16: Silam

1.7K 99 6
                                    

Hadi merentap kasar lengan Sera dari terus menyakiti Rosa. Perlakuannya itu menyebabkan Sera hilang pertimbangan badan lantas merempuh palang besi yang digunakan sebagai pemegang tangan untuk turun ke dalam kolam. Sekiranya palang besi itu tiada, Sera pasti sudah terjatuh ke dalam kolam renang. Namun, tetap malang buat Sera apabila sisi kiri abdomennya yang menerima padah. Sera mendesah menahan sakit bekas lukanya yang terhempap ke palang besi. Hampir dia terlorot ke lantai, tetapi tangan masih cuba untuk berpaut pada palang besi. Nafas diatur semula sebelum kepalanya didongakkan. Hadi memandang berang ke arahnya.

Rosa cuba untuk mendapatkan Sera namun Datin Anita menghalang.

"Otak kau letak mana, wei? Kau nak berkasar dengan kakak kau pun agak-agaklah. Dia mengandung kot," marah Hadi.

Sera terkedu mendengar berita itu. Pandangannya menyorot ke perut Rosa. Baguslah kalau Rosa mengandung. Berlipat kali gandalah simpati yang diterimanya. Dan dia akan dianggap sebagai adik pendengki, kurang ajar dan pemberontak teragung dalam Alroze Empire. Tangan yang menggenggam fabrik gaun di bahagian perut dilepaskan sebelum dia menapak ke arah Hadi.

"Hei Hadi, kau tahu apa pasal hidup aku hah? Hakikatnya kau tak tahu apa-apa. Kau tak perlu berlagak macam kau dah kenal aku lama. Kau rasa diri kau baik sangat? Fine." Jari telunjuk Sera menonyoh dada Hadi. "Kau orang paling baik di dunia ni! Semua orang di sini baik sangat!" getusnya dengan dada yang naik turun. Setiap satu wajah-wajah yang menghinanya tadi dicari. "Tapi aku, aku yang jahat. Aku yang tak berhati perut. Tak berakhlak. Kurang ajar. Aku sorang aje yang jahat. Akulah segala-gala yang buruk di pandangan korang semua!"

Pandangan Sera dikalih semula ke wajah Hadi. "Aku benci kau. Aku harap aku tak pernah jumpa kau!" Lantas dia menolak dada Hadi. Sudah suratan takdir, kasutnya terpijak kain sendiri dan tubuhnya turut terdorong ke tubuh Hadi. Hadi mencarut apabila menyedari dirinya bakal terjatuh ke dalam kolam renang. Lantas tubuh Sera didakap kuat. Dia tidak ingin malu sendiri. Sebuah meja kecil yang dipenuhi gelas minuman turut sama dirempuh Hadi sebelum mereka terjunam bersama-sama ke dalam kolam renang.

Tetamu yang hadir mula terlopong melihat babak di depan mata.

Setelah melepaskan diri dari segala kekalutan, Hadi berenang ke tepian. Tubuh didorong naik lalu duduk di tebing kolam. Tangan mengusap belakang yang terasa sakit dek rempuhan pada bucu meja. Sambil mengusai rambut yang basah, dia tersengih melihat Sera yang terkapai-kapai mencari oksigen.

Rosa segera menjerit meminta pertolongan, "Tolong selamatkan dia! Dia tak tahu berenang!" Namun jeritannya tidak diendahkan kerana rata-rata para tetamu hanya ketawa lucu. Sesetengahnya pula hanya memandang tanpa belas kasihan. Rosa semakin tidak keruan melihat Sera yang mula tenggelam. Segera dia menanggalkan kasutnya.

Kesejukan air membekukan kulit Sera. Serpihan kaca memenuhi pandangannya. Tidak, bukan gelas kaca minuman. Tetapi serpihan cermin kereta. Pantulan cahaya senja memberi sedikit sinar untuk dia melihat. Tunggu, bukankah beberapa saat yang lalu masa kian menghampiri detik tengah malam? Kenapa senja yang yang dilihatnya sekarang? Mulutnya tiba-tiba terasa masin. Semasin air laut. Matanya juga terasa perit. Air mula bertukar merah sedangkan gelas minuman tadi adalah jus oren. Darah aku ke? Dia jadi panik. Dadanya sesak. Dia tidak mahu mati. Kakinya mula digoyangkan. Tangan dikuak untuk berenang ke permukaan air.

