Malam sudah melabuhkan tirainya. Bintang-bintang yang bergemerlapan berteraburan di dada langit yang gelap. Bulan yang terang menyinari malam yang sepi.
Alyssa memeluk lututnya sambil memandang ke dada langit. Angin malam menampar perlahan pipi gebunya. Rambut yang tidak berikat itu bergerak apabila ditiup angin.
Terasa seperti rambutnya ditarik ke belakang, Alyssa pantas menoleh. Namun, terhalang apabila orang itu menolak kepalanya memandang ke hadapan semula.
"Duduk diam-diam boleh tak? Daddy nak ikat rambut pun susah." Rambut anaknya dicekakkan sebelum diikat dengan getah rambut berwarna hitam.
Alyssa duduk diam saja. Asal dia tahu Tuan Umar yang berada di belakangnya dia tidak kisah.
Selesai mengikat rambut Alyssa, Tuan Umar melabuhkan duduknya di sebelah Alyssa. Bagaimana Alyssa duduk begitu jugalah dia duduk; duduk dengan merapatkan lutut ke dada.
"Kenapa duduk sini?" Soal Tuan Umar.
"Saja. Nak ambil angin malam. Daddy pula? Kenapa kat luar? Tak ada kerja ke? Selalunya, waktu-waktu macam ni daddy sibuk dalam bilik kerja. Makan malam pun selalu skip. Tapi tulah, perut daddy tetap naik. Dah macam ada baby. Mesti orang asyik terlepas pandang aje. Dahlah rambut daddy dah mula panjang." Sengaja Alyssa menambah ayatnya.
"Ewah, sengajakan tambah ayat dekat belakang tu!" Puncak hidung Alyssa dikepitnya di antara jari telunjuk dan jari hantu. Alyssa tergelak sambil meronta agar dilepaskan.
"Oi, dua beranak tu! Masuk sekarang, kita nak makan malam dah ni." Kemesraan dua beranak itu terganggu apabila ada satu suara yang menegur. Kedua-duanya menoleh ke pintu gelangsar secara serentak.
Tuan Aliya menggerakan jari telunjuknya ke depan dan ke belakang. Isyarat menyuruh dua orang itu masuk ke dalam rumah.
"Jomlah Isa, kang bukan singa tu yang mengamuk, 'singa' lain yang mengamuk." Kata Tuan Umar. Singa lain yang dimaksudkannya itu adalah Puan Sri Hamidah.
"Hahahaha! Apalah daddy ni. Dengar Tok Ma nanti, habis telinga daddy capang." Tangan Tuan Umar disambutnya. Dia membangunkan dirinya dengan bantuan Tuan Umar.
Alyssa berjalan masuk sambil membersih-bersihkan belakang bajunya. Rambutnya yang diikat gaya ekor kuda ditolak ke belakang. Anak-anak rambut dibetulkan.
Tiba di ruang makan, seluruh ahli keluarga sudah berkumpul. Ada Tuan Zahiril dan isterinya, Puan Sri Hamidah, keluarga Tuan Aliya dan Tuan Umar bersama puterinya, Alyssa.
Seperti biasa, hanya mereka yang ada di sini. Tuan Umar agak kerap datang ke rumah keluarganya. Manakala, Tuan Aliya langsung tinggal di situ. Adik beradik mereka yang lain duduk berjauhan. Jadi, memang jarang sekali mereka mahu bertandang ke rumah Tuan Zahiril.
"Lamanya. Pergi mana tadi? Kesian ayah dah lapar." Puan Sri Hamidah memerhati pergerakan anak dan cucunya.
"Eh ayah pula."
Grrr!
Tuan Zahiril tunduk malu. Haih perut... Tuan sendiri pun kau nak khianat ya. Tuan Zahiril mengusap perutnya sambil tersengih ke arah Puan Sri Hamidah yang menjeling tajam ke arahnya.
Lauk dicedokkan ke atas pinggan. Lauk hari ini biasa-biasa saja. Masakan kampung. Keluarga Tuan Aliya tidaklah memilih sangat tentang makanan ini. Makanan kampung, Barat, Jepun atau apa-apapun mereka tidak kisah. Asalkan halal.
Lain pula dengan adik beradik Tuan Umar yang lain. Anak-anak mereka tahu makan makanan luar negara saja. Kata mereka, tekak mereka tak mampu untuk menelan lauk kampung.

YOU ARE READING
My Precious Alyssa [Hold-On]
ActionDemi keselamatan anak gadisnya, dia sanggup 'mengurung' gadis itu di rumahnya yang sebesar istana. Hidup si gadis dilimpahi dengan kemewahan. Segala yang dipinta pasti akan diturutkan jua. Tidak pernah terlewat atau dimungkiri. Kehidupan gadis itu t...