Suara ketawa besar bergema di segenap sudut bilik. Kerusi empuk sedikit terkebelakang kerana tawanya yang terbahak-bahak. Wajahnya pula kelihatan puas dan gembira.
Seorang lelaki berumur dalam lingkungan 30-an hanya berdiri kaku di hadapan meja sambil memerhatikan tuan besarnya.
"Kiranya sekarang ni, semua student sekolah tu bencikan budak tu?" Tanya Encik Azmi.
"Mostly, tuan," jawab lelaki itu sambil mengangguk.
"Dan dia digelar pengotor?"
Lelaki yang bernama Harum itu sekali lagi mengangguk perlahan. Melihat anggukan itu, ketawa Encik Azmi terhambur lagi.
"Tuan tak nak ambil tindakan?"
Ketawa Encik Azmi semakin surut. Kemudian, dia memandang orang bawahannya.
"Buat apa? Dia dah besar. Dia boleh berdikari," jawabnya bersahaja.
"Dia difitnah, tuan. Dia didenda RM20. Dia berpuasa semata-mata nak jimat. Tuan tak kasihankan dia?"
"Harum, Adam tu bukan budak lemah. Dia tahu macam mana nak urus diri dia sendiri."
Harum menarik nafas panjang sebelum dihelanya perlahan. Sungguh dia kesal dengan sikap kejam bosnya ini.
"Tuan, dia anak tuan," ujarnya berani. Cuba mengingatkan lelaki di depannya ini bahawa dia punya anak yang kelaparan di sekolah.
"Sebab dia anak sayalah, saya biarkan dia. Dia kena belajar hidup susah. Jangan terlampau rasa senang dan terlalu bergantung pada orang." Encik Azmi menjawab lagi. Wajahnya tidak menunjukkan sebarang riak simpati mahupun kasih seorang ayah.
Harum berkerut memandang Encik Azmi bersama pandangan hairan.
"Tapi, Adam tak pernah rasa senang. Dia sentiasa—" Kata-kata Harum tergantung apabila mata Encik Azmi naik merenungnya tajam.
"Sentiasa apa?"
Harum senyap. Wajahnya tiada riak takut. Tetapi, beku dan tiada senyuman.
'Didera oleh tuan sekeluarga!' Sambungnya dalam hati. Dia tidak boleh ungkapkan kata-kata itu memandangkan hubungannya dengan lelaki ini hanya pekerja dan majikan.
Harum atau nama kodnya Harum Kasturi. Atau lebih tepat tiada siapa tahu akan nama sebenarnya. Dia sudah lama bekerja bertuankan Encik Azmi sebagai pemerhati Adam.
Dahulu dia fikir dia perlu perhatikan seorang kanak-kanak nakal yang memerlukan pengawasan.
Namun selepas dia kenal siapa Adam sebenarnya, dia bersimpati. Adam dibuli dan didera oleh 'abang' serta 'ibu tiri'nya. Pada awalnya, dia fikir Encik Azmi menyuruhnya untuk membantu Adam dari terus dibuli, tetapi bila dia melaporkan perbuatan isteri dan anaknya, Encik Azmi hanya ketawa sebelum melempar satu amaran.
"Saya suruh awak perhatikan budak nakal tu. Bukan isteri dan anak saya."
Harum Kasturi hairan apabila kata-kata itu yang keluar dari mulut Encik Azmi. Dia tak pasti di mana terletaknya kenakalan Adam. Apa yang dia lihat, Adam dari kecil sentiasa membantu emaknya membuat kerja rumah. Memasak, mengemas dan dia juga sentiasa mengurut bahu emaknya yang penat.
Kadang-kadang dia terpaksa mengurut betis Puan Ros kerana tidak mahu emaknya pula yang dipaksa. Sampai sekarang Harum Kasturi masih tak mengerti tujuan Encik Azmi menyuruhnya mencari kesalahan Adam.
Paling dia kesal, apabila dia memberitahu Encik Azmi bahawa Adam menolak Amdan sehingga jatuh, Encik Azmi bertindak menampar wajah anak kecil itu. Adam langsung tidak diberi peluang membela diri padahal kanak-kanak itu mempunyai asbab yang sangat munasabah.
YOU ARE READING
【C】SABAR SEORANG LELAKI
Novela Juvenil| In Editing (80 Ch) | 『𝓢𝓪𝓫𝓪𝓻 𝓢𝓮𝓸𝓻𝓪𝓷𝓰 𝓛𝓮𝓵𝓪𝓴𝓲』 ● ● ● Adam Daniel Seorang pemilik hati yang tulus namun dikaburi dengan perwatakan kasar. Anak haram? Anak zina? Tak sah taraf? Ya, itulah panggilan tetap dan kekal untuknya. Sabar a...