22: Interogasi

125 7 0
                                    

Sera menggenggam erat kedua belah tangannya yang diletakkan di atas riba. Matanya hanya tertumpu pada karpet lantai yang berwarna biru gelap. Jantungnya berdegup kencang. Separuh kerana rasa marah dirinya diperbodohkan, separuh lagi kerana rasa gentar hendak berhadapan orang tuanya.

"Sekarang kau dah semakin berani kan?" Keras nada suara Datin Anita.

Sera diam. Ruang udaranya seperti tersekat. Seram sejuk rasanya mendengar suara ibunya.

"Kau diam aje kenapa? Hei, anak kurang ajar! Pandang aku bila aku bercakap dengan kau," bentak Datin Anita.

Segera Sera mendongak. Matanya dihalakan tepat ke anak mata Datin Anita. Ditahan airmata kemarahan dan ketakutan yang mula mengugut untuk mengalir di pelupuk matanya.

"Pandang aku bila aku bercakap dengan kau! Anak tak guna!" Pang! Satu tamparan kemas dihadiahkan ke pipi Sera yang berusia 8 tahun.

"Biadap bukan main lagi kau semalam ya? Tengoklah sekarang kau nak melawan macam mana." Terserlah keangkuhan Datin Anita di sebalik senyum sinisnya.

Sera turut mengukir senyuman sinis di hujung bibir.

"Kau sengih kenapa? Lucu ke benda ni? Habis semua stesen TV tayang perangai kau yang tak semenggah semalam. Kau buat kami malu, tahu tak? Bukan nama kau saja yang terjejas, nama kami pun turut terpalit dengan najis kau ni. Hish! Tak sabar aku nak ajar kau!" Datin Anita berdiri lantas menaikkan lengan bajunya, mujur Datuk Abdullah sempat menahan isterinya.

"Abang belum bincang lagi dengan Sera, awak dah mulakan drama awak. Bersabar sikit, boleh tak Ita?" tegur Datuk Abdullah.

Kalau diikutkan hati, ingin saja Sera menguap kebosanan di hadapan mereka. Sudah cukup sandiwara yang disaksikannya setakat ini. Malu? Tolonglah. Berpesta tujuh hari tujuh malam kot orang tuanya sekarang ini.

"Sera senyum, salah. Sera nangis, pun salah. Semuanya salah di mata mama. Kalau Sera diam, mama kata kurang ajar pula. Tak fahamlah," bebel Sera selamba. Kakinya sudah disilangkan. Tangan juga disilangkan lagak seorang bos.

"Ish, budak ni! Geram aku! Sikit-sikit nangis! Kau diam, boleh tak? Pening kepala aku ni!" jerit Datin Anita sambil memulas berkali-kali telinga Sera yang berusia enam tahun.

"Abang tengok tu! Sekarang depan-depan kita pun dia dah pandai kurang ajar dah. Lepas tangan Ita ni bang! Biar Ita ajar budak ni puas-puas!" Datin Anita meronta ingin dilepaskan.

Datuk Abdullah menguatkan genggamannya pada lengan isterinya. "Ita! Cuba duduk elok-elok dulu, boleh tak? Tak sempat abang berbincang dengan Sera, masuk ICU pula budak tu karang."

Datin Anita mendengus kasar seraya duduk semula ke atas sofa. Kembang kempis hidungnya menahan marah. "Kau jangan uji kesabaran aku Sera. Sekali lagi kau melawan, merana hidup kau. Baru enam tahun aku tak sentuh kau, takkan kau dah lupa apa yang aku mampu buat?"

Serta-merta sengihan Sera hilang. Perutnya terasa kecut. Dia tahu dia selalu kalah dengan ibunya. Apalah sangat kudrat tubuh kecilnya jika dibandingkan dengan tubuh tinggi lampai ibunya. Baru dijentik sedikit, sudah terpelanting berbatu jauh dibuatnya. Apatah lagi sekarang ini dia baru sahaja sembuh dari kemalangan. Sekiranya Datin Anita memulakan babak MMA, hancur berkecailah alamatnya.

Datuk Abdullah berdeham. Tubuhnya digendengkan ke hadapan. "Sera, papa nak bincang pasal apa yang dah berlaku semalam."

