Sekarang ...
Rokok diangkat ke celah bibir yang tercalit gincu merah pekat menyala. Rokok adalah peneman setianya di saat keresahan. Sedut dan hembus. Tenang rasanya setiap kali asap pembunuh itu memasuki rongga paru-paru. Ketenangan sementara, bukan hakiki. Habis sebatang rokok, maka habislah ketenangan itu. Sesaat kemudian batuk kecil dilepaskannya. Paru-paru sendiri kenal keasingan asap yang memenuhi dada. Pandangan dibuang ke luar balkoni apartmen murahannya. Dapat dilihat kesibukan bandar Kuala Lumpur di pagi yang tidak seberapa indah buatnya. Hujan renyai sebegitu lebih elok mengulit mimpi di bawah selimut.
Kalau bukan kerana kakaknya ingin berkunjung, dia tidak akan berkeluh-kesah seperti itu. Dia tahu kunjungan kakaknya membawa agenda. Jam dinding dikerling. Pukul 8:57 minit pagi. Tiga minit sebelum kakaknya tiba. Cawan berisi kopi panas dihirup sambil memerhati kereta yang tersekat dalam kesesakan lalu lintas. Alangkah seronok sekiranya kakaknya tersekat dalam kesesakan itu.
Ding! Dong! Ah, tekaannya melesat. Tepat seperti kebiasaannya. Segera kaki dihayun menuju ke pintu hadapan. Tombol pintu dipulas dan pintu dibuka luas. Tanpa melihat gerangan tetamu, dia menapak semula ke sofa berwarna merah hati di ruang tamu dan mencapai telefon pintarnya. "Kunci balik," arahnya tanpa menyembunyikan nada kurang senang.
"Assalamualaikum, adik kesayanganku Cik Serai Halia! Apa khabar?" Kakaknya melangkah masuk dengan ceria.
"Waalaikumussalam Rosalinda, sekali lagi aku dengar kau panggil nama tu, mohon berambus ya. Aku tak nak dengar apa yang kau nak cakap." Perlahan tetapi menyengat ugutannya. Pandangannya yang menala pada skrin telefon diangkat dan bibirnya diherotkan tatkala menyedari kakaknya tidak datang berseorangan. Aku dah agak.
"Urgh, baiklah Seraliyah! Geramnya aku dengan budak ni," rengus Rosa sebelum melabuhkan duduk di sofa bertentangan adiknya.
"Hai, Sera," sapa Benjamin George. Anak sulung pemilik B-Tech Industries, Datuk Robert George. Suami kakaknya yang baru dinikahi tiga bulan lalu.
Sera tidak menghadiri majlis pernikahan mereka yang berlangsung di rumah agam Alroze Empire milik keluarganya. Dia juga tidaklah kempunan sekiranya tidak kembali ke rumah agam itu. Kepalanya dianggukkan ke arah Ben sebagai tanda hormat. Ben seorang yang kacak dan merupakan spesimen yang cukup sempurna.
"Kau nak apa Rosa? Tiba-tiba aje datang ke sini." Sera tidak berbasa-basi. Sudah lebih tiga bulan mereka tidak bersua muka.
"Jumaat ni, papa nak kau balik rumah untuk makan malam," kata Rosa sambil menggosok-gosok perutnya. Reaksi cuak gamaknya.
"Biar betul papa nak aku balik rumah untuk makan malam? Dessert dia apa? Aku ke yang akan jadi dessert nanti?" tanya Sera penuh sarkastik. Dia tahu pasti akan ada agenda lain. Bukan setakat makan malam saja, dirinya sendiri mungkin turut dibaham.
Ben pandang adik-beradik itu silih berganti dengan riak bingung.
"Adikku sayang, datanglah kalau nak tahu sama ada kau akan jadi dessert ke tak," balas Rosa dengan sarkastik juga. Senyum di bibirnya pudar apabila Sera tidak mengendahkannya. "Yalah, yalah. Aku pun tak tahu sangat agenda makan malam tu. Papa suruh aku beritahu kau untuk datang aje." Rosa tidak menatap anak mata Sera dan lebih tertarik untuk menilik rambutnya.
Sera tahu, itu tabiat kakaknya apabila berbohong. "Rosa, kau masih tak kenal aku ke?" keluhnya. "Kau tahu aku susah payah lari ..." Ayatnya putus apabila teringatkan kewujudan Ben yang mungkin tidak tahu apa-apa tentang kisah lalunya. "Tak kisahlah, aku takkan kembali ke rumah agam tu. Now, if you don't mind ...." Dia lalu berdiri ingin menghalau mereka keluar.
YOU ARE READING
Cik Serai Halia | Wattys2017
Romance" Tiada fairytale kisah cinta kita Yang ada hanya hell " °°°°° Cik Serai Halia ... gadis yang hidup dalam kegelapan dan sering membuat keputusan untuk lari. Lari menjadi mustahil baginya apabila identiti diri sebagai anak bongsu pemilik perniagaan t...