya ada beritahu abang kan yang selepas ni saya akan ..."

"Abang ingat!" Hadi memotong ayat gadis itu. Bibir dipaksa untuk menyungging senyum yang terasa sukar hendak dibentuk. "Awak kata kita akan jumpa selepas awak habis SPM. Sekarang kita dah jumpa semula kan?"

"Abang, bukan itu maksud saya." Gadis itu kembali menunduk.

Hadi tahan sebak di dada. "Lepas ni, bolehlah kita keluar sama-sama macam dulu. Sempat lagi kita lepak sebelum awak sambung belajar. Awak sambung belajar dekat Malaysia aje, kan? Awak dah janji hari tu."

Gadis itu memandang sayu anak mata Hadi. Butiran jernih mula menghiasi pelupuk matanya. "Abang ..."

Hadi tidak bersedia mendengar apa yang ingin dikatakan gadis itu. Dia tidak ingin mendengarnya! "Awak tak sihat ke? Abang hantar awak pergi klinik, nak?" Tergopoh-gapah kunci kereta dikeluarkan. Lengan gadis itu ditarik menuju menuju ke pintu keluar. "Jom! Abang dah dapat kereta baru tau ..."

"Berhenti dulu!" Gadis itu menahan langkah dan melepaskan genggaman Hadi. "Tolonglah ... abang tahu apa yang saya nak cakap, kan? Ini adalah pertemuan terakhir kita. Saya perlu buat persiapan untuk ke Switzerland."

"Apa awak cakap ni, puteri?" Hadi mendongak ke langit senja. Tubuhnya dibiarkan membelakangi gadis itu. Mata yang berair digosok perlahan.

"Abang tahu apa yang saya cakap ni. Tak usah nak berdalih, abang."

"Abang tak faham ...." Hadi geleng kepala sambil tertawa sinis.

"Saya harap abang boleh lepaskan saya. Jika ini yang telah ditakdirkan ALLAH, saya bukanlah kebahagiaan abang. Saya akan pergi jauh selepas ni. Saya mohon, buang perasaan abang untuk saya. Kalau saya ...," Gadis itu melepas keluhan berat. "Kalau saya boleh lepaskan abang, saya yakin abang boleh lakukan benda yang sama. Maaf sebab saya pernah berjanji untuk kekal di Malaysia, tapi saya tak boleh ubah keputusan papa. Terima kasih sebab jaga saya selama ni. Saya mungkin takkan jumpa abang lagi selepas ni. Tapi kalau kita ditakdirkan untuk bertemu semula, dengan izin ALLAH, saya harap kita sudah bertemu dengan kebahagiaan masing-masing. Selamat tinggal abang. Jaga diri baik-baik." Gadis itu mengucapkan kata terakhir sebelum berlalu pergi.

Cik Serai Halia | Wattys2017Where stories live. Discover now