Namun, ada sesuatu menyakitkan yang menghalangnya dari bergerak. Tangan segera meramas bahagian abdomen. Gaun sendat milik Chichi masih tersarung sempurna di tubuh. Rasa kebas dan sakit yang menusuk sisi kiri abdomen kian terasa. Air bertambah merah. Matanya dipejamkan. Ini semua mimpi, ini semua mimpi. Apabila mata dicelikkan, air bertukar jernih semula. Terasa lega hatinya lalu dia mula berenang ke permukaan kolam. Niatnya terkubur apabila kaki sukar digerakkan kerana gaun dan kasut tumit tinggi yang menghalang pergerakan.

Sera mula kehabisan tenaga. Diri kian longlai dan berputus asa. Paru-parunya kini membenarkan kehadiran air, walaupun ia memeritkan. Sisa tenaga hanya mampu digunakan untuk menggapai ke arah cahaya senja yang memancar di permukaan laut. Di kala dia hampir mengucapkan selamat tinggal kepada dunia, seseorang menggapai tangannya dari terus tenggelam ke dasar laut. Tubuhnya ditarik ke permukaan laut. Itu memori lalu. Saat ini, dia ditarik ke permukaan kolam renang.

"Takkanlah kau nak mati sebab terjatuh dalam kolam renang. Tak cool, tahu tak?" kata lelaki itu dengan suara yang masih segar dalam ingatannya.

Lima bulan yang lalu, lelaki itulah yang telah menyelamatkannya setelah keretanya terbabas. Dia masih ingat kata-kata lelaki itu ketika mencempung tubuhnya.

"Kau jangan mati dulu, kalau kau mati memang cool cara kau mati ni. Tapi aku tak nak tengok kau mati percuma. Bertahan, okey? Aku tak boleh teruskan ..."

Kata-kata lelaki itu putus di situ saja sebelum Sera tidak sedarkan diri. Sedar-sedar saja, dia sudah terlantar di atas katil. Usaha menjejaki lelaki itu tidak pernah berhasil selama ini. Hanya parut di wajah lelaki itu yang paling diingatinya.

Sera memuntahkan air yang memasuki paru-paru. Hidungnya terasa perit. Dia kini sudah terbaring di atas pangkuan seseorang. Pandangan yang berpinar dihalakan ke wajah lelaki itu. Dengan tangan yang terketar-ketar, dia menyelak perlahan rambut hitam pekat yang menutupi dahi lelaki itu.

Dalam sinar cahaya lampu, dia dapat melihat parut yang diingatinya. Bukan parut di dahi Harry Potter, tetapi parut memanjang yang membelah kening kanan lelaki itu. Lalu pandangannya jatuh ke rantai perak yang tersangkut kemas di leher lelaki itu. Kilauan buah kalung yang berbentuk abjad 'S' itulah yang dilihatnya dulu.

"Hai, cantik. Berapa kali aku nak selamatkan kau?" Lelaki itu tersengih melihat reaksi Sera.

Walaupun tekak dan rongga hidung Sera masih terasa sakit, dia masih mampu meletuskan tawa kecil. Matanya mula berair. Gembira kerana akhirnya dengan izin ALLAH, dia bertemu semula dengan penyelamatnya dahulu dan sekarang.

Hadi yang menjadi penonton sedaritadi, kini naik muak. Seraya itu dia menghentikan apa jua babak sinetron yangsedang mereka ciptakan. "Oi Naufal! Sudah-sudahlah tu. Tak payah drama sangatlah!"

***

Cik Serai Halia telah diterbitkan dalam bentuk e-book. Sekiranya berminat untuk mendapatkan e-book, sila komen atau hantarkan mesej kepada penulis di ruangan mesej.

Cik Serai Halia | Wattys2017Where stories live. Discover now