Kata-kata Datuk Abdullah membuatkan Sera terlongo. Airmatanya berlumba-lumba jatuh ke pipi. Dia tidak ingin dipergunakan seperti Rosa dan Ben. "Sera tak nak kahwin dengan Hadi! Sampai mati pun Sera takkan kahwin dengan dia. Papa tak boleh paksa Sera macam ni. Sampai hati papa," rintihnya sambil mengelap airmata. Tiada guna dia mempersoalkan hati papanya yang sememangnya tidak pernah memiliki hati perut selama ini. "Kenapa papa beria sangat nak Sera kahwin dengan dia?"
Soalan Sera memancing perhatian Datin Anita. "Kau tanya kenapa? Sebab nak halau kau dari hidup kamilah. Jelas-jelas kau dipaksa kahwin supaya kau tak ada kaitan dengan kami lagi lepas ni. Kami lepaskan kau dan kau akan tinggal dengan Hadi. Aku ni sebenarnya dah lama sangat nak singkirkan ..."
"Ita!" bentak Datuk Abdullah sekali lagi dengan nada geram menyebabkan isterinya segera mengunci mulut.
Sera mengetap rahangnya. "Mama lupa ke? Sera memang tak pernah ada dalam hidup mama dan papa. Pernah tak mama layan Sera seperti anak mama sendiri? Tak pernah kan?" Dia lantas berdiri dari sofa. "Jadi buat apa nak jodohkan Sera dengan Hadi semata-mata nak halau Sera dari hidup mama dan papa? Sera memang tinggal sendiri aje selama enam tahun ni. Sera takkan kembali ke sini lagi kalau itu buat mama gembira."
Airmata yang meleret di pipi disekah kasar. "Memang selama ni Seraliyah Noor Alroze tak pernah wujud dalam Alroze Empire kan? Kenapa mama dan papa tak pernah nak sayang Sera sepertimana mama dan papa sayangkan Rosa? Apa salah Sera? Susah sangat ke nak sayang Sera seperti anak sendiri?" Suara Sera semakin sayu di hujung ayat. Namun masih tidak ada riak simpati di wajah orang tuanya.
"Anak sendiri?" tanya Datin Anita lalu merapatkan jarak mereka. "Anak sendiri kau kata? Aku tak ada anak macam kau ni," desisnya seraya menolak bahu Sera. "Selama ni pun hampir bernanah telinga aku dengar kau panggil aku mama, tahu tak?"
"Kenapa? Sebab aku anak luar nikah ke?" Sera akhirnya melontarkan soalan keramat itu. Hujung bibirnya mengukir senyuman kecil. Umpannya hampir mengena. Bukan mereka saja yang boleh memanipulasikan keadaan. Dia juga boleh memanipulasikan baran mamanya untuk mengetahui kebenaran. Datuk Abdullah yang tadinya hanya memandang bosan pergaduhan mereka, kini terkedu. Mencerun pandangannya ke arah mereka.
Datin Anita bertepuk tangan dengan senang hati. Hilaiannya semakin kuat. "Tahniah! Tahniah! Lamanya masa kau ambil untuk sedar perkara ni. Terimalah hakikatnya, aku bukan mama kau! Tak perlu panggil aku mama lagi. Naik muak aku berlakon jadi mama kau." Datin Anita mengherotkan bibir tanda jijik. Datuk Abdullah sudah mengurut pelipisnya.
"Aku dah agak." Sera tersenyum menang. Akhirnya dia berjaya mendengar sendiri pengakuannya dari mulut Datin Anita. Kebenaran itu tidaklah terlalu pahit untuk ditelan. "Kalau macam tu siapa ibu aku yang sebenarnya?"
"Pergi mati dengan ibu kau," balas Datin Anita dengan suara perlahan dan dingin. Rahangnya diketap beberapa kali. Riaknya mencerminkan kebencian yang amat.
"Papa, siapa ibu Sera?" tanya Sera kepada Datuk Abdullah yang sedari tadi hanya mendiamkan diri.
"Papa?" tanya Datin Anita dengan sinis. "Kau panggil suami aku papa? Jangan perasanlah perempuan! Kau hanyalah anak pungut. Sedar diri tu sikit!" tengkingnya lalu mencengkam rambut Sera.
Sera menyeringai kesakitan. Kudrat yang masih ada digunakan untuk menepis tangan Datin Anita dari terus menyakitinya. "Jangan berani sentuh aku betina tak guna! Kalau betul aku anak pungut, aku akan cari tahu siapa ibubapa aku yang sebenar!" jeritnya sekuat hatinya. Dia tidak hirau sekiranya seisi rumah terdengar jeritannya. Datin Anita kini benar-benar tercabar. Wajahnya mula membengis. Sera jadi takut, lalu menapak selangkah ke belakang. Kali ini dia benar-benar ingin lari. Dua insan di hadapannya adalah manusia yang paling sakit pernah ditemuinya.
YOU ARE READING
Cik Serai Halia | Wattys2017
Romantik" Tiada fairytale kisah cinta kita Yang ada hanya hell " °°°°° Cik Serai Halia ... gadis yang hidup dalam kegelapan dan sering membuat keputusan untuk lari. Lari menjadi mustahil baginya apabila identiti diri sebagai anak bongsu pemilik perniagaan t...