9 | BIADAP

312 31 6
                                    

Bau kuah yang dikacau Puan Atikah menusuk masuk ke dalam hidung. Tomyam pedas kegemaran Adam dimasak khas sempena kepulangannya. Dari belakang, Adam tersenyum memandang Puan Atikah.

Adam memegang kedua-dua bahu emaknya dari belakang dan mengintai periuk yang terisi kuah berwarna merah pudar.

"Wah! Sedapnya bau, mak. Dah lama sangat tak makan masakan mak." 

Puan Atikah tersenyum. "Adam bagitahu je mak, Adam nak makan apa. Esok mak masakkan."

"Esok kita buat puding laici, nak tak mak? Adam dah lama tak makan."

Puan Atikah tergelak kecil. Dari kecil, Adam suka makan puding laici buatannya. Selalu comot sana sini. Katanya, emak buat puding sedap.

"Boleh.. Esok mak buatkan." Puan Atikah menjawab sambil tangan menutup api. Mangkuk di sebelah dicapai lalu menuang tomyam ke dalamnya.

Adam tak tunggu lama, terus mengambil beberapa buah pinggan dari rak lalu disusun ke atas meja di ruang makan. Dia bersyukur dia dan emaknya masih dibenarkan untuk makan bersama di meja makan besar ini. Lelaki itu memang orang paling rumit untuk diduga dalam dunia. Kadang-kadang okey, kadang-kadang tidak.

Setelah semuanya siap dihidang, Adam ke dapur untuk mengambil air yang sudah siap dibancuh. Manakala Encik Azmi, Amdan, Puan Ros serta Puan Atikah sudah mengambil tempat di meja makan. Siap menuang minuman ke dalam gelas untuk mereka, Adam mahu melabuhkan duduk di atas kerusi di sebelah emaknya. Namun, suara Encik Azmi menegur keras.

"Siapa suruh kau duduk?"

Adam angkat kepala memandang Encik Azmi. Dia tak sempat duduk lagi, sudah disergah. Kenapa pula ni? Dia kembali berdiri.

"Kau kurang ajar dengan isteri aku?"

Adam mengerling Puan Ros sekilas sebelum dia kembali memandang Encik Azmi. "Kurang ajar? Bila?"

"Tengoklah tu, dia tak nak mengaku. Buat muka tak bersalah pula." Puan Ros memuncung manja. Mukanya sememeh saja.

"Kau jangan nak menipu. Dah kenapa kau ni tak ada adab sangat ni? Kau rasa kau tu dah hebat?"

Adam berkerut. 

"Tak, sekarang ni Adam tak faham. Bila masa Adam kurang ajar dengan isteri ayah? Ayah ingat Adam suka ke duduk satu ruang dengan bini ayah ni? Nak bercakap lagilah." 

Kemudian, dia tersedar sesuatu. Dia ada menyuruh Puan Ros mop lantai ruang makan sendiri kalau mulutnya tak reti duduk diam. Asyik tahu mengarah saja.

"Oh, yang pasal petang tadi ke?" Adam mengangkat kedua-dua kening.

Sah. Memang sah ayahnya sudah salah dengar cerita. Adam mengerling Puan Ros di sebelah Encik Azmi. Nenek kebayan betullah makcik ni!

"Siapa yang cerita ni? Isteri ayah? Jadi, ayah patut tahu siapa sebenarnya yang kuat menipu memandangkan ayah dah lama tinggal sebumbung dengan penipu," jawab Adam lagi. Tidak suka dipanggil penipu sedangkan orang lain yang menipu tentangnya.

"ADAM DANIEL!!" Encik Azmi menumbuk meja kuat dan berdiri sambil mata mencerlun merenung Adam. Dia memang selalu hilang sabar dengan budak ini.

Puan Ros mengoyak senyum kepuasan. Melihatkan kemarahan suaminya itu, Adam takkan terlepas. Amdan pula kali ini tidak menyampuk. Hanya menyuap nasi bersama kerlingan sinis pada Adam di depannya.

"Malam ni, kau jangan makan. Tengok muka kau ni hilang selera aku."

Puan Atikah mencelah, "Tapi Azmi, dia tak makan lagi—"

"Tak apa, mak. Mak makanlah. Selera Adam pun dah hilang bila Adam tengok muka tiga orang ni." Adam terus angkat kaki pergi meninggalkan ruang makan itu.

【C】SABAR SEORANG LELAKIWhere stories live. Discover now