Adam mengira duit simpanan di dalam dompetnya. RM35. Keluhan dihela.
'Patut ke aku minta sikit dengan mak?'
Kepala pantas digeleng perlahan. Tak boleh! Emaknya juga tak punya wang. Dia tak boleh pentingkan diri. Dompet ditutup lalu disumbat masuk ke dalam poket seluar belakangnya sambil tangan memegang sebelah tali beg galas yang disangkut di bahu kiri.
Matanya memandang hadapan. 'Bulan depan lambat lagi. Macam mana aku nak survive?'
Adam mengeluh perlahan sambil kaki melangkah menuju ke pagar asrama yang masih lagi jauh. Dia memilih untuk menggunakan jalan jauh supaya dia boleh berfikir di persekitaran yang sunyi. Belakang bangunan sekolah ini sangat tenang dari bunyi bising. Tidak ramai yang berkeliaran di sini pada waktu begini.
"Woi!"
Suara keras yang memanggil itu tidak diambil kisah oleh Adam malah dia terus saja melangkah. Fikirannya sibuk berfikir cara untuk berjimat cermat selama tempoh sebulan.
"WOI!!" Suara itu menjerkah lebih kuat.
Adam menoleh. Sekumpulan pelajar sedang memandang tepat ke arahnya. Adam kemudian melihat ke sekelilingnya. Dia ke? Jari telunjuk dihala ke muka sendiri, meminta kepastian. Salah seorang dari mereka yang Adam boleh gelarkan sebagai ketua itu mengangguk. Jari telunjuknya dibengkokkan tanda menyuruh Adam menghampiri mereka.
Adam hanya menurut, berjalan mendekati kumpulan seramai 7 orang itu. Setelah melihat dengan jelas, barulah Adam dapat mengecam siapa. Kumpulan yang merampas tempat duduknya di kafe. Mata lebih mengamati mereka. Oh, ada juga dua orang yang dia pukul semalam di tandas kerana aksi mereka membuli pelajar tempang yang langsung tak menghargai usahanya!
"Ya, kenapa?" Tanya Adam. Dalam kepalanya sudah terbayang apa yang akan mereka lakukan padanya nanti.
"Aku tak nak cakap banyak. Kau belasah budak aku semalam?" Garau si kepala kumpulan bertanya. Singa pun boleh tunduk mungkin.
"Belasah? Bila? Dalam toilet semalam? Kalau yang tu, aku rasa kau nak marah aku macam tak berbaloi kut. Nak label belasah pun tak. Sebab aku cuma ketuk kepala sikit je. Lepas tu, budak-budak kau yang lari. Aku nak pukul lebih pun tak ada niat," jawab Adam tanpa sedar ayat 'lari' itu seakan mencalarkan ego mereka.
"Kalau aku yang pukul kau, agak-agak kau lari tak?"
Adam mengangkat bahu.
"Kalau sakit sangat aku larilah. Kenapa? Korang nak belasah aku ke?"
Si ketua berbadan besar itu berdiri dan berjalan ke arah Adam sebelum berdiri tegap berhadapan sesama mereka.
"Aku memang dah lama nak belasah muka berlagak kau ni."
Adam mengoyak senyum senget.
"Sorrylah, bukan tak nak. Tapi, aku tak berminat nak berlawan dengan kau."
"Siapa kata berlawan? Kau takkan ada peluang pun!" Dengan pantas, tumbukan kuat dilepas ke pipi Adam.
Adam berpaling ke sisi. Dia diam seketika sebelum kembali menghadap si ketua. Rambut yang sudah menyentuh dahi diraup ke tepi.
"Aku dah cakap, kalau dah sentuh aku tu maksudnya kau memang nak cari gaduh betul-betul dengan aku." Beg sekolah dilepas dan dibaling ke pokok.
"Berhenti berlagak!" Baru saja si ketua mahu melepaskan tumbukan sekali lagi, Adam sempat menariknya dan menghayunkan siku ke muka menyebabkan kepalanya terdongak.
Si ketua menunduk memegang hidungnya yang terasa sakit disiku. Salah seorang dari mereka yang lain datang menghampiri dan mahu menyerang Adam.
Lelaki itu cuba untuk menumbuk Adam namun Adam tangkas memegang buku limanya lalu dikilas ke belakang sehingga badan lelaki itu berpusing membelakangi Adam. Adam mengunci pergerakan lelaki itu lalu disepaknya pada lipatan paha dan betis menyebabkan lelaki itu jatuh terduduk.
YOU ARE READING
【C】SABAR SEORANG LELAKI
Teen Fiction| In Editing (80 Ch) | 『𝓢𝓪𝓫𝓪𝓻 𝓢𝓮𝓸𝓻𝓪𝓷𝓰 𝓛𝓮𝓵𝓪𝓴𝓲』 ● ● ● Adam Daniel Seorang pemilik hati yang tulus namun dikaburi dengan perwatakan kasar. Anak haram? Anak zina? Tak sah taraf? Ya, itulah panggilan tetap dan kekal untuknya. Sabar a...