Sera diam menanti ayat seterusnya.

"Dah cukup papa dan mama pelihara Sera dari kecil, tapi Sera lari pula dari rumah dan pilih untuk hidup melarat. Jadi papa biarkan Sera hidup sendiri asalkan Sera tak bocorkan apa-apa rahsia yang tak sepatutnya diketahui orang lain. Tapi bila Sera balik ke rumah ni, perangai biadap pula yang Sera tunjuk. Dari kecil sampai besar tak habis-habis menyusahkan orang. Semua ahli keluarga yang lain berusaha naikkan nama Alroze Empire, Sera pula buat apa selama ni? Papa benar-benar kecewa," ceramah Datuk Abdullah dengan nada keras berserta lakonan kelas tinggi Leonardo DiCaprio.

Kecewa? Pergi mampus dengan kecewa. Kalau dulu, pasti Sera sudah terduduk di atas lantai menahan tangis kerana ketakutan. Tetapi kini dia masih mampu tersenyum sinis menahan amarah kerana dirinya dianggap seperti permainan oleh orang tuanya.

Datuk Abdullah masih mencerlung. Rahangnya diketap beberapa kali. "Papa malu berdepan Datuk Alex dan Datin Helina siang tadi, tahu tak? Mana nak letak muka papa ni? Mereka tak berkenan dengan perangai Sera semalam."

Puas melihat lakonan papanya, akhirnya Sera membuka mulut, "Lakonan papa tu dah boleh kalahkan lakonan Brad Pitt. Kalau Sera tak tahu hal sebenar, dari tadi lagi Sera dah tertipu dengan lakonan mama dan papa. Tapi sayang, Sera tahu mama dan papa dah rancang dengan teliti untuk perangkap Sera semalam. Sera berjaya malukan diri sendiri. Itu yang mama dan papa nak kan? Mama dan papa gembira sebenarnya kan bila sekarang Sera kena label macam-macam?"

Mereka mula berpandangan. Datuk Abdullah sudah mengepalkan penumbuknya. Merah padam mukanya seperti menahan malu.

Datin Anita kemudiannya ketawa menyeringai. "Oh! Baguslah kau dah tahu Sera. Kalau macam tu tak perlu lagi kami berlakon depan kau. Senang sikit kerja kita kan bang?"

Terkedu Sera mendengarnya. "Kenapa mama dan papa buat Sera macam tu. Kenapa nak malukan Sera? Apa salah Sera selama ni sampai mama dan papa benci sangat dekat Sera?" rintihnya sambil mencari wajah Datuk Abdullah yang hanya menayang riak dingin. Dia inginkan jawapan kepada derita yang dilaluinya selama ini.

Datin Anita berdiri dari duduknya. Perlahan-lahan dia berjalan ke arah Sera. Kali ini Datuk Abdullah membiarkan saja. "Kau nak tahu kenapa? Kau masih tak sedar ke selama ni? Pernah tak untuk sesaat kau nampak kami sayangkan kau? Tak pernah kan? Maknanya kami benci kau! Kami berdua buat semua tu supaya semua orang benci dengan manusia celaka seperti kau ni. Biar semua orang tahu kau hanyalah sampah yang merosakkan Alroze Empire!"

Sambil menolak kepala Sera dengan kasar, Datin Anita meneruskan hinaannya, "Kau tak layak dalam keluarga ni! Entah kenapalah kau dilahirkan di dunia ni. Kau tak diperlukan langsung. Kau sepatutnya dah lama mati! Kau hanya layak merempat di tepi jalan sama seperti ..."

"Ita!" Tempikan Datuk Abdullah menghentikan Datin Anita. Dia kemudiannya berdiri dan menapak ke hadapan Sera yang mula merembeskan airmata. Tanpa rasa simpati dia berkata, "Papa dan orang tua Hadi dah bersetuju tadi. Suka atau tak, dalam masa empat bulan dari sekarang Sera akan bertunang dengan Hadi dan nikah sebulan kemudian. Muktamad!"

***

Cik Serai Halia telah diterbitkan dalam bentuk e-book. Sekiranya berminat untuk mendapatkan e-book, sila komen atau hantarkan mesej kepada penulis di ruangan mesej.

Cik Serai Halia | Wattys2017Where stories live. Discover now