Adam tersandar lemah pada dinding dengan nafas tercungap. Matanya melilau melihat sekitarnya yang gelap bersumberkan cahaya bulan melalui tingkap yang hanya tinggal serpihan kaca. Nampaknya rumah buruk tak bertuan ini akan menjadi tempat tidurnya malam ini. Adam mengeluh lemah. Ya, dia lemah. Dia sangat lemah sekarang ini. Dia tak mampu berbuat apa-apa. Dia sudah tiada kudrat.
Mak.
Mak sudah tak mempercayainya. Air matanya menitis untuk kali ke berapa pun dia tak tahu. Hanya membayangkan wajah tua yang menangis kekecewaan membuat jiwanya retak, hatinya hancur dan mentalnya tersungkur.
Adam melekapkan kedua-dua tangannya ke muka. Tangisan tanpa suara dan air mata bercampur darah. Tiada lagi kekuatan. Tiada lagi ketabahan. Yang ada hanya jiwanya yang lemah.
"Kenapa mak tak percayakan Adam, mak? Apa salah Adam pada mak?" Adam merintih dengan suaranya yang sudah tak mampu keluar.
Air mata lelakinya diseka dengan tangan kasar. Darah di muka dan di tangan tidak dipedulikan.
Kenapa mak langsung tidak mahu percayakannya? Adakah kerana dia bukan anak yang baik? Adakah dia belum cukup taat? Adakah dia derhaka tanpa sedar?
"Mak kecewa dengan Adam."
Sekali lagi air matanya mengalir terfikirkan kata-kata mak padanya. Bibir yang merekah digigit cuba menahan dari menangis. Sesungguhnya air matanya mahal tetapi bisa tumpah kerana manusia yang bergelar ibu. Ibu yang mengandungkannya tanpa seorang suami. Dan dia yang dilahirkan tanpa seorang bapa.
Kejadian tadi terbayang kembali dalam ingatannya. Kerana tuduhan yang dilempar padanya, dia dihalau dari rumah pada lewat malam begini.
Rumah itu. Rumah yang bagaikan neraka buatnya. Yang tiada jalan keluar. Yang menyeksa dan membuat dia menderita. Yang buat dia mati dan hidup kembali kemudian diseksa lagi dan lagi tanpa penghujung sebelum nyawanya ditarik. Hanya kerana gelarannya.
Anak haram.
Ya, anak haram. Anak yang bagai diharamkan hidup di atas muka bumi. Anak yang bagaikan disumpah menjadi makhluk terhina di mata manusia yang berlagak suci.
Ada yang tidak mengenali ibunya, ada yang tidak mengenali bapanya dan ada juga yang tidak mengenali kedua-duanya. Namun, ada juga yang mengenali kedua-duanya dan mereka berkahwin. Dia? Dia kenal ibunya, malah dia juga kenal dengan ayah biologinya. Mereka tinggal bersama tetapi bukan sebagai satu keluarga yang sah.
Secara ringkasnya, dia dan mak dijadikan orang gaji dalam rumah itu. Atau mungkin boleh digelar hamba abdi.
Adam memejam mata rapat. Dengan hati yang lara, dia terlelap sehingga sinaran matahari memancar pada wajahnya. Adam berkerut. Dia yang sedang terbaring menegakkan badan yang masih terukir bekas libasan dan hirisan. Dia cuba menahan sakit di setiap sudut mukanya yang lebam.
Dia berkira-kira mungkin dia sudah terlepas subuh. Bunyi hilai tawa dari luar ditangkap Adam. Semakin lama semakin dekat sumber suara perempuan dengannya. Kemudian, satu persatu sampah jatuh ke atasnya. Dia mendongak. Patutlah, tingkap itu tiada cermin dan mungkin rumah buangan ini menjadi tempat mereka membuang sampah.
Adam tersandar lemah dengan tangan diletak ke atas lutut kanan. Anak mata merenung sampah sarap di sekitarnya. Mungkin ada betulnya apa yang menjadi buah mulut orang.
"Anak haram setaraf dengan anak buangan. Maknanya, tempat mereka sesuai di tempat sampah."
Adam memejam mata mengingatkan kata-kata hinaan yang berdamping dengannya sejak dia lahir di dunia kejam ini. Siapa yang tidak mengenalinya?
Adam Daniel Bin Abdullah.
"Bau apa yang busuk sangat ni? Oh lupa, dalam taman ni ada anak haram."
"Eh, budak! Baik kau duduk dalam rumah kau tu diam-diam. Jijik tau aku dengan budak najis macam kau."
"Kenapa budak tak berguna ni tak mati je?"
Itulah kata-kata hinaan dan cacian mereka untuknya. Sehingga menjadi kebiasaan dia untuk menelannya. Setiap kali dia keluar dari rumah itu sama ada mahu ke sekolah, pulang dari sekolah, pergi ke mana-mana, telinganya selalu menangkap hinaan yang diberikan padanya.
Sehingga jiwanya lama kelamaan menjadi mati.
YOU ARE READING
【C】SABAR SEORANG LELAKI
Teen Fiction| In Editing (80 Ch) | 『𝓢𝓪𝓫𝓪𝓻 𝓢𝓮𝓸𝓻𝓪𝓷𝓰 𝓛𝓮𝓵𝓪𝓴𝓲』 ● ● ● Adam Daniel Seorang pemilik hati yang tulus namun dikaburi dengan perwatakan kasar. Anak haram? Anak zina? Tak sah taraf? Ya, itulah panggilan tetap dan kekal untuknya. Sabar a...